Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar walillah hamd...selawat dan berlimpahan sembah salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda dan para sahabat yang lama berjuang menegakkan hukum dan syiar Islam sebelum kita.
Muslimin dan muslimat yang dihormati...Sejak seberapa lama kita mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang diperintah untuk menyembelih anaknya; Ismail a.s yang masih kecil. Tapi, kita juga jangan melupakan haji pertama yang dilakukan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Hujjatul Wida' itu.
Dalam haji pertama itulah baginda menyampaikah Khutbah Wida', Haji Wida' (Khutbah dan Haji Perpisahan) yang menandakan kesempurnaan agama kita; Islam.
Aidil Adha, tanda kesempurnaan agama Islam
Dan pesan-pesan yang terangkum dalam khutbah itulah yang wajar kita laksanakan dalam sepanjang hidup di dunia ini. Oleh demikian, Aidil Adha bukan sahaja mengalirkan makna mengenai pengorbanan dan kesabaran malahan perayaan ini menghebahkan kepada kita makna kesempurnaan agama Islam itu sendiri.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar Walillah il hamd! Muslimin muslimat yang dirahmati...
Marilah kita bersama merenung firman Allah s.w.t ini...
"Alyauma akmaltu lakum diinakum, wa atmamtu 'alaikum ni'mati wa radhiitu lakumul Islama deena," (Hari ini telah Aku SEMPURNAkan bagi kamu agama kamu, dan aku penuh lengkapkan ke atasmu segala nikmat-Ku, dan Aku redha Islam itu menjadi agama bagi kamu.)
Pengorbanan adalah tanda sempurnanya Islam seseorang
Turunnya ayat ini ketika berlakunya Hujjatul Wida', iaitu haji nabi yang terawal dan terakhir sejurus peristiwa Fathul Makkah. Maka, selain daripada Aidil Adha itu dilihat sebagai penanda aras pengorbanan, maka ia juga lambang kepada kesempurnaan agama Islam ini.
Atau, dalam lain perkataan, antara tanda-tanda kesempurnaan agama itu ialah, apabila umat Islam rela korban kepentingan diri sendiri demi membela kesusahan orang lain.
Manusia yang cerdik pandai mesti 'mengorbankan' egonya untuk selalu bersikap tawadhuk, merendahkan diri, dengan tidak marahkan dan menghinakan yang kurang berpengetahuan daripadanya.
Yang berlaku mutakhir ini, akhbar melaporkan betapa ramainya pelajar yang mencapai ujian peperiksaan, tapi kita tertanya-tanya juga, apakah pelajar-pelajar dan siswa universiti, guru-guru kampus dapat berbuat sesuatu untuk menyelesaikan beberapa kemelut yang terjadi dalam kehidupan sekeliling?
Betapa ramainya cerdik pandai yang dicetak dari bawah bumbung madrasah universiti, tetapi kita perlu tinjau, berapa banyak ruang-ruang kegelapan dalam kehidupan rakyat yang dapat mereka cerahkan.
Betapa banyak kejadian yang menunjukkan bahawa yang cerdik pandai dan kaya akhirnya bertukar menjadi gerakan elit eksklusif dan bergerak sendirian, tidak meratakan hasil agihan kekayaan dan tidak menumpahkan kecerdikan mereka guna membangunkan fikiran setiap ahli masyarakat demi kepentingan bersama.
Umat memerlukan orang kaya yang akan berkorban wang untuk membela mana-mana anak yatim, janda dan balu yang memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan. Umat tidak perlukan orang kaya dan cerdik yang sombong, suka menghina dan memandang rendah kepada yang miskin dan kurang berpengetahuan.
Justeru, hendaklah guru kampus selalu berkempen menanam benih hikmah ke dalam fikiran mahasiswanya bahawa siswa bermutu tinggi adalah siswa yang kembali pulang berkhidmat mencurah idea-idea pembangunan ke dalam masyarakatnya sendiri.
Sementara guru-guru sekoleh kembali mengingatkan para pelajarnya bahawa pelajar sekolah yang cemerlang dalam erti kata sebenarnya adalah mereka yang bersekutu, berkongsi ilmu dan bersama-sama memindahkan pengetahuan guna menaikmartabatkan darjat dan maqam fikiran pelajar yang lemah dalam kalangan mereka.
Perhambaan masih berlaku, umat diburu pasukan Ah Long
Hari ini, masih berlaku juga perhambaan. Orang-orang yang hidupnya dimangsakan oleh Ah Long, digari, juga diikat rantai seperti hamba abdi, dilaporkan dalam berita-berita. Walaupun negara kita sudah mengharamkan amalan perhambaan, tetapi hakikatnya amalan ini masih berterusan dan terus-menerus berlaku.
Sebab itulah Islam tiba dengan satu kempen besar-besaran agar orang Islam menjadi kaya dan menggalakkan umatnya membeli 'manusia hamba' lalu membebaskan mereka.
Amalan perhambaan pada hakikatnya akan sentiasa terjadi kerana manusia dalam mana-mana peradaban pun akan selalu terjebak dengan amalan berhutang kerana terperangkap dengan tuntutan kehidupan dan dorongan keinginan kehidupan mewah berbelanja akibat pedaya nafsu syahwat mereka sendiri.
Alangah baiknya jikalau orang-orang kaya Muslim memiliki kesedaran untuk membayar hutang orang-orang yang sudah diikat tambat dengan kejamnya oleh pasukan Ah Long penindas ini.
Inilah juga salah satu bentuk pengorbanan yang paling agung dan sesuai dengan tuntutan agama dan ia selaras dengan maksud kedatangan Islam itu sendiri, iaitu Islam menawarkan pembebasan dan kemerdekaan.
Dengan ini...kami syorkan agar Aidil Adha juga diraikan sebagai perayaan yang bukan sahaja menitikberatkan hal pengorbanan, malah ia juga perayaan sebagai mensyukuri nikmat kesempurnaan agama seperti yang sudah dijelaskan melalui nas al-Quran yang baru disebutkan tadi.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillah il hamd...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan