Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Ahad, 9 Januari 2011

Kepada Najib dan Muhyiddin...

Bersyukur kepada Allah, berlimpahan selawat kepada baginda Rasulullah s.a.w... Amma Ba'du...
 
Dunia bergolak, emosi dan perasaan umat diputarkan kata-kata menteri dan bicara-bicara asing yang entah dari manakah pangkal hujungnya.

Saudara Najib Razak dan saudara Muhyiddin Yassin...
Suara-suara kami tiada dalam parlimen, saluran maklumat hanya jadi sehala. Tuan-tuan berdua bukan orang yang berani berdiri sebagai Umar Al-Khattab untuk dihakimi lalu berkata...

"Sesiapa yang meluruskan aku, maka dipersilakanlah untuk berbuat sedemikian..."

Seorang anak muda bangun sejurus mendengar kata-kata Umar itu seraya berkata, "Jika benarlah katamu, maka pedang ini akan meluruskan kamu!"

Kalau misalnya anak muda yang pernah menghunus pedang kepada Umar itu masih hidup, nescaya dia akan terhumban di penjara, ditahan ISA, turut sama disembur curah dengan limpahan air gatal. Jika dia mahasiswa, maka dia akan ditahan keputusan peperiksaannya oleh menteri dan Auku akan menjadi senjata sakti untuk membunuh pengajiannya.

Saudara-saudara berdua tidak boleh berbicara dalam bahasa Umar ketika berdepan dengan anak muda itu, "Alhamdulillah, masih ada yang mahu meluruskan Umar..."

Saudara-saudara berdua bernasib baik kerana rakyat di negara ini bukan daripada jenis yang berani bersuara berterus-terang dan terbuka dan menyemak saudara dengan pertanyaan bertalu-talu.
 
Walaupun saudara merumuskan Belanjawan Seluar Dalam dengan peruntukan RM111 juta demi Rosmah, hal itu tidak jua menggerakkan jasad tubuh umat ini ke Dataran Merdeka sehingga ke dinding Istana Negara.
 
Mana-mana yang berani atau terlalu berani, itu bererti dia sudah berani berdepan dengan kematian. Tetapi kita juga terfikir. Setelah mati, itu bererti kita akan dipanggil untuk bertemu dengan Raja Segala Raja.

Kita akan berdepan dengannya lalu setiap jawapan kita pula akan disemak dengan pertanyaan-Nya. Amalan kita disukat, ditimbang dan saya secara peribadi sangat bimbang kalau saya tidak lulus dengan soalan itu.

"Apakah yang kamu lakukan di dunia dengan masa dan wang, kuasa, pangkat, kedudukan yang aku beri?" begitu soalan itu berbunyi. Soalan ini sudah lama bocor tetapi tidak mudah dijawab kerana ia bukanlah melibatkan pengetahuan di dalam kepala, tetapi kebertanggungjawaban dan ketaqwaan di dalam dada!

Soalan peperiksaan di dunia tergantung kepada pengetahuan dan fakta yang sarat tersimpan di kepala. Kalau kita ingat jawapannya, semakin mudahlah kita menjawabnya. Ia bukan seperti soal jawab lisan, soalan bertulis dalam parlimen yang memerlukan masa untuk menjawabnya. Itu pun, soalan parlimen kita selalu terbabas!

Ia tidak semudah soalan wartawan dalam sidang media, lalu kita berkata, "No comment!"
 
Undi kita mungkinkah juga akan ditanya?
Membuat semakan dan teguran sebegini, tidaklah bererti saya baik tetapi ia sekadar satu usaha bagi memberi jawapan kalau-kalau saya ditanya mengenai apakah yang telah saya lakukan ketika di dunia ini.
 
Maka, kita kena lakukan banyak perkara kebaikan termasuk berselawat untuk mendapatkan syafaat supaya amalan keburukan kita diringankan oleh sebab sedemikian banyak dan saratnya amalan-amalan kebaikan.
 
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."
 
(An-Nisa': 58)
 
Saudara Najib Razak dan Muhyiddin Yassin... 
 
Saudara berdua bukanlah orang yang layak memikul tugas menggalas beban tanggungjawab ini kerana tugas ini amat rapat dengan hukuman pentadbiran sesama manusia dengan keadilan.
 
Ambil satu contoh - ada sebabnya kenapa ayat ini tercantum di dalam surah An-Nisa'. Menurut hemat saya, kaum wanita lebih banyak dizalimi penguasa. Salah satu saja kes - model wanita Altantuya dari Mongolia.
 
Dengar ceritanya, ada pula amah Indonesia yang telah dicabul kehormatannya. Jadi, tugas dan tanggungjawab terawal kita ialah memberikan perhatian khas kepada kaum wanita yang tertindas.
 
Ya, kalau pun kita tidak menzalimi wanita, tetapi timbul pula hal kedua, iaitu dikuasai wanita. Dengan keadaan isteri penguasa yang suka bermewah-mewah dan berbelanja sesuka hati ini, banyaklah kantung negara lesap.
 
Banyak betul yang perlulah kita senaraikan tentang wanita dan pemerintahan, tetapi hal ini akan membuatkan isu-isu jadi terbengkalai untuk didebatkan. Jadi, kita tinggalkan bahasan wanita Mongolia dan isteri penguasa yang hidupnya suka bermewah berbelanja.
 
Yang ingin saya cerita di sini-perihal undi, bai'ah dan mandat dan keadilan setelah mendapat bai'ah mandat itu.

Tuhan menyuruh umat ini melantik penguasa yang benar-benar berkebolehan menguruskan urusan mereka. Di sini, hendaklah tuan-tuan berdua menggunakan saluran pendidikan untuk mengasuh rakyat memilih pemimpin mereka sendiri. Ia boleh jadi melalui sekolah, juga agensi-agensi yang saudara tubuhkan.

Daripada sudut mana 30 peratus DEB ini boleh dikatakan adil?
Perkara seterusnya adalah soalan keadilan ketika menjalankan hukum antara manusia. Saya minta tuan semak semula amalan DEB sebelum ini yang memberikan 30 peratus kepada Melayu bumiputera ini. Adakah kaedah ini benar-benar adil sedangkan Melayu ini paling ramai berbanding kaum lain? Siapa yang buat keputusan ini?

Inilah soalan yang kerap menghentak fikiran saya secara peribadi apabila kita membahas ayat di atas dengan keadilan dan keterkaitannya dengan nisbah kekayaan 30 peratus. Apa asas yang digunapakai sehingga wujud rumusan sebegini? Ya, masih ada banyak lagi persoalan lain yang kita perlu semak semula bersama. 
 
Tapi, biarlah saudara berdua cuba menjawab hal ini terlebih dahulu. Nanti apabila tiba masanya, kita akan bercakap perihal Interlok dan perang antara kelas mustakbirin melawan mustadh'afin. Wallahu' Ta'ala 'Alam...

1:43 a.m, 10 Januari, 2011, SPKB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan