Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Jumaat, 10 September 2010

Renung, tenung dan menung (Fikir Harian) - (3)

menyifatkan dinasour sudah pupus apabila Nabi Adam a.s menghuni dunia ini. Jadi ketika malaikat berkata, insan akan saling tumpahkan darah dan merosakkan dunia (Al-Baqarah 30), maka mereka (malaikat) sedang memerhatikan kedudukan dinasour yang berbunuh sesama mereka dan merosakan alam sekitar.

Teori kedua sudah pun ada 30 Adam sebelum Adam 'kita' hari ini. [Tafsir Al-Azhar, Buya Hamka]. Jadi generasi 29 Adam yang terdahulu sebelum ini pun melakukan pembunuhan dan kerosakan alam yang sama. Itu alasan kenapa malaikat persoalkan dasar penciptaan khalifah tersebut.

Setakat ini, belum terserempak lagi makhluk yang disebutkan dalam Al-Qur'an dan hadis mengenai dinasour itu. Ini bermaksud, nabi-nabi wujud dalam keadaan hidup mereka sudah aman daripada sengketa dinasour.

Saintis Barat atau kalangan peradaban Barat mungkin mempercayai tentang wujudnya pertembungan manusia dengan dinasour itu. Hal ini agak mustahil diterima akal fikiran manusia bertuhan. Mustahil Tuhan biarkan kita berada di dunia yang sedang dihuni haiwan buas seperti era dinasour itu. Wallahu'alam --- [Tafsir Al-Fansuri]

'Mood': Selesai menonton Jurassic Park. Sedang fikirkan misteri kematian dinasour beramai-ramai. Adakah ia seperti bom C4 yang berganda-ganda kekuatan ledakannya sehingga menamatkan era dinasour?

####################

sedang merenung, memenung dan menenung dan merumuskan hal-hal berikut:-

1. Sedang menggubah sajak Balada kepada Rosmah Mansur, sila minta maaf pada umat islam di atas keterlanjurannya - (busana muslimah), (belanjawan seluar dalam).

Terilham daripada 34 jam pembacaan sejuta puisi 1Malaysia baru-baru ini. Sajak dan puisi adalah alat untuk menaikkan gelombang kesedaran rakyat untuk melakukan perubahan.

2. Sesebuah Negara Islam, memang sepatutnya mewajibkan Sejarah Islam supaya anak muda Islam di negara ini tahu sejarah kejatuhan negara-negara Islam; Palestin, Turki dll. Bukan hanya mewajibluluskan Sejarah di sekolah. (Nota terhadap Muhyiddin Yassin, Muhyiddin Yassin)

Sejarah negara kita yang dipelajari mutakhir ini menyebabkan rakyat hanya melihat kemerdekaan dalam sudut pandang kecil, iaitu Malaysia sahaja, bukan melihat penjajahan Palestin, kejatuhan Andalusia, kejatuhan Turki dan lain-lain negara Islam.

3. Agamawan Umno Wahabi sepatutnya sudah boleh keluar Umno dengan selamat sebab ancaman Jemaah Islamiyyah (JI) di kampus sudah hilang dengan kejatuhan Musa Hassan. Bukannya masih berada dalam Umno untuk menegakkan lagi kesilapan Rosmah dan Najib. --- http://www.malaysiakini.com/news/146169

Semoga Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengambil akan bermesyuarat semula dengan 40 agamawan Umno bagi memutuskan apakah 40 agamawan Umno itu masih mahu kekal atau tidak di dalam Umno.

Ini kerana, mengikut laporan yang saya dengar - Dr Maza terlibat sama dalam mesyuarat terdahulu ketika ada desas-desus JI di kampus. Dr Maza, menurut hemat saya tidak terlepas bebas dengan tidak memasuki Umno kerana 'saham' beliau ada ketika merestui pemergian rakan-rakannya ke dalam Umno.

Pendek kata, Dr Maza belum selamat dengan menyatakan bahawa dirinya tidak akan masuk Umno dan tidak akan masuk mana-mana parti berikutan isu JI kampus sebelum ini, kerana 'saham'nya tetap ada apabila restu beliau hadir mengiringi kemasukan rakan-rakannya ke dalam Umno.

Cara untuk Dr Maza 'membersihkan' kesilapan beliau adalah dengan cara; menyeru semula agamawan Umno agar keluar daripada Umno kerana ancaman JI kampus yang diwar-warkan oleh Musa Hassan sudah tiada lagi setelah rakyat di negara ini berhasil menjatuhkan Musa Hassan dengan izin Allah s.w.t.


Jika ada yang keluar Umno selepas Dr Maza membuat seruan itu, maka itulah yang terlebih baik bagi mereka, tetapi jika masih ada yang berdegil untuk terus kekal di dalam Umno maka Dr Maza sudah tidak menanggung lagi bebanan kesilapan tersebut, kerana itu sudah menjadi keputusan peribadi mereka sendiri. Wallahu 'alam...

4. Ketua Pemuda Umno (I Bet I Can Find 10,000 People Who Hate Khairy Jamaluddin) perlu menyemak keperluan memasukkan buah fikiran Prof Dr SMN Al-Attas khasnya di dalam wacana PEMBANGUNAN - KEMAJUAN - PERUBAHAN (Risalah Untuk Kaum Muslimin) kalau ikhlas dan jujur membentuk jawatankuasa PEMIKIR UMNO.

Khairy Jamaluddin perlu sedar bahawa Prof Al-Attas itu adalah pencipta logo dan bendera Umno yang asal. Di atas nama Pemikir Umno, maka hendaklah jujur mengambil semula pandangan Al-Attas itu.


'Mood': Sedang memikirkan kewajaran menghadiri Sajak Sejuta Puisi 1Malaysia, 34 jam, di Perpustakaan Negara Malaysia.

##########################

merumuskan beberapa kegiatan hari ini & beberapa pendirian seharian; semalaman ini di Rumah Pena sebagai berikut:-

1. Sudah mengisi, mendaftar borang keahlian Pena Seumur Hidup, tapi bayar separuh saja dulu kat Kak Wan Zaida Wan Yussof. Baki dibayar kemudian i'Allah Ta'ala.

2. Pagi tadi terserempak kalimat "SITRA" ('penutup', pakaian) (Al-Kahfi: 90) bererti--- "...No covering protection..." Ini kemungkinan seiring makna dengan (kain) SUTERA.

[Teringat ucapan Prof Dr SMN Al-Atas yang mengaitkan perkataan "Imma shakira wa imma KAAFUURA" dengan Kapur Barus (kapur dari Barus).]

Lalu, timbul 'debat halus' dengan Nazmi Yaakub - apakah mungkin ada istilah bangsa lain yang menyerap masuk ke dalam Al-Qur'an?

"Macam mana dengan Ghulibatir Ruum?" pertanyaan ini telah kubangkitkan. Ruum itu adalah istilah dari bangsa Rome. Ini kerana, menjalar dalam fikiran ramai, bahawa di dalam Al-Qur'an itu keseluruhannya istilah Arab.

"Dulu, memang perbincangan seperti itu dahulu. Apa-apa pun, kau kena rujuk semula Lisaanul 'Arab," katanya. Aku bangkitkan juga mengenai kemungkinan Rumah Pena ini dapat menjadi pusat rujukan dan tempat mengumpulkan bahan-bahan rujukan kelak.

Kurenung, kutenung dan kumenungkan sendirian, bahawa, betapa perlunya ada suatu rak pustaka di sini pada kemudian hari untuk kegunaan ahli-ahli Pena..--(Breathless in Kuala Lumpur).

3. Juga 'debat halus' terjadi-adakah PKR itu parti Melayu? Menurut Ny parti itu tidaklah boleh diangkat sebagai parti Melayu, sedang aku melihatnya sebahagian dari Melayu.

"Tiada disebut dasar Melayunya dengan jelas dalam perlembagaannya," kata rakanku itu. Tapi, kuhujahkan juga dengan kehadiran Biro Agama di dalamnya.

Cuma, yang tidak sempat kulayangkan pertanyaan tadi ialah - bagaimanakah nak kita angkat Pas sebagai parti Melayu sebab dalam kebanyakan ucapan para pemimpinnya, mereka menolak faham kebangsaan nasionalis (Melayu), lalu mereka angkat parti itu sebagai parti Islam, sehingga kemelayuannya seolah-olah dibuang?

Kesimpulannya, Ny hanya anggap parti Melayu itu ada dua (Umno dan Pas), dan daku melihat parti Melayu itu 3 jua adanya (Umno, Pas, PKR). Siapa yang benar? Wallahu Ta'ala 'Alam bissawab... --- [Termuat dalam 'Breathless in Kuala Lumpur]


########################

pergi ke TGV KLCC, selepas mesyuarat bersama KAMI kelmarin guna merawat hati ini yang duka lara tebing rasa batiniah dilanggar kepedihan oleh demikian beratnya kata-kata yang terbit dari isi surat nasihat KDN itu. 

"Aku harus mencari ikhtiar lain untuk kutuk KDN dan AMCP ni," getus hati bujangku lagi teruna sunti yang tulus mulus lagi suci murni ini.

Syahadan, kita pun singgahlah ke di Kinokuniya barang sebentar, beramah mesra dengan buku-buku berikut:-

Siapa-siapa yang ada tajuk bukunya harap dapat dikongsi bersama ya?

1. The Last Manchu the autobiography of Henry Pu Yi, (edited by Paul Kramer); 2. Leaves of the same tree, trader& ethnicity in the Straits of Melaka (Leonard Y Andaya); 3. When Baghdad Ruled the Muslim World, the rise and fall of Islam's greatest dynasty, by Hugh Kennedy; 4. Principles of war by Carl Von Clausewitz; (5) The Neoconservatives Revolution Jewish Intellectuals and shaping of the public policy by Murray Friedman.

Maka, barang sesiapa yang ada buku-buku di atas harap maklumkan kepada saya ya..??

Catatan yang termuat di dalam 'Breathless in KL' sebelum ini...

Saya bersama KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) kelmarin. Gerakan Rakyat Mansuhkan Akta Mesin Cetak..) akan dilancar di Galas. Dzul dari Suara Keadilan syor untuk lantunkan semangat Geram.

"Perlu weekly column untuk sedarkan rakyat mengenai sampai ke pilihan raya Galas," katanya.

Saya sentuh syor Dzul di akhir syura, "Bagaimana nak buat kolum khas mansuh akta tu, kalau nak tulis pun dah diberi amaran?"

"Contohnya," saya menyambung, "baru-baru ini, Harakah sudah terima amaran kerana dua tulisan berhubung AMCP tersiar di akhbar ini."

Mendengarkan ingatan yang saya bangkitkan itu, Ahmad Lutfi Othman teringatkan sesuatu yang baharu dia berita...hu saya sebelum mesyuarat tadi.

"Oh! Saya terlupa sesuatu. Ini ada surat..." dia berhenti sekejap dan tangannya menyelak beberapa lembaran helaian kertas di depannya untuk mencari surat-surat KDN itu.

"Sebenarnya, Harakah dah terima surat nasihat... bukannya amaran," tekannya lagi, membetulkan kata-kata saya, seolah-olah dalam bicara beliau untuk mengalunkan sindiran halus. Saya pun tidaklah pasti Ketua Pengarang Harakah itu mahu menyindir saya atau pun sindir KDN.

Ah! Lantaklah. Akhirnya... berjaya juga saya temui tulisan yang sudah pun menambat perhatian KDN itu. Cis, bedebah...

"Untuk perhatian, dalam surat ini tertulis sebagai berikut," katanya lagi sambil membacakan tiap-tiap ayat dalam perenggan 'surat nasihat' itu.

"Ini bermaksud," beliau menyambung, "KDN menganggap bahawa kalau kita menulis dengan cara melobi rakyat untuk mansuhkan AMCP, sekali pun, maka hal itu dianggap sebagai MENGGANGGU KETENTERAM AWAM!"

Kalaulah bukan kerana rasa hormat dan rasa segan saya kepada orang tua di depan saya itu, dah lama lidah saya mengeras mencarut & maki hamun KDN yang demikian 'indah' bunyinya,

"Kepal.. bapa.. hangpa!!!"

WARTAWAN 'BENGAP' YANG BERLAGAK SOMBONG

Orang-orang selalu sangat mengenal watak Pak Samad Ismail, tentu saja mengetahui bahawa lelaki dari balang sejarah, kamar sirah bangsa ini belajar sesuatu teknik yang ulung dari Pak Kajai; 'seni' mencarut.

Sebenarnya, saya bukan wartawan daripada mazhab itu. Diri ini masih jua teruna sunti adanya. Bukan jiwa saya mencarut-carut ini.

Saya dari mazhab Mazlan Nordin dan Said Zahari yang tidak mencarut dan tidak pula menganggap bahawa suatu kemestian bagi seseorang wartawan itu untuk mencarut (1) dan hisap rokok (2) bermain betina (3) guna melengkapkan diri sebagai jagoan wartawan.

Ramai juga wartawan berhaluan kiri yang saya pernah kenal anggap begitu, sebab itu mereka hisap rokok dan cuba mencarut dan cuba-cuba mengurat perempuan; baik dara mahu pun janda. Saya lihat mereka ini pun bukannya penulis yang terbaik, melainkan saja berlagak juga adanya, dan mengada-ada tunjuk lagak, suka sembang 'deraih' & sembang 'kemaih' menyatakan dirinya sempurna tanpa sebarang cacat cela.

Sampai sekarang, saya tidak fikir untuk jadi wartawan yang baik itu, kita perlu jadi sombong dengan orang, kena hisap rokok, minum arak, main betina dan berfoya-foya, berlibur sakan dan berhiburan dengan gaya hidup tidak sihat.

Kita mungkin ada perangai buruk. Itu saya setuju. Tapi, jangan anggap untuk jadi wartawan baik maka kita mesti jadi tukang carut, hisap rokok dan main betina. Menghisap rokok kerana ketagihan, mencarut sebab memang hati kita busuk dan main betina kerana kita memang gila betina agaknya jauh lebih mulia berbanding wartawan yang mengada-ngada membuat hukum peraturan palsu - mahu jadi wartawan, kena ikut cth Pak Samad - kuat hisap rokok dan mencarut.

Semoga saya lahir sebagai orang baik dan boleh buktikan bahawa semua ini adalah falsampah juga adanya. Anda boleh jadi wartawan yang baik tanpa perangai-perangai buruk ini. Mana-mana rakan wartawan saya yang masih anggap hal buruk itu suatu kemestian, saya lihat mereka tidak pula cemerlang daripada segi idea dalam penulisan mereka itu.

DIKUTUK 'PONDAN' OLEH A SAMAD ISMAIL

Ketika di Siasah-buat pertama kali dan kali terakhir saya berkesempatan menemubual arwah Pak Samad Ismail, dia sempatlah carut maki saya...

"Apalah kau ni pondan, tak hisap rokok..." sergahnya ketika meminta rokok daripada saya lalu saya geleng-geleng kepala.

Dia sebenarnya sangat memerlukan rokok untuk lebih lancar bercerita kepada wartawan tetapi orang-orang di rumahnya terpaksa menipunya secara terpaksa.

Mereka biarkan sekotak Marlboro kosong di atas meja di kamar tidurnya dan setiap kali dia kelihatan bersemangat mahu bercerita, tangannya itu berkali-kali pula memegang kotak itu, meraba-raba keluar isi rokok yang sebenarnya sudah tiada.

SEKARANG, NAK TULIS KE TIDAK UNTUK MANSUHKAN AMCP NI?

Setelah Ahmad Lutfi Othman tasykil dan bayan beberapa hal mengenai hal 'SURAT NASIHAT' dari KDN itu, maka beliau pun mengisytiharkan...

"Dan, untuk pengetahuan anda semua," kata beliau. "Kedua-dua artikel yang mendapat perhatian KDN ini ialah artikel Ali lah ni..."

Semua mata pun tertumpu kepada diri ini. Saya jadi bingung lama ketika 'surat nasihat' itu singgah daripada tangan ke tangan ahli mesyuarat.

Tarmizi Mat Jam di hujung kemudiannya bersuara, "Kami selama ni tulis tak pa pun... mai tang Ali tulis ja, dah kena nasihat..."

Ya.. orang lain tulis tak apa. Mai tang bab kita tulis sikit, KDN dah bagi surat chenta, hati siapa yang tak hangin satu badan!?

Saya cuba meneka-neka dan menebak sendirian, meraba-raba di dalam kegelapan kemelut fikiran yang bersalut hati rawan, sebenarnya, apa la sangat dengan tulisan-tulisan itu?

Dan... itulah sebabnya kenapa saya menyumpah serarah dalam hati ini yang tidak saya humbankan keluar kelmarin, lalu beban kemarahan pun tercurah di Facebook di sini hari ini.

Semua teguran KDN ini mengingatkan saya kembali kepada kejadian silam ketika menerima surat amaran daripada TNC HEP agar tidak lagi menulis. Wartawan seperti kami rela dikutuk rapat, tapi jangan disebat hati kami dengan iringan 'surat-surat nasihat' (kununnya), dan jangan pula KDN fikir bahawa dengan cara ini, maka tulisan kami akan disekat!

Huh! Sekarang... kalian faham... kenapakah saya menyumpah seranah sampai ke sini kan?

Termuat di dalam ('BREATHLESS IN KUALA LUMPUR'...)

################
mula mengesyaki bahawa sejak 1,000 tahun abad-abad kegelapan (Dark Ages) telah pun dipenuhi dengan warga sihir dan pontianak (vampire) yang licik-cerdik dan pengamal ajaran sesat, lanjutan daripada Kabbalah, amalan mistik Yahudi.

Di dalam The Vampire Diaries malam ini (5 Oktober) seorang 'gerejawan' mengugut pontianak mengenai hal kejadian abad ke-19 (18??) ketika gereja sedang memburu pontianak-pontianak dan membakar mereka.

Mereka ini (ahli-ahli sihir) diburu dan dibakar tetapi keturunan mereka ini mungkin masih ada yang hidup mengamalkan tatacara kesesatan ini. Dan, mereka ini amat cerdik-cerdik lagi bijak sehingga menguasai dunia hingga ke hari ini. Gereja memburu mereka secara besar-besaran.

Kawan..sungguh banyak hal-hal kesesatan mereka ini yang perlu kita kaji lagi dan lagi. Kalau tidak, lumpuhlah nanti generasi kita kemudian hari, terikut-ikut dengan gaya hidup Barat ini.

'Mood': Baru lepas tonton The Vampire Diaries, 8TV. Dialog-dialog dalam siri drama ini disalin untuk diteliti dan ditelaah sebagai bahan kajian ke atas Kebudayaan Barat..

########################

menerima kiriman sms daripada Ahmad Lutfi Othman, "Samsuri baru meninggal dunia. Al-Fatihah..."

Sms beliau dipetik pada 6:08:22 petang tadi setelah baru hidupkan hp malam ini. Tuan Samsuri adalah penulis Harakah & media alternatif yang tergolong kritikal lewat penulisannya.

Wahai diri yang lagho... Ketahuilah olehmu, bahawa seorang demi seorang sahabat penulismu kini sudah pun kembali ke rahmatullah. Hal ini sepatutnya menumbuhkan kerisauan ke atas dirimu yang tiada banyak amalan.

Ya, kini kita pun berasa sangat insaf sedar dirilah akan kekurangan diri sendiri. Kini, sedang memikirkan kerja untuk lebih banyak berbuat kebaktian dan membanyakkan amalan.

Berasa insaf dan sedar bahawa sebaik-baik bekalan itu adalah iman, taqwa, amalan dan ilmu yang membawa manfaat kepada orang lain yang mengamalkannya. Kawan-kawan, doakan kaum penulis dapat meneruskan amalan-amalan selagi hidup di muka bumi ini.

##################

berpesan buat diri sendiri khasnya (yg ter'lagho') dan buat semua rakan fb umumnya sebagai berikut:-

"Menurut hitungan, esok (Ahad) adalah hari terakhir bagi sesiapa yang memutuskan untuk berpuasa 6 di bulan Shawal. Ini kerana, Jumaat ini (29 Shawal) adalah hari terakhir Shawal sekali gus hari ke-6, bagi sesiapa yang memulakan puasanya besok secara berterusan sehingga 29 Shawal itu. Sekian dimaklumkan oleh penyimpan mohor-mohor besar SPKB..."

'Mood': Berasa insaf sedar selepas membaca sepotong hadis; "Sebarkanlah salam, beri makan (kepada orang-ramai), bersolatlah pada waktu malam dan berpuasalah sepanjang tahun." Amalan ini membolehkan kita mendapat keredhaan Tuhan, syurga.

1. Ketika ditanya sahabat mengenai solat sepanjang malam, maka sabda nabi, siapa yang solat Isyak berjemaah dan solat Subuh esoknya berjemaah, maka dia telah pun bersolat sepanjang malam.

2. Ketika ditanya sahabat bagaimana berpuasa sepanjang tahun, jelas nabi, sesiapa yang BERPUASA RAMADHAN dan kemudian menyambung selama 6 HARI, maka dia berpuasa sepanjang tahun.

Sekianlah pesan rohani buat diri sendiri dan juga sahabat-sahabat...

Yang terlagho - Al-Fansuri; (1977 - 20??)


##############

Nabi Muhammad s.a.w diutuskan sebagai penyuci jiwa manusia. Baginda diberikan Al-Kitab dan Al-Hikmah untuk menyempurnakan risalah itu.

(2 catatan ditambah, hasil komentar rakan-rakan di Facebook)

"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajar mereka Kitab (Al-Quran) dan Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah: 129)

Nabi Muhammad s.a.w adalah salah seorang yang dikurniakan kebaikan yang banyak oleh kerana baginda ini telah dibekalkan dengan Hikmah kebijaksanaan, daya fikir yang tinggi dan upaya kecerdasan yang hebat.

"Allah memberi Hikmah kebijaksanaan. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (yazzakkaru, AHLI ZIKIR) melainkan orang yang mengguna akal fikirannya (ULUL ALBAB)." [Al-Baqarah: 269]

Pendeta; ahli hikmah Melayu purba (Suatu penelitian ke atas makna Langgar dan Sanggar)
Kedudukan ahli hikmah atau mereka yang punya keahlian dalam pemikiran tinggi adalah pendeta, ahli falsafah. Sesekali, mereka ini menjadi penghuni gua, sebagai tempat riadah akliah, sama keadaannya dengan manusia-manusia rohani (agamawan) yang digelar sebagai orang sakti.

Adapun, nama tempat para pendeta (atau penglipur lara) ini menggubah lagu, pantun, seloka, gurindam adalah SANGGAR. Manakala tempat agamawan purba mengajar pedoman serta petunjuk dan hukum perundangan agama itu adalah LANGGAR.

Dikenali hari ini orang-orang seniman menggunakan kalimat 'sanggar seni' bagi tujuan memperkenalkan tempat mereka untuk menggubah puisi, sajak atau tempat mereka membaca sajak dan mendeklamasikan puisi.

Wallahu'alam bis shawab ... Tun Seri Lanang Fansuri...

2. Menambah catatan pada 28 September, 2010 sebagai berikut ...

KEDUDUKAN PERKATAAN 'TAPA', UZLAH dan KHALWAT

Kita ada istilah 'tapa' yang merujuk amalan pertapaan di pergunungan. Amalan yang sama dibuat oleh Nabi Ibrahim yang ber'tahannus' (uzlah, khalwat).

Amalan ini kemudian dicontohi dan diwarisi Nabi Muhammad s.a.w yang kemudiannya menerima wahyu (pencerahan) di Gua Hira'.

Dalam bualan bersama Prof Wan Mohd Noor ketika dimajukan persoalan kedudukan gerakan intelektual di alam Melayu, beliau menyebut 'orang budiman' yang pernah wujud di alam Melayu.

Lalu saya teringat bahawa kita ada istilah pendeta. Tamil menyebutnya sebagai 'pandita'.

Dalam suatu forum, Dr Alinor ada sebut tentang wujudnya dialog serta debat antara 'pendeta' Hindu melawan 'pendeta' Buddha dan debat itu mengupas segala isu yang terkait dengan hal pemikiran, falsafah, lojik dan mantik. Debat itu tidak merujuk faham kewujudan dewa-dewi yang karut-marut sebagai yang kita fahami hari ini.

Apakah debatan dan bahasan para pendeta Hindu-Buddha itu pernah sampai di Sriwijaya (Sumatera), itu suatu yang menarik dikaji lanjut kerana sang 'pendeta' I Ching pun sudah turun untuk berguru kepada sekalian 'pendeta' di Sriwijaya, Sumatera.

Islam yang tiba di Sumatera (khususnya di Sumatera Utara iaitu Acheh) mungkin pernah bertembung dengan para pendeta Buddha di sana, lalu mereka menerima Islam dengan lebih mudah kerana jiwa kependetaan mereka itu.

Islam yang diperakui pada zaman sebelum kerasulan Nabi Muhammad itu disedari 'pendeta' Buhaira yang berpesan kepada Abu Talib supaya menjaga anak saudaranya dengan berhati-hati.

Juga kependetaan Nasrani Waraqah bin Naufal mengesahkan kerasulan Muhammad bin Abdullah.

Oleh itu terbit kemungkinan baharu, iaitu mungkin gerakan 'kependetaan' Melayu Hindu (Bali, Majapahit), Melayu Buddha (Sriwijaya) di Alam Melayu telah capai tahap agung berbanding di India dan China sendiri. (Cth - I Ching datang ke Sriwijaya)

Lalu, kelompok pendeta inilah yang akhirnya menerima Islam dengan mudah di samping mereka ini menjadi penasihat raja-raja di istana pada zaman yang lampau.

MELAYU LEBIH MUDAH TERIMA ISLAM KERANA JIWA PENDETA?

Melayu jika dibandingkan bangsa lain; kaum pendatang lain, kita sangat mudah menerima Islam berbanding yang lain.

Raja-raja dan sultan-sultan terus diangkat secara perlembagaan bahwa mereka pelindung agama Islam (persoalan raja tak ikut syariat Islam, itu mereka kena jawab dengan Allah kemudian.)

Sebagai yang disebut di atas tadi, kependetaan Melayu Hindu, Buddha itu barangkali sudah mencapai ke suatu tahap yang tinggi sehinggakan pengembaran I-Ching sudah belajar daripada pendeta Melayu Buddha di Sriwijaya lalu beliau menterjemah kitab Hinayana, Mahaya Sanskrit ke dalam bahasa China untuk dikembangkan ajaran Buddha ke China.

KEMUNCULAN KARYA AL-ATTAS YANG KEMASKINI HAL ISLAM ALAM MELAYU

Saya mendengar Prof Al-Attas ada sebuah buku yang belum sempatlah beliau terbit sejak 1961 dan hal itu merumuskan kedatangan Islam di rantau Nusantara ini dengan lebih rapi.

Bagaimanapun, dalam suatu ucapannya tentang Islam di Tanah Melayu (kurang lebih 3 jam syarahannya) Prof Al-Attas pernah menyebut nama Sriwijaya yang khas dalam bahasa Arab; menunjukkan hubungan Arab dengan Hindu, Buddha itu mungkin wujud lebih lama sebelum Islam.

Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu itu adalah karya awalnya, dan akan ada yang lebih 'update', iaitu yang sedang Prof Al-Attas tulis sekarang ini. Demikian saya difahamkan oleh Brother Sani Badron.

Sekian, dahulu catatan ringkas. Apa-apa yang termuat di sini, tidaklah boleh membantu mengukuhkan dan mengkejapkan fahaman yang tentu longgar di sana-sini. Tapi, ia mungkin sedikit sebanyak boleh membantu, kalau pun tidak banyak, tetapi sikit-sikit sahaja.

2. Menambah lagi catatan, hasil komentar WR di Facebook.

1. Proses mencari bukti yang jelas itu memerlukan masa. Seperti karya Prof Al-Attas itu sendiri, khabarnya sejak 1961, sehingga sekarang pun masih belum terbit. Mungkin beliau sedang mengumpul bukti.

2. Boleh hubungi Siti Fauziana, dia yang berikan klip ceramah Al-Attas yg mungkin ada kaitan dengan kajian beliau (al-Attas) sejak 1961 itu. Di situ ada disebutkan nama kerajaan Sriwijaya (lupa sebutannya dalam bahasa Arab) yang menandakan awal-awal kehadiran Islam di Sumatra. Dan, Sumatra adalah tempat pengembangan Buddha di rantau ini.

3. Persoalan obses keghairahan ini tidak dapat saya sekat sbb mutakhir saya kerap bertembung dengan pelbagai catatan dan juga sering juga terfikir mengenai kedudukan istilah Melayu purba yang ada kaitan dgn aqidah. Dan, hal obses, keghairahan ini timbul kerana minat berfikir. (Sedang dalam 'mood' memikirkan pengertian 'sangkakala')

4. Bahawa gerakan kependetaan Hindu - Buddha (khasnya Buddha) dlm hal ini, adalah suatu gerakan kependetaan yang menunggu-nunggukan hadirnya ajaran baharu; Islam seperti ...

-Waraqah bin Naufal (pendeta Nasrani) yang menentusahkan kerasulan Muhammad bin Abdullah ketika baginda dewasa.

-Kependetaan Buhaira yang menentusahkan kerasulan nabi Muhammad itu ketika baginda masih anak-anak kecil.

5. Rasa khuatir berhubung wujudnya spekulasi liar seperti yang disebut di bawah ini...

"...meruntuhkan teori-teori Islamisasi Islam di Alam Melayu dek kerana memperlihatkan "kepentingan" gerakan pendeta dalam menyerap ruh Islam untuk didakwahkan seolah-olah tanpa mereka, Islam itu jadi vakum di rantau ini."

... ini masih terjawab dengan contoh kependetaan Nasrani yang sudah mengesahkan kerasulan Muhammad s.a.w. Seperti itulah yang diangggar bahawa gerakan kependetaan Hindu-Buddha di Alam Melayu ini (tidak seperti di China dan India) telah mengiktiraf dan menerima dan menunggu-nunggu kehadiran ajaran baharu itu.

Kata kunci di sini - gerakan kependetaan Hindu - Buddha di Alam Melayu ada beza dengan kependetaan di India dan China. Sementelahan pula, ada beberapa petunjuk hadis menyebutkan bahawa Islam akan bangkit daripada Timur.

Juga Al-Attas (dalam ceramah bersumberkan Siti Fauziana) merujuk kpd 'hadis' yang termuat dalam Sulalatus Salatin. Kurang lebih mafhumnya - Rasulullah minta dibawa seruan dakwah di Samudera (Sumatera) sebab di situ akan ramai wali lahir. Sumatera saat itu adalah pusat pengembangan ajaran Buddha. Wallahu'alam...

6. Apa pun terima kasih. Pengumpulan bukti tentunya menelan waktu yg banyak. Sebagai yang disebutkan, setakat ini, spkb menemui kalimat LANGGAR dan SANGGAR dan sedang meneliti kalau-kalau hal itu terkait dengan gerakan kependetaan Melayu Hindu - Buddha di Alam Melayu purba. Ya, kita sentiasa menyemak karya-karya Al-Attas itu, insya Allah Ta'ala...

#################

selesai menonton National Geographic tentang biografi Tun Abdul Razak. Kes kisah 13 Mei, 1969 di Kg Bharu, setepatnya Jln. Hale (kini Jalan Raja Abdullah) membawa awal rumusan-rumusan Sekolah Pemikiran Kg Baru (SPKB) seperti berikut:-

1. Perlunya Anwar Ibrahim meneliti semula surah Al Fath (Pembukaan). Bangsa Cina dan India memasuki Kg. Baru (Mekah) pada 12 Mei (hari sebelumnya) dalam keadaan yang tidak terkawal. Kekecohan itu boleh diambil kesempatan semula oleh Umno.

Masuklah ke daerah-daerah kubu kuat Umno tanpa ejekan, maki hamun, lalu gantikan dengan TASBIH (1) dan TAHMID (2) dan ISTIGHFAR (3); ayat ke-3. [Tafsir Al Fansuri]

2. Selepas 1969, suatu pandangan awam diluncurkan; penyusunan masharakat harus bermula dengan penyusunan iktisad (ekonomi). Lalu lahir DEB bersama peruntukan 30 peratus daripada kek kekayaan negara itu yang perlu diberi kepada Melayu.

Oleh itu kita mestilah mengambilkira perana sosio-budaya juga (selain peranan iktisad tadi) dalam rangka penyusunan semula masharakat Malaysia Baharu.

3. Kepada Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar Ibrahim - kami cadangkan dinar emas dijadikan matawang bersama Ringgit Malaysia-RM dalam urusniaga seharian di S'gor, dan juga di 'negeri-negeri bersekutu' (NNB) di bawah naungan Pakatan Rakyat.

Misalnya, di Kemboja, matawangnya; RIEL turut digunakan bersama DOLLAR Amerika (USD). Maka syura pimpinan PR mungkin patut memikirkan satu pelan jangka panjang agar NNB mengamalkan sistem dua matawang (RM & Dinar) dalam urusniaga harian.

------

Pesanan buat Perdana Menteri Najib Razak, selepas ini, mungkin RTM boleh siar lebih banyak dokumentari National Geographic selain Tun Abdul Razak juga. Nanti, nampak macam 'bias'. Takut rakyat semakin meluat nanti. Sekian, terima kasih.

####################

mencoret catatan sempena Hari Malaysia, sambil menonton dan 1957: Hati Malaya sebagai berikut:-

1. Bukan Umno sahaja yang memperjuang kemerdekaan negara. Kita perlu menerima bahawa setiap orang, setiap pertubuhan, setiap persatuan, setiap lembaga dan badan yang wujud di negara ini ada jasa-jasanya tersendiri yang perlu diiktiraf.

2. Projek M'sia adalah projek British yang seterusnya selepas projek pertama mereka; Malayan Union gagal pada 1946.

3. LOGO dan BENDERA Umno dicipta boleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, anak saudara Onn Jaafar. Faham-faham KEMAJUAN, PEMBANGUNAN yang tercantum di dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin wajib dikunyah, diratah oleh kalangan Umnoan bagi menterjemahkan program pembangunan yang sepatutnya mereka amalkan.

4. Terima kasih kerana dedahkan juga isu Natrah. "Bila Melayu minta tolong Onn, dia tidak boleh tolong," kata mereka. Ketika inilah, Dr Burhanuddin Al-Hulaimy relevan. Di dalam filem ini, Umno S'pore minta tolong Tunku dan beliau setuju. Apa khabar PKMS sekarang? (PKMS a.k.a Umno Singapura).

5. VCD atau DVD '1957 Hati Malaya' memang tiada di pasarankah? Kalau ada, harap dimaklumkan. Bolehlah kita pakat-pakat telaah kembali...

############

Hari Raya Kedua - 2 Syawal ... apabila Pak Ndak sebutkan gelaran 'Pak Da' pada nama anaknya, Tok Wan menyetujui nama itu.

"Kalau di Patani, gelaran Pak Da memang nama orang tersohor," kata tok wan. "Pak Da Din tu marah bila orang gelar dia Pak Da."

"Pasai pa?" kami pakat-pakat bertanya.

"Sebab, dia tak sampai taraf nak dipanggil Pak Da lagi," tambah tok wan. Kesempatan itu, aku gunakan untuk cungkil-cungkil lebih dalam lagi. Rupa-rupanya, Pak Chu Him ada saudaranya yang dipanggil Pak Da El (Ismail) yang tersohor namanya di Kedah.

"Pak Da El tu memang layak dipanggil Pak Da," kata wan lagi. Bualan itu terpencar-pencar kepada kisah Tuan Hussein Kedah yang dibuang negeri dari Kedah kerana Sultan marah kepadanya.

"Akhirnya, pendapat Tuan Hussein itu betul," kata wan. "Tapi, Tuan Hussen dah merajuk. Dia cakap, kalau kencing sekali pun, dia tak mau mengadap ke Kedah."

Betapa ulamak terdahulu lebih berani berbanding ulamak sekarang ini...

################

menelaah ayat berikut dalam Judaism (World Faith) oleh Trevor Barnes yang menulis sebagai berikut:-

"Around 950 B.C, David's son, Solomon, built a magnificent Temple. It was destroyed in 586 B.C. by the Babylonians, who took the Jews into captivity. A second Temple was built, but this was destroyed by the Romans in A.D. 70, leading to another great dispersal (diaspora) of the Jews throughout the Middle East and Europe."


Petikan halaman 7, terbitan 2005, edisi awal, 1999. Rumusan awal SPKB adalah:-

1. Nabi Sulaiman tidak pernah membina Temple (Kuil), sebagai tempat sembahan berhala sepertimana kebiasaanya amalan ritual oleh golongan Paganisme itu.

2. Nabi Sulaiman a.s mengawasi jin-jin di bawah pemerintahannya yang diarahkan untuk membina rumah ibadat itu hingga dia mati ketika berdiri. Jin yang tahu kisah kewafatan ini akhirnya menjadikan peluang itu untuk menukar rumah ibadat haikal Nabi Sulaiman itu menjadi Kuil (Temple).

3. Hujah Yahudi yang menyatakan bahawa di bawah Masjid Al Aqsa itu ada tempat tapak haikal Sulaiman tertolak bersandarkan sabda baginda bahawa jarak tertegak Kaabah dengan Masjid Al Aqsa hanya seputar 40 tahun sahaja.

Ada dua jalur kisah tentang pembinaan Kaabah, iaitu pertamanya ia didirikan oleh Nabi Adam, kemudian ia diasaskan semula oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail.

Jarak 40 tahun antara pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Adam atau pada masa pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu dengan Masjid al-Aqsa; kedua-duanya bukanlah berlaku dalam jajaran masa kegemilangan Sulaiman a.s.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan