Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Ahad, 15 Ogos 2010

100 buku harus dibaca sebelum mati

Ini suatu kisah, kisah paparan dan pengembaraan dan petualangan dan perkelanaan jiwa atau pun ia boleh disebutkan sebagai apa sahaja. Tapi bagi saya, ia adalah suatu percubaan peribadi untuk mengumpulkan 100 buku terbaik dan buku bermutu yang mungkin patut ada dalam pustaka peribadi kita.

Keperluan dan penarafan ini, kita bahagikan kepada (1) wajib baca; dan (2) sunat baca; dan (3) harus baca.

Berikut adalah buku-buku dan kekisah ringkas hasil renungan dan tenungan dan menungan peribadi, gabungan jalinan daya fikir saya dan rakan-rakan debat. Pemilihan buku berlaku di BookXcess, Amcorp Mall, PJ.

1. Xanadu; Marco Polo and Europe's discovery of the East (RM76.90 kepada 19.90)

2. 1001 movies you must see before you die (RM89.90 kepada 29.90)

3. Judaism (RM24.90 kepada RM5)

4. Attila (the Hun) The Barbarian King Who Challenged Rome (RM 89.90 kepada RM24.90)

5. Singapore (RM39.90 kepada RM9.90)

Jumlah harga asal RM321.50, tapi selepas pengurangan, menjadilah ia RM89.60. Kalah membeli, menang membaca!

LATARBELAKANG BUKU
1. Xanadu; Marco Polo and Europe's discovery of the East (RM76.90 kepada 19.90)

Saya mendengar Xanadu setelah menonton Citizen Kane, sebuah filem mengenai taikun media di Amerika. Dalam filem itu disebutkan Xanadu sungguh hebat seperti mahligai Firaun.

Apabila menyelak-nyelak, rupanya Xanadu adalah nama sebuah tempat; Shangdu yang menjadi tempat yang terkait kaum Mongolia ketika mereka hampir-hampir menakluk dunia.

Tambahan pula catatan ini ada kaitan dengan Mongolia, maka saya pun merembat buku itu, lagi pun tinggal sebuah saja, rugi kalau tidak ambil.

Saya terfikir-fikir sampai sekarang, adakah Xanadu (Shangdu) itu ada kaitan dengan candu dan madat dan ganja? Adakah candu berasal dari Shangdu. Pernah kita dengar Perang Candu. Huh, kembara perjalanan pengetahuan ini masih jauh.

Nazmi seperti biasa, dia kerap menduga dan menanam benih curiga bahawa saya membeli buku ini kerana di dalamnya termuat pertemuan Marco Polo dengan orang kenamaan Mongolia; Kublai Khan. Ini kerana, saya kerap memasukkan unsur-unsur Mongolia dalam penulisan saya. Ha! Ha!

2. 1001 movies you must see before you die (RM89.90 kepada 29.90)

Memang tersemat dalam anganan saya, mahu kumpulkan filem-filem bermutu untuk ditonton bersama rakan-rakan. Maka, rujukan ini memang sesuai. Bukan semua filem kita perlu tengok. Alang-alang mahu menonton, biarlah yang berkualiti.

Tapi, saya tidak nampak sebuah lagi buku yang tidak kalah pentingnya; "1001 books you must read before you die."

"Tinggal sebuah saja buku ni, depan mata kau saja," kata Nazmi. Pengesahan di depan kaunter didapati.

Jawapan tetap sama; buku 'mahal' yang Nazmi ambil itu dah habis. Hanya tinggal sebuah sahaja lagi. Urgh! Biar kalah membeli, asalkan menang membaca...

Tapi, akhirnya ada sebuah jurnal yang sempat dirembat Lutfi dan Nazmi berputih mata merenungnya. Entah apa nama jurnal yang terletak di bahagian majalah itu.

Masalah merebutkan buku itu barangkali lumrah biasa. Yang paling penting, biar kalah membeli, ya... asalkan menang membaca...

3. Judaism (RM24.90 kepada RM5)

Minat dan kecenderungan terhadap Yahudi terubat dengan sebuah buku; Judaism. Ia menceritakan hal-hal ringkas berhubung perayaan kaum Yahudi.

Saya berkira-kira mahu membeli sebuah ensiklopedia bahasa Yahudi, khabarnya ia ada terjual di Al-Azhar, Mesir? Kalau kita mahu menakluk bumi Kana'an, mesti boleh faham bahasa Yahudi termasuk mampu menulis dalam tulisan Yahudi.

Stamford Raffles boleh berbahasa Melayu sehingga mampu menulis dalam tulisan Jawi sebelum menakluk Tanah Malayu.

"Dulu, mana-mana pegawai British yang baik, akan dihantar ke India, tapi masa peperiksaan dia memberi jawapan yang agak berbeza, jadi British hantar dia ke Singapura," kata Lutfi ketika kami sedang menunggu waktu berbuka puasa.

Saya terpinga-pinga mendengar kisah yang baharu saya dengar itu. Entah di mana dia baca, saya pun tidak tahu. Nak tergelak pun ada. Macam lucu saja ceritanya itu.

4. Attila (the Hun) The Barbarian King Who Challenged Rome (RM 89.90 kepada RM24.90)

"Attila the Hun ni orang Barbar, tapi oleh sebab dia dah runtuhkan Rome, orang anggap dia sebahagian daripada Rome," kata Lutfi. Terkena 'hasutan' itu, maka saya pun ikut membeli sebuah.

"Attila ni bukan orang Mongolia ka?” tanya saya kembali.

"Eh, mana ada...” balasnya, ringkas. Saya teringat filem Night at the Museum yang mewajahkan rupa paras Attila the Hun seperti rupa paras orang Cina atau Jepun atau Korea atau barangkali Mongolia? Betul atau tidak dugaan saya itu, entahlah?

5. Singapore (RM39.90 kepada RM9.90)
Sebuah buku kecil yang memuatkan peta Singapura, kawasan pelancongan saya beli juga. Kalau nak berjalan, mesti ada peta dan pedoman dan petunjuk.

Mungkin buku ini berguna pada masa-masa depan. Kalau di Kinokuniya, harganya mahal dan di sini jatuh harganya sehingga RM10 sebuah.

Saya terlupa nak tanya, kalau-kalau BookXcess ada buku pelancongan Israel. Ia mungkin sangat berguna pada masa-masa akhir zaman!

6. A Short History of Myth (tak ingat harganya)

Buku ini, saya hampir beli, tapi memandangkan Nazmi sudah beli, maka saya tak beli akhirnya setelah membuang beberapa buah buku yang bila dihitung, mencecah RM177 lebih!

"Fuh, datang baca dekat Christian Living!" kata Nazmi yang datang menyapa dari belakang. Saya melangut dongak ke atas, memandang papan tanda.

"Aku tak perasan pulak papan tanda tu," kata saya kembali. Sudut pandang kami berbeza.

Saya belek buku itu kerana kecenderungan untuk menilai pengalaman mitos Barat yang banyak diresap bangsa Celtics, iaitu bangsa purba yang kebudayaan mereka banyak mempengaruhi Kebudayaan Barat hari ini. (Tafsiran SMN Al-Attas).

Sedang, dia mahu menilai makna mitos dan asal berlakunya amalan pagan semenjak zaman Paleolitik sehingga ke hari ini.

"Kita tiga orang saja orang Melayu yang datang ke rak buku-buku Kristian ni," kata Lutfi, sambil mata kami memerhati sekeliling. Dia yang hadir lewat paling banyak 'menghasut' diri ini dalam urusan pembelian buku.

"Mujur engkau datang ke rak buku Kristian. Kalau tidak, aku tak beli A Short History of Myth (Karen Armstrong)," kata Nazmi kepada saya.

Renungan, tenungan dan menungan saat berbuka puasa

BookXcess menjanjikan kad keahlian selama tempoh 3 tahun kalau pembelian buku itu melibatkan RM50 ke atas. Sebab itu, saya bajet RM50. Tidak tahu pula yang saya berdepan dengan masalah rambang mata.

Hasutan demi hasutan rakan-rakan memang berjaya. Selama berjuang menahan nafsu di sepanjang Bazaar Ramadhan Jalan Raja Alang, memang saya berjaya.

"Rupa-rupanya di sinilah medan melagakan iman dan nafsu, bukan lawan nafsu nak beli makanan, tapi kena lawan nafsu nak beli buku," kata saya kepada teman ketika hampir membayar buku-buku itu. Jenuh punggah balik buku-buku yang banyak itu setelah melewati bajet asal.

Ketika menunggu waktu berbuka, saya mengira semua jumlah harga asal buku-buku itu; RM321.50. Tapi selepas pengurangan, menjadilah ia RM89.60. Sekali lagi, kalah membeli, menang membaca!

Buku yang dicadangkan Lutfi kepada saya itu telah mententeramkan jiwa saya.

"Buku Attila ni, kat mana entah aku tengok, memang harga dia RM90. Di sini, dijual harga RM89.90," kata Lutfi lagi.

Jadi, kelima-lima buah buku tadi sepatutnya berharga RM321.50, tapi saya beli dengan harga RM89.60, kurang 30 sen, menyamai harga buku Attila (the Hun) pada harga pasaran yang sebenar!

"Ok lar, aku puas hati. Sebuah buku Attila pada harga pasaran (RM89.90) hari ini menyamai 5 buah buku yang aku beli dengan harga RM89.60. Ok la tu," kata saya memujuk hati yang terlebih bajet.

Bajet itu saya fikir nak peruntukkan untuk beli MP3 Player, tapi ditunda pada hari lain pula.

Saya belajar suatu hal hari ini, iaitu dalam bulan Ramadhan ini, kita mungkin tidak digoda di Bazaar Ramadhan dengan lauk-pauk dan kuih-muih penganan, tapi digoda dengan jualan murah di gedung-gedung buku.

Bualan sebelum berbuka itu turut menyentuh hal-hal terjemahan ke dalam bahasa Melayu yang kurang pantas dibanding Indonesia. Dan kami meneka-neka sebab apa terjadi begitu. Adakah mereka benar-benar cintakan ilmu atau rakan-rakan dari seberang memang perlu wang, lalu terjemahan itu menjadi kerjaya yang lumayan.

"Aku rasa, budaya ilmu kita tidak kuat," kata Lutfi menawarkan resolusi yang masih tergantung. Sembang dan debat kedai kopi memang tiada hakim dan tiada juri, jadi kebenaran boleh dijuarai oleh sesiapa sahaja.

Itu pun kita nasib baiklah tiada hakim dan juri, kalau bualan itu diseratai SB macam mana?

Untung benarlah sekarang ini kita ada goodreads.com, Facebook tempat melagakan fikiran  dan pendapat walaupun berada di kejauhan.

Saya menulis panjang ini kerana mahu bertanya anda, buku-buku apakah yang anda rasakan terbaik yang boleh saya masukkan di dalam kategori (harus baca), (sunat baca) dan (wajib baca).

Ada lagi buku-buku yang terpaksa saya tanggalkan kerana mahu memilih yang terbaik. Misalnya diari seorang penulis yang terkenal. Kedua-dua rakan saya itu membelinya tapi saya terpaksa membuangnya dari senarai bukan kerana ia tidak bagus, tapi maklumlah... bajet..

Bagi anda yang membaca coretan ini, disaran mendaftar bahan bacaan mereka dalam http://www.goodreads.com.

Dan, jangan lupa menjemput saya sebagai kenalan okay? Sebab, saya mahu mewujudkan Sekolah Falsafah Rakyat (Safar), maka ada pustakanya dan buku-buku terbaik dalam simpanan anda mungkin sangat berguna untuk diisi serta dipilih dalam pustaka Safar itu.

Wallahu'alam...

1 ulasan:

  1. pertambahan buku, cadangan dari si cangkir kelana

    1. Fajar Bakti (Pujangga Melayu), novel Mohd Affandi Hassan.

    BalasPadam