Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Khamis, 6 Januari 2011

Bagaimanakah SMM bermula?


Mereka ketika itu sedang membuat kenyataan media berhubung isu-isu berkaitan pilihan raya kampus. Mungkin kerana isu-isu lain yang lebih mendesak, maka sidang media itu tidak dihadiri mana-mana wartawan pun.

"Tiada wartawan yang hadir," kata Mohd Shazni Munir. Turut hadir di cafe API petang itu, Mohd Hilman Idham dan Mohd Ridzuan Othman bersama seorang lagi siswa yang baharu saya kenali.

Oleh kerana hujan masih lebat, dan saya terkurung di situ, maka kesempatan itu saya guna untuk berbual kepada mereka, "Siapa yang punya idea memberikan nama kepada SMM?"

Mereka saling berpandangan, mencarikan jawapan sesama sendiri. Melihat keadaan itu, maka jangkaan awal saya ialah – mahasiswa tidak diberitahu mengenai sejarah awal mereka sendiri. {Barangkali...}

Sebagai orang yang terlibat dengan penubuhan awal SMM, maka kewajipan ini terpundak ke atas leher saya serta para penggerak as-Saabiquun al-Awwaluun, atau penegak terawal SMM untuk menceritakan beberapa kejadian yang masih lagi basah dalam ingatan.

Hal ini semua penting bagi mengelakkan generasi seterusnya kabur perjalanan. Di dalam tulisan lalu, saya sebutkan bahawa SMM ditegakkan oleh gabungan pertubuhan pelajar tanpa campurtangan; Pas, Abim, Jim, Dap.

Hal ini juga membuktikan bahawa mahasiswa itu sudah matang bertindak sendirian tanpa didalangi bantuan NGO lain. Hal ini saya sebut bagi membatalkan kenyataan bekas NC UiTM Shah Alam Ibrahim Abu Shah sebelum ini.

Ibrahim tidak menyukai keterlibatan mahasiswa dalam politik kepartian kerana menurutnya, mahasiswa kita belum mencapai darjat kematangan.

MPM yang terawal?
Sebenarnya, sebelum wujud SMM, sudah wujud Majlis Pelajar Malaysia (MPM) sekitar 2000-an untuk menyatukan gerakan mahasiswa; PKPIM, Gamis, Dema, Gemalang, Isrec dan lain-lain pertubuhan saat itu.

Saya mendengar kewujudan MPM ini awalnya daripada saudara Amidi Abdul Manan (mantan Presiden PKPIM) ketika kami berbual-bual di cafeteria Desasiswa Bakti, USM pada tahun-tahun itu juga.

Oleh kerana saya banyak bergerak dalam PKPIM cabang kampus USM, maka saya masih ingat bahawa MPM itu kemudiannya digerakkan oleh saudara Asyraf Wajdi Dusuki, Presiden PKPIM selepas Amidi.

Sebenarnya, bukan Asyraf shaaja yang terlibat dengan MPM, malah ramai lagi siswa yang terlibat dengan MPM itu dalam kalangan penggerak Gamis dan Dema juga. Saya cuma menulis hal MPM ini berdasarkan cebisan ingatan peribadi sahaja.

Semoga selepas ini, akan ada lagi orang-orang yang akan menulis mengenai MPM kalau mereka masih ingat. Saya pernah melihat kelibat Asyraf tersiar di Buletin Utama TV3, berjalan-jalan untuk mengirim memorandum atas nama MPM. Isu apa, saya lupa.

Semangat kesatuan MPM cuba dipatahkan oleh kerajaan di bawah kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi dengan kehadiran MPPK (Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan). Asyraf pernah turun USM dan menyatakan pendirian MPM kepada cabang PKPIM USM.

Pendirian kami ketika itu ialah, gerakan pelajar seluruhnya telah menolak MPPK. "Kita hanya mengiktiraf MPM," kata Asyraf.

Entah di mana silapnya, sehingga kini MPPK langsung terus berjalan dan MPM hanya tinggal kenangan. Saudara saya itu akhirnya menyertai Umno. Dan, dalam diam saya hanya memantaunya dari kejauhan.

Maka, itulah MPM, badan gabungan terawal barangkali yang wujud tanpa campurtangan abang-abang NGO. Hubungan adik-abang, mentor mentee ini adalah seperti berikut.

Karisma misalnya dilihat sebagai 'adik' kepada Jim, PKPIM adik Abim, Gamis adik Pas. Tetapi, SMM itu bukan ciptaan Pas, Abim dan Jim juga Dap. Ia betul-betul hasil cetusan fikiran mahasiswanya yang tergabung daripada pelbagai cabang aliran. Hal itu, sama keadaannya dengan MPM tadi.

Hari ini, kenyataan-kenyataan SMM begitu berkuasa dan berbisa, menyiat-nyiat jantung penguasa. Dan jika ada yang bertanya mengenai asal-usulnya, siapakah yang akan dapat menjawabnya?

Hal ilmu sihir
Saya dapat tahu, kes Rosmah Puaka masih lagi hangat dibicarakan. Khabarnya pendakwaraya membuat rayuan ke atas keputusan Hakim Mahkamah Seksyen dalam kes ini.

Khabarnya, mahkamah memutuskan satu tarikh untuk mendengarkan semula kes tersebut. Kes itu akan dibuka kembali walaupun sebelum ini, hakim telah membebaskan mereka sejak September lalu.

Saya secara peribadi berpendapat, elok juga jika kes ini berlanjutan sehingga Akta Jenayah Sihir dibuka sebagai bahan bahasan di Parlimen. Mudah-mudahan apabila perbicaraan ini berlangsung, rakyat sedar bahawa akta baharu ini juga boleh dimanfaatkan bagi meneliti kes isteri Perdana Menteri itu.

Sebaiknya, siswa itu dapat bersabar kerana rencana (makar) Tuhan itu jauh lebih kuat dibanding 'makar' tipudaya musuh-musuh kita yang sentiasa berfikir menjatuhkan kita itu.

Semoga kita menyedari bahawa isu ini bukan sekadar contengan dinding, tetapi ia dilihat sebagai usaha bersama melawan amalan dan kegiatan ilmu sihir yang banyak menular dalam kalangan penguasa, termasuk isteri-isteri mereka.

Melawan kehancuran kampung Melayu di ibu kota
Pada 1 Muharam lalu, Budayawan Bertindak dan Paksi bersama penduduk setempat sudah menyatakan pendirian bahawa mereka akan mempertahan tujuh buah kampung warisan di ibu kota.

SMM juga tidak ketinggalan dalam usaha mempertahan Surau al-Falah di Kerinchi yang bakal diroboh DBKL. Ketika menulis ini, sudah ada rencana dalam kalangan mahasiswa untuk berkampung di Kerinchi dan Pantai Dalam bersama penduduk setempat bertujuan menyelamatkan surau tersebut.

Suara anak-anak muda inilah juga yang paling banyak memeriahkan demonstrasi pada awal Disember lalu berhubung kenaikan tarif air di Masjid Negara. Ini semua adalah sejarah.

Demikianlah, semua ini adalah bukti perjuangan. Ini adalah rakaman serta rekod bahawa mereka sudah berbuat sesuatu demi umat, rakyat, agama, bangsa dan negara ini. Soal keikhlasan, itu semua terserah kepada Tuhan untuk menilainya dan memberi ganjaran bagi segala usaha mereka itu.

Tetapi sekali lagi, jika ditanya - bagaimanakah SMM bermula? Siapakah yang memberikan nama SMM itu? Maka, bagaimana agaknya jawapan mahasiswa hari ini? Maka, inilah secebis kisahnya...

SMM bermula di New Era College, Kajang
Dalam tulisan sebelum ini, yang menyentuh persoalan mahasiswa sudah matang, saya sebutkan kelahiran SMM yang berlaku antara 2004 dan 2005 di New Era College, Kajang.

Maka, siapakah antara penggeraknya ketika itu? Mereka adalah rakan-rakan saya yang kini ramai berkecimpung dalam Parti Keadilan Rakyat. Antara mereka adalah Ginie Lim, Gan Pei Nei, Soh Sook Hwa dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Ia mengumpulkan blok Islamis dan Sosialis, daripada yang berketayap dan berambut gondrong. Semua itu bercampur-campur dan bercakap-cakap mencari titik persamaan walaupun berbeza cara berfikir.

Saya perlu catat juga hal-hal perbezaan pendapat yang berlaku dalam pertemuan itu ketika penubuhan SMM itu. Antaranya, saya difahamkan PKPIM tidak menyetujui cara SMM dibentuk dengan wujudnya jawatankuasa organisasi seperti Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari dan jawatankuasa exco.

Pada fikiran mereka, lebih baik ia menjadi pasukan yang membariskan semua pertubuhan pelajar tanpa sebarang jawatankuasa. Memang ada perbezaan pendapat dan kami masih belajar mendengar, memberi pendapat berhubung hal itu. Inilah proses pembelajaran untuk menjadi dewasa.

Siapa pula yang mencadangkan nama SMM? Hal penjenamaan ini, saya tahu daripada Akmal Hisham, seorang ahli PKPIM yang bercerita mengenai asal-usul nama pertubuhan itu.

Menurutnya, beberapa hari sebelum pelajar itu turun ke New Era College, beliau dan rakan-rakan UBU (Universiti Bangsar Utama) telah bermesyuarat santai di sebuah warung (restoren) untuk fikirkan nama pertubuhan baharu itu. Antara yang hadir adalah saudara Amin Iskandar yang dikenali sebagai 'Black'.

"Dia yang sebut nama Solidariti Mahasiswa Malaysia itu," kata Akmal kepada saya selepas habis acara di Kolej Darul Hikmah, Kajang kira-kira setahun lalu.

"Sambil hisap rokok, dia tanya kami balik, apa solidariti ni dalam bahasa Melayu?" tambah Akmal lagi.

Agaknya mereka sukar mencari ungkapan yang sesuai bagi menggantikan nama solidariti, lalu kekallah nama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu sehingga ke hari ini.

Apabila saya ceritakan hal itu kepada anak-anak muda penggerak SMM itu, maka saya lihat mereka mula mengangguk. Anak-anak muda tidaklah bersalah kerana menerima bebanan tanggungjawab ini tanpa diberitahu mengenai sejarah pertubuhan itu sendiri.

Kesedaran untuk bercerita hal-hal ini secara lebih rinci timbul setelah malam 1 Muharam lalu, Encik Ishak Surin, salah seorang pejuang nasionalis Melayu berhaluan kiri (PKMM) bercerita mengenai kedudukan perkampungan Melayu di Kuala Lumpur.

Barulah jelas kedudukan Kuala Lumpur kini yang diteroka oleh orang-orang dari pulau Sumatera yang sudah berjuang melepaskan cengkaman mereka daripada penjajahan Belanda.

Dengan bercerita tentang sejarah, akan semakin meningkatlah kefahaman dalam perjuangan. Ishak masih menyimpan banyak khazanah sejarah dalam dadanya. Itu keyakinan saya secara peribadi.

Arenawati, sasterawan ulung di negara kita pernah mengungkap hal yang sama. Kata beliau, masih ada banyak perkara yang tersimpan di kepalanya yang belum dapat diluahkan.

Dan, demikian juga. Masih ada lagi hal-hal yang terperangkap di dalam fikiran orang-orang yang sudah bergiat cergas dalam pertubuhan pelajar pada masa yang lalu.

Mereka cuma perlu digerakkan semula, dicari untuk bercerita mengenai pengalaman mereka dan semua itu perlu dirakam sebagai khazanah sejarah perjuangan siswa seterusnya.

Ali Bukhari Amir adalah pendiri Sekolah Pemikiran Kg Baru (SPKB).

1 ulasan:

  1. Harrah's Resort Atlantic City - MapYRO
    Harrah's Resort Atlantic City features 여수 출장마사지 a casino, 영천 출장샵 a nightclub, and a sportsbook. 통영 출장샵 Amenities. The casino offers over 1,300 속초 출장안마 slots and 영주 출장안마 video poker machines,

    BalasPadam