Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Rabu, 11 Ogos 2010

Ringkasan Tafsir Al-Fansuri

Juzuk 2:
Kiblat dan hubungannya dengan maruah umat Islam.

142 - Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus."


Pada awal-awal ayat ini, Allah s.w.t telah menamakan golongan yang mengejek Nabi Muhammad s.a.w serta umat Islam ini sebagai orang-orang yang bodoh (as-Sufaha'). Ini bermaksud, apabila datangnya pertanyaan yang mencabar persoalan maruah agama, maka orang-orang ini terus dicela dengan ungkapan berat.

Kiblat itu melambangkan dua perkara kepada kita. Pertamanya, umat Islam ini hidupnya bertujuan, ada hala tuju, hidupnya berfalsafah dan berpedoman. Dan, tujuan hidup kita ini akhirnya membawa ke akhirat.

Falsafah kiblat solat juga membisikkan kepada akal bawah sedar kita bahawa amalan kita di dunia ini mesti berkiblat kepada Al-Quran dan merujuk kepada hadis. Kiblat itulah tempat peta rujukan kompas kehidupan.

Sebab itu, kalau kita mahu menjawab soalan dalam kubur, ketika ditanya malaikat, siapa imammu, maka yang benar-benar beriman akan menjawab, "Al-Qur'an itu imamku."

Kedua, falsafah kiblat ini adalah sebagai lambang perpaduan dan persaudaraan dan kesatuan semua umat Islam sama ada solat secara sendirian atau jemaah beramai-ramai.

Maka, oleh sebab itu, ketika wujudnya pertanyaan dengan nada mengejek ini, maka Allah s.w.t langsung menggelar mereka sebagai orang-orang bodoh sebagai cara memujuk hati nabi yang resah saat itu, sekali gus ia menunjukkan bahawa kita jangan berkompromi dengan persoalan kiblat kita sendiri.

Disebutkan bahawa kiblat pertama umat Islam itu adalah Baitul Maqdis yang kini berada dalam tawanan kafir Yahudi Zionis. Hal ini berlaku setelah baginda menerima perintah solat secara rasmi dalam peristiwa Isra' dan Mikraj di mana baginda dibawa ke Baitul Maqdis untuk bersolat di situ terlebih dahulu.

Maka, sejak itulah kiblat bermula di Baitul Maqdis kerana berhala-berhala banyak didirikan di depan Kaabah binaan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s itu. Perbuatan mendirikan patung berhala itu lalu dibacakan syair oleh para penyair ini masih jua berterusan di zaman kita ini secara tidak disedari.

Misalnya tindakan meletakkan kalungan bunga lalu dibacakan syair dan sajak-sajak, dibacakan doa di depan  Tugu Negara oleh pihak angkatan tentera masih juga diamalkan sebelum walaupun sudah ada fatwa yang jelas mengharamkan tindakan tersebut. Hal ini kerana, tindakan seumpama itu mirip amalan ritual jahiliyyah Arab.

Oleh kerana begitu banyak berhala didirikan dan begitu ramai penyair menggubah syair dan membaca sajak di depan Kaabah itu, maka Tuhan tidak ingin umat Islam bertolak ansur dengan hal itu lalu Masjidil Aqsa telah dipilih sebagai kiblat baharu umat Islam terawal apabila mereka mahu bersolat.

Menurut riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Abu Daud dan al-Baihaqi dari Ibnu Abbas, katanya ketika Rasulullah s.a.w masih di Mekah sebelum berhiijrah ke Madinah, baginda akan berkiblat ke Baitul Maqdis jika baginda menunaikan solat, tapi Kaabah masih di hadapan baginda. Setelah berhijrah ke Madinah, baginda masih juga berkiblat ke Baitul Maqdis selama 16 bulan dan kemudiannya tiba perintah Allah s.w.t agar memalingkan wajah ke arah Kaabah.

Hari ini, kebudayaan kita dan cara fikir dan pandangan hidup kita sudah banyak 'berkiblat' ke arah Barat. Walaupun Tun Dr Mahathir pernah menyeru Dasar Pandang ke Timur ketika melawan Margaret Thatcher selepas peristiwa Serangan Subuh pada 1981, namun wanita pertama Britain itu meramalkan bahawa kita akan tetap memandang dan berkiblat kepada barat pada askhirnya.

Kisah-kisah drama dan filem Jepun seperti Oshin akhirnya tidak bertahan lama tenggelam oleh putaran ganas lambakan filem dan timbunan drama-drama Barat yang bertindan-tindan datang dalam jumlah banyak!

Paling penting, dalam apa juga urusan, matawang kita masih juga bersandar dan berkiblat kepada mata wang US Dollar sedangkan US Dollar tidak bersandarkan apa-apa pun melainkan dengan kepercayaan dunia sejagat bahawa ia memang bernilai. Satu langkah tepat apabila kerajaan negeri Kelantan memulakan langkah memperkenalkan wang dinar emas dalam urusan kewangan masyarakat.

Betapa pentingnya kedudukan matawang ini sehinggakan kita dapat melihat bagaimana sikap negara jiran sendiri, Singapura yang selepas setahun mereka berpisah daripada Tanah Melayu pada 1965, maka negara pulau republik itu terus mengisytiharkan matawang dollar Singapura sebagai matawang rasmi. Hal ini berlaku pada 1966. Inilah langkah terawal yang dilakukan. Iaitu melakukan reformasi - islah dalam bidang kiblat kita dalam urusan kejiwaan dan kerohanian dan selepas itu islah pendidikan dan kemudian islah kewangan.

(bersambung...insya Allah Ta'ala...), 7 Ramadhan, 1431, 12:11 pagi.

143 - Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

144- Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

145 - Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.

146 - Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

147- Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

148 - Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

149 - Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

150 - Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

151- (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

152 - Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). 

#####################

Juzuk 1:

SURAH AL-FATIHAH

Allah s.w.t itu pengasihnya mengatasi kemurkaannya. Oleh itu, walau sebesar manapun dosa-dosa hamba-Nya.

Allah itulah Tuhan dan Raja di Hari Perhitungan. Pada hari itu, hanya 'PENGHAKIMAN' yang berkuatkuasa. Tiada lagi unsur-unsur ekonomi, jual-beli, sistem pasar, sistem pendidikan, anak-pinak sudah tidak lagi bernilai apa-apa. Hanya sistem kehakiman Tuhan yang akan tertegak.


Saya mendengar, Syed Muhammad Naquib Al-Attas berkata, bahawa 'Yaum Ad-Deen' itu adalah Hari Agama atau Hari Perhitungan di akhirat kelak. Maka, kalimat Ad-Deen di sini terus dipertalikan terus dengan hukuman, penghakiman dan undang-undang.

Sebab itu, kata-kata orang yang menyatakan bahawa agama Islam itu bukan hanya perundangan (tapi juga membabitkan ekonomi, pendidikan) itu adalah kata-kata yang tidak tepat sebab Ad-Deen (Yaum Ad-Deen) di sini yang dipertalikan terus maknanya dengan Hari Perhitungan itu, terkait terus dengan hukum perundangan.

Sebab itu, Ad-Deen (Islam) dengan undang-undang hudud sangat rapat dan akrab sekali, mengatasi segala dimensi kehidupan di dunia yang lainnya seperti hal ekonomi, iktisad dan yang lain-lain cabang yang pernah diangkat sebagai bahan perbincangan hari ini.

JALAN YANG DILURUSKAN (Siratal Mustaqeem)

Kita diajar agar berdoa kepada Tuhan supaya diberikan pedoman serta petunjuk, agar dilorongkan dan didorong untuk mengikuti jalan yang telah diluruskan. Siapakah yang telah meluruskan jalan ini? Hal ini membawa pengertian beberapa perkara.

Pertama, agama Tauhid ini bukan rekaan insan. Di dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin, Syed Muhammad Naquib Al-Attas menegaskan bahawa agama Islam ini berdiri di atas landasan agama Hanif Nabi Ibrahim a.s.

Dan, peristiwa Ibrahim mencari Tuhan sehingga tersasar itu memberikan inti pengajaran kepada kita bahawa tenaga kudrat akliah manusia tidak mampu mencari Tuhannya melainkan dengan rahmat Tuhan itu sendiri. Sangkaan bahawa bintang cakerawala dan bulan dan matahari sebagai Tuhan terhapus dengan sebab tibanya keyakinan daripada Tuhannya sendiri. Oleh itu, agama itu bukan yang dicipta oleh manusia melainkan Tuhan sendiri.

"Sebab itu, kita tidak disebutkan sebagai Muhammadiyyun (pengikut-pengikut Muhammad) sepertimana Barat menggelar kita sebagai demikian," kata Al-Attas dalam suatu temu bual bersama Syeikh Hamza Yusuf dari Amerika Syarikat.

Hal ini juga memberi maksud, jalan-jalan yang diluruskan Tuhan ini pernah disimpang-siurkan berkali-kali. Beberapa percubaan telah pun dilakukan oleh manusia yang tidak jujur dengan agamanya dan Iblis dan syaitan itu sendiri. Setelah jalan itu sudah tidak lurus, maka Tuhan membangkitkan nabi demi nabi, rasul demi rasul untuk kembali menyusun dan membetulkan jalan fikiran manusia yang sudah menyimpang jauh dari landasan agama itu, oleh kerana gangguan seteru Allah s.w.t tadi.

Kedua, perlu ada pedoman cahaya petunjuk, penerangan daripada 'authorities', ahli-ahli, ulul albab... ihdina (beri kami sinar pedoman, cahaya petunjuk) untuk berjalan di jalan yang telah diluruskan ini. Tanpa cahaya dan sinar ini, kita boleh terjatuh kerana tidak nampak jalan yang diluruskan itu.

Misalnya sebuah kereta yang berjalan di sebatang jalan yang lurus pada waktu malam tanpa lampu. Masih lagi ia perlukan cahaya petunjuk untuk menerangi kegelapan yang membalut di jalanan yang lurus tadi.

Sebab itu, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, sahabat-sahabat baginda bagaikan bintang-bintang di langit tinggi. Sesiapa pun yang mengikuti mereka nescaya selamat. Bintang-bintang di langit itu adalah lambang kepada sinar cahaya petunjuk.

Ketiga - isu yang membelenggu kita pada hari ini bukanlah soal tidak nampak kebenaran, tetapi tidak tahu mencari jalan atau terlupa jalan sebenar untuk mencapai kebenaran itu. Buya Hamka pernah menulis mengenai hal ini, katanya, "rumah sudah nampak di mata, hanya sukar mencari jalan untuk menuju ke sana."

Misalnya, kita berjalan ke sebuah tempat untuk mencari sebuah bangunan dan binaan. Apabila sudah nampak binaan yang kita cari itu, maka kita tidak tahu atau pun terlupa pula kepada jalan untuk kita sampai kepada binaan tersebut.

Ketidaktahuan dan keterlupaan kepada jalan itulah yang menyebabkan kita terlanjur meminta fatwa kepada orang-orang yang tidak sepatutnya kita percayai pandangan mereka itu. Antara mereka adalah dajal yang handal menipu dan orang yang tidak jujur dengan agamanya sendiri. Agama boleh diangkat sebagai alat atau aset untuk memajukan kemasyhuran dirinya sendiri.

Tidak tahu atau terlupa jalan itu boleh sahaja dirawat dengan pertanyaan hatta kepada orang yang tidak dikenali, tapi jangan diimani dengan sepenuh hati. Tanyalah kepada orang yang ahli dan berpeganglah kepada orang-orang yang memiliki keahlian itu.

Dalam hal ini, Al-Quran menyatakan, "... mereka bertanya untuk mencari pelbagai jawapan, lalu mereka mengikuti pandangan yang terbaik." Pada tahap ini, setiap orang yang ingin mengetahui jalan-jalan menuju ke rumah kebenaran itu mesti selalu menanam sikap ingin tahu pelbagai pendapat untuk mengelakkan dirinya ditipu oleh dajal dan manusia yang tidak jujur dengan agama itu.

Panduan agama bersandarkan hadis nabi juga ada menyatakan, "tinggalkanlah apa-apa yang meragukan," - keluarlah dari daerah ragu-ragu dan berhijrahlah ke daerah keyakinan.

Keempat, oleh kerana jalan yang diluruskan Tuhan ini membawa kita ke jalan kebahagiaan, maka jalan millah Hanif yang pernah dirintis oleh Ibrahim a.s ini pernah cuba disimpang-siurkan oleh Iblis dan pasukannya berkali-kali.

Oleh itu, Tuhan akan menggantikan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul. Rasul-rasul ini akan mengiktiraf sahabat-sahabat mereka sendiri dan Nabi Muhammad s.a.w juga bersabda bahawa pada setiap 100 tahun, mujaddid akan muncul. Maka, orang-orang yang ada keahlian dan kepakaran dan kemahiran mengenai selok-belok ruh dan jiwa agama inilah yang mesti diikuti panduan mereka itu.

Menjadi kewajipan ke atas kita untuk sentiasa mengkaji tentang cara-cara bagaimana Iblis dan syaitan yang sentiasa perbaharui kaedah mereka dalam rangka menyesatkan manusia ke jalan yang benar ini.

Kita mestilah membangunkan suatu disiplin atau bidang baharu berhubung kajian ke atas kaedah penipuan ini. Mereka yang tahu cara-cara Iblis dan syaitan dan dajal dan manusia yang tidak jujur beragama yang sentiasa menyesatkan manusia itu, akan juga terbebas daripada ikatan belenggu penipuan mereka itu.

Huzaifah Al-Yamani berkata, ketika sahabat lainnya kerap menitikberat persoalan menambahkan amalan, maka beliau selalu ingin tahu perkara-perkara yang boleh merosakkan amalannya. Iblis dan syaitah akan sentiasa berusaha keras untuk merosakkan amalan selepas mereka gagal mematahkan semangat anak Adam a.s yang beriltizam kuat menambah amalan mereka itu.

AL-MAGHZUB DAN AD-DHOLLIN

Pengikut jalan yang diluruskan (siratal mustaqeem) tadi adalah golongan yang terkeluar daripada golongan Al-Maghdhub dan Adh-Dhollin.

Al-Maghdhub - orang yang berdosa, tapi masih punya potensi dan keyakinan yang kuat untuk berubah lalu kembali menemui jalan yang diredhai oleh-Nya.

"Dan janganlah kamu semua mati melainkan atas nama Muslimun," begitu maksud petikan ayat Al-Quran. Ia juga wasiat Yaakob a.s ketika hampir menemui Tuhannya. Pesanan ini mengalir sehingga ke hari ini, dan Bani Israel (ahli keluarga Yaakob) masih juga berpeluang kembali ke arah jalan yang diluruskan ini jika mereka benar-benar jujur dan ikhlas.

Adh-Dhollin - orang yang sesat, kerana keangkuhan dan ketakburannya (kecantikan, kemuliaan diri, kepandaian, kecerdikan) lalu menolak faktor kehadiran Tuhan dalam kehidupannya.

Dalam salah satu kuliahnya, saya mendengar Syed Muhammad Naquib Al-Attas berkata, beliau sedikit bercanggah dengan tafsiran yang menyatakan bahawa golongan Kristian juga akan dihukum oleh Tuhan.

Seorang guru kami, Ustaz Wan Salim Wan Mohd Noor menyatakan daripada pengalaman rohani rakan-rakannya, bahawa ada golongan Kristian yang mungkin tidak masuk ke syurga, tetapi tidak pula dia dilemparkan ke neraka.

Golongan ini adalah golongan yang baik, tidak menindas orang lain, tidak bersengketa dan tidak membawa kerosakan, sepanjang hidupnya ia hidup berpandukan agama sahaja dan telah lama hidup berpandukan agama yang telah dirosakkan itu.

SURAH AL-BAQARAH

MAKNA KHALIFAH

Iblis berasa dirinya terhormat lalu dia enggan bersujud kepada Adam a.s. Kedudukan Adam itu berterusan dicemburui oleh Iblis sehingga dendam ini tercurah ke atas anak-anak Adam. Kita menggelar penyakit dendam kepada seluruh keturunan ini kita panggil 'Dendam Warisan'.

Tapi, akhirnya hasil hasutan Iblis dan syaitan, dosa-dosa Adam yang dikembangkan dalam Bible dengan lafaz Dosa Warisan', lalu tenggelamlah dosa dan maksiat Iblis yang tidak disebut dan tidak diperbesarkan dalam kitab pegangan umat sebelum ini.

Berlaku sedikit debat berhubung bagaimanakah malaikat mengetahui kedudukan Adam dan keturunannya yang akan menumpahkan darah, berperang dan merosakkan dunia ini.

PANDANGAN BUYA HAMKA DAN KAUM SUFI DAN KAUM SYIAH

Bagaimanapun, kita menarik sebuah catatan daripada Tafsir Al-Azhar oleh Buya Hamka yang beliau ambil dari Al-Alusi. Kata Al-Alusi, pengarang Tafsir Ruhul Ma'ani, bahawa dalam Jami'ul Akhbar dari orang Syi'ah Imamiyyah, fasal 15, yang menyebutkan bahawa sebelum Allah menjadikan Adam, moyang kita ini, sudah pun ada 30 orang Adam sebelum ini.

"Jarak di antara satu Adam dengan Adam yang lain 1,000 tahun, setelah Adam yang 30 itu, 50,000 tahun lamanya dunia rosak binasa, kemudian ramai lagi 50,000 barulah dijadikan Allah nenek kita Adam," pandangan dari Tafsir Al-Azhar itu dipetik.

Ibnu Buwaihi meriwayatkan di dalam Kitab at-Tauhid, riwayat dari Imam Ja'far as-Shadiq dalam suatu hadis panjang, dia berkata: "Barangkali kamu sangka bahawa Allah tidak menjadikan manusia (basyar) selain kamu. Bahkan, demi Allah! Dia telah menjadikan 100,000 (Alfu Alfi Adama), dan kamulah yang terakhir dari Adam-Adam itu!"

Berkata Al-Haitsam pada syarahnya ke atas Nahjul Balaghah: "Dinukilkan dari Muhammad Al-Baqir bahawa dia berkata: Telah habis sebelum Adam yang Bapa kita 1,000 Adam atau lebih." Ini semua adalah pendapat dari kalangan Imam-imam Syiah sendiri: Ja'far as-Shadiq dan Muhammad al-Baqir, dua di antara 12 Imam Syiah Imamiyyah.

Kalangan kaum Shufi pun mempunyai pendapat demikian. As-Syaikh Al-Akbar Ibnu Arabi dalam kitabnya Futuhat al-Makkiyyah, bahawa 40,000 tahun sebelum Adam, sudah ada Adam yang lain.

Maka, demikianlah caranya kemungkinan para malaikat telah pun mengetahui bahawa keturunan Adam a.s itu akan berbuat kerosakan ke atas muka bumi dan saling berbunuhan sesama mereka.

Apakah pendirian Hamka terhadap pengetahuan-pengetahuan yang ditimbanya daripada Syiah ini. Sedangkan diketahui bahawa beliau adalah orang Muhammadiyyah, terkenal pula dengan pergerakan Kaum Muda, terkadang digelar orang sebagai Salafi dan Wahabi. Di mana, dalam keadaan di negara kita hari ini, aliran Syiah ini kerap berdepan dengan Wahabi?

Maka, kata Buya Hamka ketika berdepan dengan fahaman Syiah itu, "... Tetapi, di dalam hal yang mengenai ilmu pengetahuan alam ini, amat sempitlah faham kita kalau sekiranya kita tidak mau memperdulikan, mentang-mentang dia timbul dari Syiah. Kerana hal-ehwal yang berkenaan dengan ilmu pengetahuan itu adalah universal sifatnya, iaitu menjadi kepunyaan manusia bersama. Apatah lagi sampai kepada saat sekarang ini dan seterusnya, penyelidikan ilmiah tentang alam, tentang hidupnya manusia di dunia ini, tidaklah akan berhenti."

Tamat nukilan dari Tafsir al-Azhar oleh Buya Hamka.

Wallahu'alam (tamat sementara ringkasan Tafsir Al-Fansuri)

Tempat: Sekolah Pemikiran Kg Baru (SPKB)
Tarikh: 1 Ramadhan, 1431

1 ulasan:

  1. alhamdulillah.... sangat menarik... cukup sebulan nanti maka akan terbit lah sebuah tafsir baru.. tafsir Al-Fansuri... insyaAllah.... teruskan usaha...

    BalasPadam