Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Ahad, 31 Julai 2011

Catatan Demonstran Ramadan | Gie Guevara Fansuri | 1 Ramadan 12:19 pagi

"Allahumma inna nas'aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhotika wan nar."

Pagi tadi, Subuh dan sejak tidur semalaman, Hakim pegang erat belonnya yang sarat terisi gas ringan. Kalau abah, mak nak ambil sekali pun dia tetap pegang dengan begitu eratnya dengan demikian ketat sekali tangannya.

Belon yang terkepung di dalamnya gas ringan itu dibeli di ekspo semalam. Ia adalah harta malah nyawa keponakanku. Aku fikir, dia tidur tidak jerap', tidur-tidur ayam kerana mahu berjuang mempertahan apa-apa yang dimilikinya.

Jadi, jam 2 petang tadi sampai 5 petang, dia 'kampui' balik tidurnya yang tidak teratur itu. Ya, tidur yang tidaklah teratur lantaran kebimbangan berikutan kerap memikirkan belonnya akan dirampas orang.

Tabiat sayangkan harta (atau mempertahankan harta) sudah terbina secara halus sejak lahir lagi. Yang kita sayang adalah harta. Tabiat orang kaya, tidur pun tak senang kerana fikirkan kekayaan itu akan diintai dan diintip orang-orang.



Malam ini, berterawih di Masjid Ar-Rahmaan. Ada serangga kecil menyengat di tubuh badan. Di tv, malam ini, diceritakan ada lapan serangga yang disebutkan Tuhan dalam Al-Quran.

"Antara 8 serangga itu, hanya dua yang diabadikan di dalam Al-Quran sebagai nama surah, iaitu An-Nahl (lebah) dan An-Naml (semut)," kata pensyarah itu sambil menyebutkan juga nama-nama serangga lain - kutu, rama-rama, lalat, nyamuk, anai-anai dan ... (tak ingat)

Masih juga saya teringatkan lipan besar di Gunung Jerai itu. Dan, saya teringatkan semut besar yang ditemui Merah Silau yang kemudiannya diabadikan nama semut besar itu sebagai nama negara; Semundra (Sumatera) yang ada sekarang ini.

Saya fikir, memang menjadi adat orang dahulu menamakan negara dan tempat untuk mereka berkerajaan itu dengan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran mereka; baik pokok atau haiwan. Di Perak, mungkin mereka terjumpa pokok Ipoh, lalu dinamakan Ipoh yang kini membangun sebagai bandaraya.

Apabila kerajaan Perak di bawah naungan Pakatan Rakyat digulingkan Najib Razak, maka beberapa pihak pembangkang telah mengadakan mesyuarat di bawah pokok. Saya melihat, memang itulah semangat asal

Di Kelantan, ada Kedai Lalat, mengambil sempena lalat. Dan, ketika solat tadi, seekor serangga mengetit belakang tubuh. Aduh! Adurgh! Urgh!

Segera saya teringat! Ini Ramadhan bulan mujahadah, bulan mujahadah, bulan revolt, bulan pemberontakan revolusi atas sifat mazmumah, bulan memerangi keinginan nafsu syahwat yang tak baik. Ia bulan asuhan budi diri dan bulan mengasuh pemerintahan Najib Razak dan kak Ros supaya kembali patuh terhadap titah Allah dan perintah Rasul-Nya.



Di Global@1, TV1 RTM, ada perbincangan tentang isu ekonomi Amerika sedang merudum. Pensyarah jemputan itu turut menyebut tentang Hukum Karma yang terpalit ke atas pentadbiran Obama gara-gara 'pembunuhan' Osama pada Mei lalu. Saya masih ingat benar kejadian yang melukakan hati itu kerana telah melihat sorakan anak-anak Perancis denan 'kematian' Osama yang mereka gelar sebagai pengganas itu.

Hal ini berlaku, saat  hari-hari terakhir saya di Paris. Di lapangan terbang Orly, Paris di halaman depan akhbar-akhbar turut menyiarkan berita 'kematian' Osama itu. Benci benar mereka terhadap pengganas dan Islam. Saya dapat rasakan betapa terpencil dan tidak harmoninya tinggal di Eropah, di Perancis dalam keadaan sebegini. Hati sedih, batin merana sengsara, jiwa rusuh dan fikiran jadi kacau-bilau!

Sesiapa sahaja yang cintakan agamanya dan keamanan sejagat tidak betah melihat keadaan ini semua!

"Sebab itulah wang dinar emas ini diperlukan semula," kata pensyarah itu lagi ketika menjawab panggilan terakhir malam ini. "Saya dengar, malah Israel sendiri pun sudah mula menuju ke arah kepenggunaan mata wang emas ini."

Saya pernah ke Kemboja dan melihat bagaimana mereka menggunakan dua jenis mata wang; Riel dan Dollar Amerika. Persoalan yang saya mahu tanya kepada pensyarah UPM itu - adakah boleh kita memakai dua mata wang; RINGGIT & EMAS DINAR di Malaysia dalam masa yang sama?

Kita sudah ada Mahkamah Sivil dan dalam masa yang sama, kita ada Mahkamah Syariah. Tapi, belum teriktiraf lagi perubatan dan rawatan Islami dalam hospital yang hingga kini masih digelar sebagai rawatan alternatif. Pelajar ilmu kesihatan masih dilatih mengenal bancuhan kimiawi dan bukan Tibb An-Nabawi. Entah bilakah ilmu kesihatan Islami ini akan diiktiraf dalam keadaan Menteri Kesihatan pun bukan Islam. Semua ini kita kena jawab di akhirat!



Ada air memasuki mataku. Kalau puasa, dengar kata terbatallah puasa. Sebabnya, (kalau tak salah) Imam Malik pun ada menyatakan bahawa liang mata itu pertaliannya ada dengan kerongkong. Daripada suatu sudut, imam-imam terdahulu ada juga buat kajian saintifik. Murid Imam Malik, Imam Asy-Syafie, ketika mengarang masalah hukum yang membabitkan persoalan Haidh dan Nifas, beliau melakukan metode dan kaedah saintifik.

Asy-Syafie dikatakan telah membuat temu bual, membuat siasatan, mengumpulkan sampel-sampel ujikaji (tentang jawapan wanita-wanita), mengumpul data-data sebelum beliau mengeluarkan fatwa dan hukum berkenaan masalah haidh dan nifas ini.

Mereka membuat kaedah saintifik! Mereka tahu di mana letak duduk urat saraf dan mengambil kira faktor ilmu lain juga ketika mengeluarkan hukum dan fatwa. Ulama sekarang bagaimana pula ya? Hal ini menyebabkan aku memikirkan sesuatu yang lain pula.

Perkataan 'Saintifik, Science' itu mirip dan hampir kepada perkataan 'saint', 'san', 'santo' dan Sang (Alam Melayu). Sains itu juga boleh ditakrifkan seperti ilmu juga. Jadi ilmu-ilmu ini memang terbit daripada 'orang-orang berilmu' (wali, dewa) yang digelar dengan bermacam gelaran seperti Saint, San, Santo dalam Alam Eropah dan ia (ilmu, sains) juga dianugerahkan kepada 'Sang' (Sang Sapurba, Sang Gedembai) di Alam Melayu dan SYEIKH di Alam Islam.

Wallahu ta'ala 'alam... bissawab...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan