Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Khamis, 16 September 2010

Siswa dan kepartian

Surat buat siswa: Kemahasiswaan sejati kembali kepada akar rakyatnya (3)

Oleh H FANSURI

Menemui saudara...di dalam surat yang lalu telah dibentang secara ringkas sinopsis novel-novel yang pernah diratah hadam oleh kebanyakan mahasiswa USM itu; Rice Without Rain, The village by the sea, Little Lord Fauntleroy dan To Kill A Mockingbird.

Maka, hari ini kita lanjutkan kembali kupasan lanjut mengenai 'Rice Without Rain' itu. Terjemahan novel ini telah selesai dan mungkin ia sulit difahami bagi mereka yang tidak mengikutinya daripada mula atau yang mengikutinya tidak secara berterusan.

Kebetulan pula baru-baru ini, ada suatu rancangan Suara Siswa yang membawakan tajuk, adakah siswa kita matang. Tajuk ini pun sudah membikin hati gundah dan menyirap darah.

Tapi, apa nak dikatakan lagi? Tajuk itu terapung di ruang fikir khalayak kita dalam keadaan zaman-zaman kemahasiswaan Aspirasi mula melalui zamannya ketika mentadbir MPP di kampus-kampus universiti.

Ya, daripada suatu segi, ada 'baik'nya juga. Jadi, biarlah pimpinan Aspirasi yang bercakap sama ada mereka matang atau pun tidak.

Kembali kepada bualan awal dan asal, mari kita lihat kembali apakah yang kami pelajari ketika mula meratah isi Rice Without Rain itu? Ia mengisahkan segolongan mahasiswa komunis yang berusaha keras menyelami penderitaan petani desa yang ditindas keras oleh sekelompok kapitalis lintah darat.

Lalu, isi pemberontakan di desa itu mereka julang di ibu kota. Kisah Inthorn, kepala desa yang menjuarai protes sulung untuk menolak undang-undang lama; menyerahkan 2/3 hasil tuaian padi kepada tuan tanah Dusit itu dimuntahkan dalam akhbar mereka di Thammasart University di Bangkok.

Akhirnya penduduk desa sepakat memakai perundangan baharu; menyerahkan hanya 1/3 daripada hasil tuaian padi itu kepada lintah darat yang sudah lama memerah keringat, hasil titik peluh para petani.

Ned, seorang pemimpin pelajar itu sudah pun masuk ke dalam ruang bicara televisyen, dan bukan hanya menulis di akhbar, malah menggerakkan pasukan mahasiswa untuk menerbitkan akhbar mereka di universiti! Inilah rentetan peristiwa pembunuhan mahasiswa beramai-ramai di Bangkok antara tahun 1973 - 1976.

Jiranan Prasertkul, teman seperjuangan Minfong Ho (pengarang novel ini) menulis prakata dalam novel ini sebagai berikut:-

"... Never before had students in Thailand such a powerful role in helping to shape national policy. We helped organize strikes and trade unions; we demanded parliamentary elections; we protested the high rent that tenant farmers had to pay - in short, we tried to build a new Thailand."

Saudara, di sini kita melihat betapa semangat dan jiwa kental siswa sejati yang pulang ke asam garam di bumi, iaitu meraikan kaum petani dan menjulang isi perbincangan dan cita-cita kaum marhaen itu lalu melimpahkannya ke lembah ibu kota; daerah keras yang berhak menentukan dasar halatuju sesebuah negara.

Ya, kata Jiranan Prasertkul, mahasiswa itu bercita-cita membina sebuah negara baharu, sesuai dengan impian dan matlamat perjuangan mereka.

Kini, bandingkan dengan siswa hari ini yang dibelai keselesaan dan tidak didera resah menggunung ke atas kejahilan rakyat dan jiwanya belum tersentap, diusap kerinduan kepada akar masyarakat; petani, peladang, penternak juga nelayan pelaut; kelompok yang sering digelar sebagai mil'ul ardh'; asam garam di muka bumi ini.

Tanpa warga marhaen, nescaya kehidupan kita ini tidak berwarna dan lidah kita tidak mampu membezakan apa-apa rasa.

Saudara...

Sehingga catatan ringkas ini ditulis, dan jika anda membacanya, saya ingin bertanya, adakah anda membaca novel yang tergolong dalam daerah ini? Atau, sebagai pemimpin pelajar, adakah anda pernah memeriksa bahan bacaan novel sastera rakan-rakan pelajar khasnya pimpinan pelajar sebaya saudara?

Baru-baru ini dalam Suara Siswa, ada kalangan rakan saudara yang menyebutkan bahawa hubungan rakyat dan kerajaan itu mesti 'bottom to up'. Dan itulah yang dilaksanakan oleh siswa Thammasart itu. Siswa memunggah cita-cita, harapan desa bawahan kepada pihak atasan di ibu kota.

Hasilnya, perut terburai, darah bergenang di Bangkok dan air matang berlinang di sebalik histeria tembakan mortar, bom dan teriakan letusan peluru tentera. Bersediakah anda ke tahap itu-menanggung beban penderitaan ketika melaksanakan dasar 'bottom to up' sebagai yang termuat dalam novel tersebut? Inilah antara pelajaran terawal lewat pertanyaan saya di dalam catatan ini.

#################

Novel terbaik, sentuh dasar siasah dan keadilan (Surat ke-2)

Oleh H FANSURI

Saudara, setelah saya perkenalkan keempat-empat buah novel yang kami hadam ketika di Matrikulasi 1 dan 2 di USM itu, marilah dirumuskan pesan daripada novel-novel di bawah ini.

The Village by the Sea (Anita Desai) meriwayatkan perjalanan hidup seorang anak nelayan, Hari yang miskin dari Alibagh dan kemudian berhijrah ke ibu kota guna mencari kehidupan baharu.

Di sana, Hari bertembung dengan demonstrasi di Bombay. Aksi rapat umum kelolaan rakyat tercetus kerana arus kesedaran rakyat mula menular dengan derasnya terhadap bahaya jurang kemiskinan yang maha dahsyat di India.

Kemudian, kami hadam Rice Without Rain (Minfong Ho). Kisah perjuangan pelajar Universiti Thammasart di Bangkok yang berjuang menegakkan kesamarataan dan Al-'Adalaat al-Ijtima'iyyah (keadilan sosial) di sebuah desa mundur di utara Thailand.

Hasil penerangan oleh kalangan siswa komunis itu, akhirnya timbul kesedaran menyeluruh dalam kalangan warga ibu kota Bangkok mengenai kadar upah sewa tanah yang tinggi dan membebankan petani.

Mereka tolak sistem kapitalis dan akhirnya berlaku pembunuhan beramai-ramai di Bangkok itu yang tercetus sekitar 1970-an. Ini kisah benar dan telah diterjemahkan di akhbar ini sehingga selesai.

Menekuni The Little Lord Faunteleroy (Frances Hodgson Burnett) di Matrikulasi 2, kami bertembung dengan watak Cedric, seorang 'Earl' muda yang berani menyatakan politiknya di hadapan datuknya seorang bangsawan walaupun dia masih rebung usia.

Cedric yang dilahirkan di Amerika, kini menetap di istana datuknya di England lalu berlaku debat halus antara anak itu dengan datuknya berhubung hal kenegaraan dan perbezaan politik antara Amerika (United States) dan Britain (United Kingdom).

Akhirnya, kami membaca novel To Kill A Mockingbird (Harper Lee) yang menceritakan kekecewaan lelaki negro, Tom Robinson yang dituduh merogol gadis kulit putih Mayella Ewell di Maycomb, Alabama, Amerika.

Sebenarnya, Mayella menggoda Tom, tapi Tom menolak dan akhirnya dia pula dituduh mencabul kehormatan gadis itu. Tom membunuh diri setelah dilihatnya 'keadilan' mahkamah dikuasai orang kulit putih bermula daripada hakim hingga ke juri-jurinya.

Saudara, tiada novel yang dianggap bermutu saat meminggirkan kemanusiaan, keadilan dan menanggalkan kritikannya ke atas dasar politik kenegaraan.

Justeru saya hairan-atas dasar dan gerangan apakah, maka pelajar yang sudah membaca novel ini sampai hati dan tergamak sekali menyatakan kepada umum bahawa, "mahasiswa itu tidak layak menceburi politik kepartian..."


#################

Siswa punya hak berpolitik secara kepartian (Surat Pertama)

Oleh H FANSURI

(Surat ini ditujukan kepada seorang pemimpin mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) yang berpendirian bahawa mahasiswa sepatutnya menjauhi dunia politik kepartian. Apakah nama penuh saudara sebenarnya? Wafi?)

Salam perkenalan dan persaudaraan...


Maka, dalam nota ringkas ini, pandangan saudara berhubung isu ini adalah menjadi tajuk perbincangan kita bersama jikalau anda bersedia mendebatkannya. Kita tidak akan berbual-bual mengenai isu-isu lain melainkan hal yang menjadi keyakinan saudara selama ini; 'mahasiswa tidak perlu dibenarkan berpolitik secara kepartian.'

Ketika mencoretkan catatan ini kepada saudara, saya juga difahamkan bahawa saudara berkuliah di USM? Jika benar, maka kita ini sedang berada di jalur kuliah yang sama dalam menempuh pengajian di Matrikulasi USM.

Tahun itu, 1996, kami baru menjalani Matrikulasi 1 USM di Kolej Mara Kulim (KMK), Kedah ketika kami diperkenalkan dengan dua buah novel Inggeris; The Village by the Sea (Anita Desai) dan Rice Without Rain (Minfong Ho). Dan guru yang mengajar novel Inggeris itu bernama Mr Ng.

Setahun kemudian, 1997 kami dibawa ke USM induk di Minden, Pulau Pinang untuk mengikuti Matrikulasi 2. Ketika ini, kami diperkenal dengan novel Little Lord Fauntleroy (Frances Hodgson Burnett) dan To Kill A Mockingbird (Harper Lee). Manakala guru yang mengajarkan kami kedua-dua buah novel itu bernama Dato' Haji Mohamed Sidek Elamdin.

Cara pengajaran Haji Sidek itu amat lucu dan memikat sekali sehinggakan saya yang lemah penguasaan bahasa Inggeris pun cukup berminat untuk menyelami maksud dan pengertian yang cuba diseludupkan dalam fikiran kami saat itu.

Oleh kerana Matrikulasi 1 itu dipisah-pisahkan di kebanyakan sekolah dan kolej berlainan, justeru saya tidak tahu apakah novel ketika di Matrikulasi 1 itu dihadam oleh semua pihak.

Bagaimanapun, ketika kami di Matrikulasi 2, kami semua telah dihimpunkan di kampus induk Pulau Pinang di Minden. Jadi, guru Inggeris kami ketika di Matrikulasi 2 itu sudah pun diseragamkan.

Tapi, sebagai termaklum, oleh kerana kami membaca novel itu pun separuh hati kerana semata-mata ingin lulus ujian, maka roh dan pengertian sebenarnya tidaklah banyak manfaatnya kepada kami.

Mutakhir ini juga, saya mendapat tahu bahawa tahun matrikulasi sudah dimampatkan kepada setahun sahaja dan bukan dua tahun lagi. Beberapa orang 'junior' saya hanya mengenali Anita Desai, pengarang The Village by the Sea, karya yang kami ratah dan hadam sejak berkuliah di Matrikuasi 1 di KMK sebelum ini.

Saya menduga, kalau begitu 'junior' saya itu mungkin sempat menelaah Rice Without Rain juga yang diajar semasa di matrikulasi 1. Dan mungkin mereka sudah tidak membaca Little Lord Fauntleroy dan To Kill A Mockingbird yang diajar semasa matrikulasi 2.

Saudara Wafi,

Setakat saya menceritakan kedudukan empat buah novel Inggeris ini, apakah pula pengalaman saudara? Adakah sedikit perbezaan? Adakah kenal Haji Sidek Elamdin? Adakah saudara sudah meratah isi dengan 'The Village by the Sea' dan mengunyah 'Rice Without Rain' sebagai mana dugaan awal saya itu?

Kita harus berani memeriksa pemikiran dan menyemak semula cara berfikir kita selama ini. Pendirian dan pendapat kita banyak dipengaruhi oleh bahan-bahan bacaan kita selama ini. Saya sekadar mahu menyemak semula pemikiran warga pelajar USM, adakah ia sama dengan kami pada zaman dahulu?

Sekian, coretan awal dan catatan mukadimah daripada saya. Harap sudi menjawab soalan-soalan di atas. Kalau saudara berminat untuk mengirim pandangan balas, sila berhubung di alamat ibnuamir@yahoo.com.

Segala nota dan catatan yang termuat di dalam blog ini boleh diambil dengan syarat anda menyatakan asal-usul dari mana ia direkodkan. Hak Cipta Terpelihara (C), Al-Fansuri (1977 - 20??) Penulis blog ini boleh dihubungi lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan