Kursus 'Pengajian 40 hadis kepada Non-Muslim untuk mengenali Islam' ini (kod kursus: HAD 101) dirumus khusus dengan kendalian Fakulti Imu-Ilmu Perlu, Jabatan Ilmu Hadis, SPKB.
Ia disusun bertujuan memenuhi piawai Penyata Fansuri berasaskan semangat kurikulum bersepadu Sekolah Pemikiran Kg Baru (SPKB); 4M1B - Membaca, Merenung, 'Mengeteh', Mengarang dan Berdebat.
@@@@@@@@@@@@@
HADIS KEDUA: SEJARAH BERMULANYA AZAN
Dari Abdullah bin Umar katanya: Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a: "Bukankah lebih baik menyuruh seseorang berteriak atau memberitahu waktu sembahyang?" Bersabda Rasulullah s.a.w: "Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.” (Hadis riwayat Muslim)
HURAIAN: Ketika orang-orang Islam masih tidak ramai, kesulitan tidak timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka untuk menunaikan solat pada waktunya.
Orang Islam terkadang alpa dan lalai disebabkan berbagai-bagai urusan kehidupan mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua orang untuk solat tepat pada waktunya.
Ada banyak cadangan yang diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang dari Umar r.a yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua orang, termasuk Rasulullah s.a.w. memandangkan banyak cadangan yang lain lebih mirip kepada kaum kafir.
Namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya? Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan: "Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja.
Orang tersebut malah bertanya, "Untuk apa ? Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat."
Orang itu berkata lagi, "Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik ?" Dan aku menjawab " Ya!"
Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang, "Allahu Akbar, Allahu Akbar.." Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda.
Dan baginda bersabda: "Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang."
Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal. Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bersyukur kepada Allah s.w.t di atas semua petunjuk tersebut.
PENGAJARAN:-
Hari ini, ada orang bangkit mempertikai suara azan itu bising, padahal ketika awal-awal mahu disusun azan itu, sudah ada syor untuk meniru loceng-loceng orang Nasrani yang juga bising. Hal membunyikan loceng-loceng ini mirip juga dengan bunyi loceng yang diamalkan oleh para penganut Hindu hari ini.
Juga, ada syor untuk meniru bunyian trompet seperti bangsa Yahudi memanggil umatnya menunaikan solat mereka. Bunyian trompet ini juga menimbulkan kebisingan.
Tetapi akhirnya kita dapati tiada orang Islam di negara ini yang mencemuh bunyian loceng Kristian dan loceng Hindu kerana kita saling mengerti tujuan hidup beragama bangsa-bangsa lain.
Juga, tidak ada penentangan terbuka ke atas sambutan tarian naga yang disambut meriah walaupun ia bising kerana bangsa Melayu beragama Islam menghormati dan menerima kebudayaan itu disambut di negara ini.
@@@@@@@@@@@@
HADIS 1: Bab haramnya arak dan segala yang terkait dengan PENGHARAMAN PERUSAHAANNYA.
Diriwayatkan daripada Anas r.a, "Bahawa Rasulullah s.a.w telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak - orang yang memerah arak (1), orang yang diminta arak diperahkan untuknya (2), orang yang meminumnya (3), orang yang membawanya (4), orang yang meminta dibawakan arak kepadanya (5), orang yang memberi minum arak kepada orang lain (6), orang yang menjual arak (7), orang yang mendapat hasil daripada arak (8), orang yang membeli arak (9), orang yang meminta dibelikan arak untuknya (10)."
{Hadis riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi}
Huraian ringkas:-
Bahawa arak (air yang memabukkan fikiran, menghilangkan peranan akal) diharamkan bukan sahaja hanya air tetapi PERUSAHAAN, industri, kilang dan pembuatannya.
Termasuk kedai-kedai dan premis jualan arak itu haram juga. Termasuk pemberian LESEN untuk mengilang, memerah bahan-bahan ramuan untuk arak juga haram. Ini bermaksud orang Melayu juga diharamkan bekerja di premis perniagaan Carlsberg, Anchor Beer. Juga, mereka diharamkan menjadi pemandu lori Carlsberg.
Juga yang bernama Melayu itu diharamkan memakai baju yang ada padanya tertulis iklan Carlsberg dan lain-lain perusahaan arak kerana tindakan itu bererti mengiklankan perusahaan, perindustrian arak.
Pendek kata, segala yang terkait dengan arak, tiada boleh orang Melayu, orang Islam itu terlibat dengannya. Wallahu Ta'ala 'Alam... bissawab...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan