26 Ramadhan - baru balik dari Perpustakaan Negara Malaysia. Pada 4:20 petang baru dapat tonton Dr Zhivago di TV2. Merumuskan beberapa perkara seperti berikut:-
1. Gagal mencari Relung Cahaya, Imam Al-Ghazali. Ada dalam senarai daftar. Tetapi, bila dicari dekat rak yang sepatutnya, tiada pula ditemui. Tolong aku Muhammad Lutfi Ishak.
2. Novel dan filem Dr Zhivago ini sebut nama Lenin dan revolusi dengan jelas. Jikalau kita tulis nama Najib Razak dalam novel-novel kita ada masalah tak? Ada tak penerbit yang mahu terbitkan?
"Harus cari DVD Dr Zhivago untuk dimuat di dalam senarai filem wajib tonton sebelum mati," getus hatiku.
3. Menggelintar A Short History of Myth (Karen Armstrong), tetapi nampaknya seperti tiada dalam senarai daftar. Agak-agaknya, PNM belum beli buku ini lagi kot? Kau rasa macam mana Nazmi Yaakub? Nanti tolong bawa ke DOM okay? (Termasuk Final Draft)
4. Di sekitar rak-rak yang tersusun berbaris dengan buku-buku agama yang berbilang itu, ada juga kulihat kertas nombor ekor yang terjatuh di lantainya.
"Hurm...Sepertinya, penjudi dan penikam nombor ekor; Magnum dan Toto dan Da Ma Cai pun berlegar juga di rak-rak buku agama," desis hatiku.
5. Masih jua mengikuti Dr Zhivago di televisyen saat ini. Apakah ada terjemahan novel Dr Zhivago di pasaran, yang terhormat; Puan Ainon Mohd.?
6. Akhirnya, dapatlah kita pinjam 3 buah buku-Rahsia dan Khasiat Huruf-Huruf Hijayah (Abu Al-Baqir Ad-Dusuki). Adakah ini ilmu huruf tuan Yuzamri Yusof?
7. Juga meminjam 'Mitos 72 Jin Solomon (Jamie Surina). Di dalamnya, konon wujud 72 jin di bawah pemerintahan kerajaan Sulaiman a.s. Jin Ifrit itu yang mana satu ya Ustaz Mohamad Kamil? ;)
8. Juga meminjam buku 'Islam The Concept Of Religion And The Foundation of Ethics and morality' (SMN Al-Attas). Baru bertembung dengan Kebudayaan Barat di halaman 45 yang merumuskan bangsa CELTIC, NORDIC dan GERMANIC.
Mungkin Celtic yang memberi kesan dan menyumbang pengaruh besar kerana istilah CULT dan CULTURE mungkin terbit daripada CELTIC? Ia seperti istilah Fanatic (selalu kita nisbahkan kepada golongan fanatik agama) yang mungkin ada hubungkait dengan Fanaticus; golongan pagan di Roman.
Cuma terhad tiga buah buku sahaja yang dapat dipinjam. Tak boleh melebihi hadnya. Haiz... Tamat nota.
################
25 Ramadhan - menyifatkan kehidupan di penjara itu lebih afdal berbanding hidup di luar yang sangat berleluasa dan sarat dengan muatan timbunan fitnah berkoyan-koyan.
"He (Joseph) said: O my Lord! The prison is more to my liking than that to which they invite me: unless Thou turn away their snare from me, I should (in my youthful folly) feel inclined towards them and join the ranks of the ignorant." (Yusuf: 33)
(The Holy Koran, Abdullah Yusuf 'Ali)
Lalu, berkatalah seorang tahanan kepada Fahri Abdullah (Ayat-Ayat Cinta), "Yusuf itu telah memilih hidup di penjara berbanding bergaul dengan manusia penfitnah..."
Hidup pada zaman edan barangkali begitulah nasibnya. Fitnah bukan berlaku baru ini, ia berlangsung sejak zaman-berzaman. Fitnah adik-beradik Yusuf bermula sejak awal lagi sebelum itu ketika Yusuf dikatakan mati dibaham serigala!
Lalu.. 'penjara' pertama bagi Yusuf bukanlah penjara di Mesir, tapi ia adalah 'penjara' telaga, perigi buta dan sumur kerana dilempar ekoran mereka cemburukan Yusuf.
Yusuf terpenjara di Mesir dan dilemparkan ke dalam sumur buta kerana HATI BUSUK manusia!
[Termuat di dalam Tafsir Al-Fansuri]
'Mood': Masih mengikuti Ayat-Ayat Cinta di TV3. Dan, sedang menyiapkan rancangan untuk menubuhkan pasukan pemantau produk budaya yang berleluasa, maharajalela di rangkaian tv kita hari ini.
##############
25 Ramadhan -sedang tonton Carissa Putri dalam Ayat-Ayat Berchenta. Juga mengirim pendapat sebagai berikut:-
1. Negara dan bangsa kita pada masa depan harus memikirkan keputusan supaya para pemuda di negara ini dibenarkan, diharuskan menikahi gadis Melayu murtad yang berpindah ke agama Samawi (Kristian).
Apakah negara melihat gadis Melayu murtad sebagai ahli kitab dan kita ada ruang untuk menikahi mereka dan mengembalikan mereka semula ke laras jalan Tauhid? (Kita tanya saja, jangan marah...)
2. Menganjurkan rangkaian televisyen merenung semula hasil produk budaya yang mahu dikembangkan menjelang hari raya ini. Kenapa harus ada Mohabbatein dan Spiderman dan lain-lain filem yang bukan dari citra agama kita?
Di manakah Laskar Pelangi, Wanita Berkalung Sorban, Sang Murabbi? Sepatutnya, pada hari lebaran ini sudah masuk filem-filem dari rakan-rakan negara Islam; Iran dan Morocco dan Mesir dan lain-lainnya.
Suatu pasukan pengkaji produk budaya yang menular di tv patut ditubuh segera...
'Mood': Ditujukan pautan nota ini buat rekan-rekan semuanya di TV3 dan terhadap rakan-rakan yang lain.
#############
23 Ramadhan - menyeru rakan-rakannya dengan kata-kata berikut:-
Setelah mengetahui hakikat dan kedudukan Lailatul Qadar berdasarkan pendapat ulamak mengenai malam-malam yang ia mungkin jatuh maka saya tertarik melihatnya dari sudut pandang Buya Hamka berhubung penafsirannya mengenai hakikat Lailatul Qadar itu.
Buya memberi 3 contoh; Umar Al-Khattab, Fudhail bin Iyadh dan Syeikh Muhammad Jamil Jambek. Mereka ini asalnya manusia yang lupakan Allah, ego, takbur dan IRI tegak berdiri. Tetapi, malam kesedaran, malam pencerahan agung, malam 'Lailatul Qadar', diri-diri yang selama ini tegak berdiri, telah tunduk, akur, RUKUK dan SUJUD kepada-Nya.
Sebagai yang disebut oleh Ibnu 'Arabi juga, maka Lailatul Qadar itu tidak semestinya jatuh dalam bulan Ramadhan sahaja. Ia mungkin turun di bulan Rabiul Awwal, Rabiul Akhir dan lain-lain bulan. Mungkin Umar, Fudhail, Muhammad Jamil serta kita sendiri sudah pun mendapatkannya, tetapi kita sendiri tidak menyedarinya.
Bagaimanapun, jangan berhenti mencari dan jangan pernah berhenti untuk berputus asa dalam usaha mencari PENCERAHAN AGUNG itu sehingga tercapai kesedaran yang hakiki ke hadrat Ilahi.
Kita juga boleh memeriksa apakah pada malam itu ada hati-hati dan jiwa yang tunduk kepada nasihat-nasihat kita. Janganlah kita hanya memantau alam dan memeriksakan keadaan sekeliling sahaja, menantikan keajaiban kalau-kalau benar pohon SUJUD.
JANGAN DILIHAT PADA POKOK YANG BERSUJUD, LIHATLAH APAKAH HATI BERSUJUD?
Pada 10 malam terakhir ini, periksa semula dIRI (diri) kita, adakah hati kita SUJUD ke hadrat-Nya? Adakah isteri dan anak-anak SUJUD kepada kata-kata dan nasihat kita?
"Jangan nak... bermain mercun itu membazirkan duit," begitu nasihat kita malam ini. Maka, cobalah pada malam-malam seterusnya dengan hujah lain pula.
"Jangan main mercun nak, nanti rentung wajahmu, tiada dapat memasuki sayembara Imam Muda, Gadis Melayu etc..." nampaknya tiada kesan juga. Tidak apa, dicoba lagi pada malam berikutnya.
"Jangan main mercun nak, kelak hangus terbakar bagai bom C4 letupkan Altantuya..." Kali ini, mungkin mereka sedar dan SUJUD pada nasihat-nasihat kita dan mungkinlah juga malam di mana hati anak itu SUJUD itu adalah malam Lailatul Qadar agaknya.
Bimbinglah dan nasihatkanlah ahli-ahli Umno, "Sudah-sudahlah tu sampai bila hangpa nak pangkah kati dan dacing ini, bertaubatlah..." Mungkin hati mereka belum SUJUD.
Bimbinglah mereka pada malam-malam berikutnya, "Ali, kerana Umno itulah, bangsa Melayu menjadi rosak, hancur luluh binasa. Sang Gedembai sudah beberapa kali tiba di Tanah Melayu ini mengirim pesan dan MENEGUR penguasa yang zalim. Oleh sebab, mereka tiada peduli akan TEGURAN Sang Gedembai itu, maka Allah tukar mereka jadi batuan di daerah pergunungan dan giri (giri, 'gIRI' adalah gunung dalam Sanskrit)."
"Hang nak jadi batukah? Hati hang pun dah keras macam batu akibat terlalu lama dok dengar fitnah Umno ini," kata kita kepada Ali, seorang penganut Umno yang tegar itu.
Jika kebetulan si Ali itu tiba-tiba berubah hatinya dan dia berikrar mahu undi Pakatan, kemungkinan pada malam kita bertasykil dan berbayan kepada Ali itu mungkin malam Lailatul Qadar kerana hati Ali yang sukar ditumbangkan itu akhirnya rebah dan SUJUD ia mendengarkan nasihat dan kata-kata kita itu.
"Ya, ya, daku bertaubat dan aku berikrar sumpah tidak mahu undi Umno lagi," kata si Ali itu lagi.
"Sekadar bersumpah tiada mengundi Umno itu tiada ertinya manalah tahu kalau hang buat undi rosak, tiada guna jua dan tiada ertinya jua buat faedah membangun negara kita ini. Undilah PR sama..." demikian gertak ugut ancaman kita lagi.
"Ya, ya, aku ak buat undi rosak, sumpah aku tak buat, aku akan undi PR lepas ni..."
Selepas itu, jangan kita terkinja-kinja kesukaan kerana menang berhujah menumbang hujah lawan yang hatinya sedang berSUJUD pada malam yang mungkin Lailatul Qadar itu. Ambillah wudhu' dan pergilah bersolat lalu berdoalah kalian sebagai berikut:-
"Ya Allah, demi keberkatan malam Lailatul Qadar ini, makbulkanlah doa kami, hancur Umno dan jatuhkanlah Barisan Nasional, hentikanlah kezaliman mereka dan jikalau PR memerintah, janganlah dibiar hati pemimpin PR tiada SUJUD kepada-MU seperti mana kaum Umno yang ingkar dan enggan berSUJUD kepada-Mu sebelum ini."
Dan, kiaskan doa-doa mengikut kesesuaian sesedap rasa sehingga menjelira munajat anda dalam hati. Wajib juga kita berdoa semoga PR diberi kekuatan untuk SUJUD ini, kerana Syeikh Abdullah Pak Him (Abdullah Fahim) pernah juga menyindir Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakannya dengan berkata.
"Janganlah nanti bila British dan pergi, kamu semua nanti berperangai macam British juga adanya," kata beliau kurang lebih setelah memberikan 'fatwa' berhubung tarikh kemerdekaan negara kita yang jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.
Demikianlah ayuhai saudara-saudara... kesimpulannya...
Jangan dilihat kepada pohon yang berSUJUD, tapi hati manakah yang keras dan tetiba ia mudah menurut dan mengikut dan berSUJUD kepada nasihat-nasihat kita. Mungkin, malam itulah Lailatul Qadar agaknya.
Dan, selepas cuba mengirimkan nasihat itu, jika dilihat pesan-pesan sudah berkesan, maka pujilah Allah sebanyak-banyaknya dan berwudhuklah dan bersolat lalu berdoa, semoga doa kita untuk menjatuhkan Umno dan BN itu dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
Dan, yang lebih PENTING, berdoalah moga perangai Umno itu tiada tumpah, mengalir tercurah kepada Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan PKR sebagai yang dibimbangi Syeikh Abdullah Pak Him dahulu kalau-kalau perangai British menyelinap dalam ruang fikiran dan jiwa Umno. Ya, ternyata jelas - kebimbangan mursyid kasyaf Abdullah Pak Him itu sememangnya berasas! Wallahu'alam...
##############
sedang memikirkan kemungkinan Agama Shinto (Shinta-Cinta) di Jepun mungkin juga agama yang berteraskan CINTA, kasih sayang dan Ar-Rahmaan.
"Manusia berjiwa pengasih itu akan dikasihi oleh Ar-Rahmaan (Allah), maka kasihi yang berada di bumi, kelak kamu akan dikasihi oleh penghuni di langit," begitulah sabda nabi kita.
Sebab itu juga, Allah membenci kezaliman dan tindakan yang melampaui batasan kerana hal itu (melewati batasan) terkeluar dari daerah lingkungan kasih sayang.
Misalnya, memukul anak demi kasih sayang. Kalau 'terlebih' rotan, ia mungkin juga kerana berdendam kepada anak. Begitu juga memukul isteri untuk beri kesedaran.
Tapi, kalau sampai lebam-lebam dan luka, hal itu melewati batasan dan terkeluar dari daerah lingkungan CHINTA, SHINTA, SHINTO dan kasih sayang.
Demikian juga tindakan menghukum pesalah ISA sehingga 2 tahun sehingga boleh ditambah lagi 2 tahun hukuman penjara hingga terlalu lama hingga bercerai-berai keluarga sehingga bergegar tiang arasy. Ini sudah zalim dan melewati batasan!
Cerai-berai dan jatuh talak berlaku dengan sebab ISA sehingga menggegar tiang arasy di langit itu akan menatijahkan kecelakaan bagi penguasa Umno dan BN.
Sebaik-baik amalan bagi Perdana Menteri Najib Razak, sepupunya Hishammuddin Hussein (KDN) dan Musa Hassan - Sila Letak Jawatan, Rakyat Telah Bersuara yang baru dilucutkan jawatan baru-baru ini sebagai Ketua Polis Negara (Alhamdulillah..) adalah MEMBEBASKAN SEMUA TAHANAN ISA TANPA SYARAT!
Sekali lagi, amalan terbaik untuk kalian bukanlah menaja moreh di masjid ataupun mengagihkan dan memasak bubur lambuk bersama rakyat di bulan Ramadhan ini.
Yang terbaik bagi anda ialah jangan menyusahkan umat serta jangan menakutkan rakyat dengan akta-akta drakonian dan akhirnya bebaskan tahanan ISA!
Hiduplah di atas bumi Ar-Rahmaan ini dengan nafas CHINTA, CINTA, SHINTO dan SHINTA. Kalian boleh berubah jika kalian mahu. Berubahlah sebelum parah...
Mood': Baru saja lepas menonton Syahadah yang mengetengahkan agama Shinto, yang berkembang di Jepun.
###############
Sedang meneliti pengertian Lailatul Qadar oleh Buya Hamka dan Ibnu 'Arabi, maka rumuskan pun dibuat sebagai berikut:-
1. Iri (Melayu) adalah penyakit hati; iri hati, dengki dan jaki. Iri juga bermaksud 'ego' di dalam bahasa Inggeris. Iri adalah kalimat yang membentuk perkataan 'diri' (baca dIRI).
Iri adalah perkataan lawan bagi perkataan 'tunduk', 'akur', 'setuju', 'sujud' dan 'rukuk'. Iri juga membentuk perkataan 'Giri' (Sanskrit) yang bermaksud 'gunung'. Sesuai juga dengan sifat gunung yang 'berdiri' sebagai tonggak penopang bumi.
[Nota kuliah Fakulti Bahasa Melayu, SPKB]
Contoh ayat: "Walau Umno - BN tumbang dalam pilihan raya ke-13 yang lalu, namun iri hati Umno dan dendam BN tampak semakin jelas kepada rakyat dan pembangkang sehingga sanggup memburuk-burukkan rakyat dalam fitnah-fitnah di akhbar dan tv."
2. 'Iri' atau 'ego' itu adalah lawan kata kepada akur dan setuju dan taat dan sujud dan rukuk.
Maka, iri (hati) punca dan sumber kepada merebaknya penyakit takbur dan sombong dan congkak dan bongkak dan pongah. Betapa banyaknya perkataan ini menyebabkan kita boleh merumuskan bahawa orang Melayu ini juga terkenal dengan perangai jaki.
Kamus Dewan telah mendaftarkan perkataan buruk ini dengan banyak dan jelas juga.
IBLIS IRI (HATI)-IBLIS BERD'IRI' (berdiri), TIDAK SUJUD KEPADA ADAM SPT MALAIKAT
Iri hati, ego atau 'aba wastakbar' itu berd'iri' dan bertakhta dan bersemayam di dalam jiwa Iblis. Dia berd'iri' dan enggan sujud, sama seperti tindak-tanduk para malaikat.
[Termuat di dalam Tafsir Al-Fansuri]
Kasihilah dan cintailah para malaikat yang selalu hadir melindungi kita membisik ilham nurani (nur aini - cahaya mata) kepada kita ini, yang selalu hadir memecah kebuntuan dalam masalah-masalah yang membelit kehidupan kita.
'Mood': Terilham oleh Jejak Rasul (Jihad), maka kita rasa patutlah kita sama berjuang memerangi dan menumbangkan musuh kita yang terutama iaitu IRI (Melayu Sanskrit) dan EGO (Inggeris) dan ABA 'wastakbar' (Arab Al-Qur'an).
###############
22 Ramadhan - menyifatkan jihad mengangkat suara di hadapan pemimpin yang zalim adalah lebih afdal atau lebih diutamakan atau perlu lebih didahulukan ketimbang mengajak jihad di medan peperangan bil qital (perang bersenjata).
Ini kerana seseorang Muslim yang ingin menegur pemimpin zalim itu perlu berperang dengan ketakutan yang bertakhta di hatinya. Dia perlu melawan perasaannya sendiri, termasuk ujub, riyak dan sum'ah dan takbur selain rasa takut kepada pemerintah.
"Raja'na min jihadil asghar ila jihadil akbar," kata nabi. Maksudnya, kita baru pulang dari jihad kecil, menuju kepada jihad terbesar. Nabi berpesan begitu setelah baginda mendengar ada kalangan sahabat yang bercakap besar tentang jumlah musuh yang mereka bunuh dan bercakap angkuh berhubung ketangkasan beraksi di medan juang.
"Apakah akan ada lagi perang yang lagi besar sesudah perang ini yang Rasulullah?" serentak mereka bertanya. Tidak mereka sangka, bahawa akan ada lagi perang yang besar. Sangka mereka, itulah perang terhebat yang mereka lalui.
"Ya... ada, jihad an-Nafs," kata nabi. Jihad melawan perasaan diri (sikap angkuh serta sikap takut ketika menegur pemerintah zalim dan penguasa yang tidak mahu perang) adalah jauh lebih afdal daripada jihad di medan perang yang sebenar.
Jadi, kenapakah mengeluarkan kata-kata yang benar di hadapan penguasa itu bernilai jihad teragung lagi terulung? Ini kerana, kata-kata yang membetulkan pemerintah itu yang akan mengubah pendiriannya sekali gus menukar pendirian negara ke arah yang lebih baik demi faedah dan manfaat masyarakat seluruhnya!
Contohnya, jika Perdana Menteri Najib Razak enggan mengisytiharkan jihad menolak bagi tujuan penguasaan Zionis di bumi Kana'an, maka tiada orang yang pergi perang, sebab tuntutan jihad itu hanya bermula selepas Najib dan rakan-rakan OIC umumkan jihad.
Najib tetap tidak melaungkan semboyan jihad walaupun Dr Yusuf Al-Qaradawi pernah hadiahkan Fiqh Al-Jihad kepada beliau saat enjin pesawat pejuang hilang sebelum ini.
Sabda nabi, "Afdhalul jihad, kalimat adlin 'inda sulthonin jaa'iriin..." (Sebaik-baik jihad itu adalah kata-kata yang adil yang mesti dihadapkan kepada pemimpin yang jahat.)
Kita mesti bangunkan kempen kesedaran ke atas umat Islam seluruhnya untuk desak pemimpin negara masing-masing untuk lancarkan perang jihad melawan Bani Yaakob a.k.a Bani Khazar di Bumi Kana'an! Wallahu'alam...
'Mood': Terfikirkan hal ini setelah Jejak Rasul menggembar-gemburkan bab Jihad pula dalam pusingan ketiga; 10 Ramadhan terakhir kini. Saya berhajat ingin menulis surat kepada Dr Yusuf Al-Qaradawi mengenai seruan jihad. Siapa boleh tolong terjemahkan ia ke dalam bahasa Arab dengan baik? Sekian, terima kasih...
##############
21 Ramadhan - beranggapan sejarah Champa perlu juga dimasukkan juga di dalam sejarah Malaysia. Rakyat di negara ini mestilah mengenali negeri Panduranga di negara Champa.
Cham sebenarnya, baru sahaja jatuh sekitar abad ke-18?? akibat dilanggar Perancis. Mereka terdedah kepada serangan dan ancaman bangsa Khmer di Kemboja. Negara Champa yang agung terbina daripada 5 negeri yang kemudian jatuh satu demi satu.
Nama negara Champa (asalnya dari Vietnam) itu kini dikenali sebagai KEMBOJA atau CAMbodIA. (Cambodia; Cam merujuk kepada bangsa Cam dan IA dihujung merujuk 'bangsa' IA, sila rujuk nota kami yang lalu.)
CINA MAKAN SIRIH?
Cam juga akhirnya bercampur darah dengan bangsa Han di Pulau Hainan lalu mereka digelar etnik Hui di China. Ini kerana, etnik Hui itu kerap dikenali sebagai Cina Islam di negara China.
Prof Kembara Bahasa mungkin antara sarjana yang sesuai dirujuk kerana beliau telah menjalankan kajiannya di Pulau Hainan dan di China baru-baru ini.
Satu-satunya 'orang Cina' yang memakan SIRIH adalah etnik 'Melayu' Cham a.k.a Hui di China. Ini menunjukkan budaya Hui yang memakan SIRIH di China itu ada pertalian dengan jurai keturunan mereka yang sebenar; bangsa Cham.
Maka, kami cadangkan supaya Malaysia menjadi penggerak dan nadi untuk pastikan bahasa Melayu subur semula dalam kalangan Melayu yang bertebaran di Indo-China dalam rangka menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar negara ASEAN.
Nota kuliah ringkas SPKB ini turut dimajukan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri KDN Hishammuddin Hussein dan TPM @Muhyiddin Yassin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah.
'Mood': Teringat ketika menyusuri Sungai Tonle Sap suatu ketika dahulu. Baru lepas tonton Syahadah, RTM.
##################
20 Ramadhan - berpendapat, antara nabi-nabi yang berjuang merebutkan kemerdekaan itu, mungkin Musa a.s yang sesuai dijadikan sandaran, oleh kerana banyaknya kisah-kisah baginda yang telah dimuatkan di dalam Al-Qur'an itu.
Nabi Musa mempunyai sebatang tongkat yang asalnya digunakan untuk mengembala kambingnya. Hal ini dirakam dalam al-Quran, "Wa ma hua bi yaminika ya Musa?"
Dengan tawadhuk, Musa pun berkata, "... wa ahussyu biha 'ala ghanami wa liya fiiha ma'aribu ukhra." Aku gunakannya untuk gembala kambing-kambingku dan tongkat ini juga ada guna pada urusan yang lain."
[Termuat dalam Tafsir Al-Fansuri...]
Menurut hemat kami, tongkat Nabi Musa a.s itu berperanan pada tiga tempat dan tiga zaman; (1) Zaman Fir'aun; (2); Zaman Peralihan Fir'aun ke Padang Teh; (3) Zaman kesesatan selama 40 tahun di Padang Teh.
Kes pertama, Musa menggunakan tongkatnya sehingga menjadi ular lalu ia menelan kesemua ular ahli-ahli sihir.
Kes kedua... tongkat itu membelah lautan apabila mereka diburu Fir'aun saat mereka mahu merentasi Lautan Merah untuk berjuang mendapatkan pembebasan.
Kes ketiga, ketika tersesat, tongkat itu memukul batu lalu terpecah 12 lubang mata air untuk kaum Nabi Musa itu.
Maka, satu tongkat, boleh terpakai untuk 3 zaman; penjajahan, pasca penjajahan dan pasca kemerdekaan. Ia juga bermakna-kesinambungan perjuangan hari ini ada kaitan dengan perjuangan bangsa-bangsa terdahulu.
Tetapi... hari ini, Umno (ish, Umno lagi), telah menggelapkan fakta dan merombakkan sejarah negara bangsa hingga generasi muda buta mengenal jalur sirah perjuangan bangsa sejak dahulu.
Hanya Umno sahaja pejuang di negara ini sehingga sanggup menafikan yang lain. Kita perlu kembali berpaut kepada 'tongkat' sejarah. Kekalkan fakta sejarah. Tongkat Nabi Musa a.s itu sentiasa hadir pada setiap zaman dan keadaan.
Maka, bersikap adillah terhadap perjuangan bangsa ini. Berpeganglah dan berpautlah kepada 'tongkat' sejarah kita.
###############
19 Ramadhan - kini berada di UiTM Seri Iskandar, Perak menjenguk adik. Di Restoren Zulasi kini, kami ada mesyuarat keluarga. Adik mengeluh masalah pengawal keselamatan yang banyak menyulitkan dan masalah pengangkutan yang menyulitkan pergerakan mereka.
"Abah nak tanya," kata abah memulakan bualan di sebuah restoren di sini. "Ada tidak NC bangkitkan masalah dan aduan pelajar-pelajar di sini?"
Lontaran fikiran bertingkah dengan suara guruh. Hujan rintik tercurah melimpah ke bumi. Jika zaman saya dulu, berperang dengan pengawal keselamatan hanya berlaku saat di mana berlakunya 'jenayah' siswa yang terkait dengan politik kampus.
Masih saya ingat pengalaman lalu. Ada dua soalan yang Ketua Pengawal Keselamatan tanya bila saya masuk Pejabat Keselamatan ekoran tersiarkan tulisan saya bertajuk - 'Demokrasi Universiti Sudah Mati'.
"Awak sekolah agama ya?" kata Ketua Pengawal Keselamatan. "Oh Maktab Mahmud?" Dia kembali menyelak-nyelak lagi lembaian berikutnya.
"Ayah Imigresen?" dia bertanya lagi. Saya terus terdiam. Memanglah menjadi amalan mereka mungkin, setelah mengambilkira pengalaman rakan-rakan.
Iaitu, bahagian keselamatan kampus akan melihat latarbelakang pelajar itu terhadap dua perkara sekurang-kurangnya. Pertama, latarbelakang sekolah, kerana biasanya pelajar sekolah agama ini kununnya kuat memberontak.
Kedua, memang mereka akan lihat latarbelakang keluarga. Ini kerana, pegawai HEP pun akan berhati-hati kerana takut menahan anak-anak menteri!
{Termuat dalam Kenang-Kenangan Dalam Hidupku...}
'Mood': Jam 5:30 petang tiba di Seri Iskandar, akan menuju pulang ke USM dan terus ke Pendang, Kedah.
##################
19 Ramadhan - kini di Sg Buloh, dalam perjalanan pulang ke Pendang, Kedah bersama keluarga. Akan 'menakluki' Gunung Jerai. Mohon doa tuan sekalian agar perjalanan diri ini diberkati.
Yang kedua, pertanyaan ini sudah lama bersarang dalam kepala. Hari ini terpaksa tanya dengan rasa berat yang menggunung di dada. Simpan lama-lama sakit kepala.
Kalau ada rakan-rakan yang mengenali seorang wanita muda sekitar usia akhir 20-an, namanya mungkin Sri, tinggal di Kelang atau Pelabuhan Kelang? Harap hubungi saya.
(Anda pernah dengar @ tak nama Taman Botanical Garden? Di Klang atau Pelabuhan Klang?) Ia mungkin penting demi masa depan agama - bangsa - negara - Muslimin.
19 Ramadhan - mengirim mel-e kepada encik Mohd Fasil Mohd Idris, penerbit program Jejak Rasul di TV3 baru-baru ini. Kita bertanya isu penempatan kaum Armenia di bumi Kanaan di sana.
Maka, berikut adalah maklumbalas di pihak beliau...
Salam...tuan, terima kasih menyokong TV3 dan Jejak Rasul. Maklumat kami tidak sebanyak maklumat yang tuan miliki tetapi kami sekadar berkongsi.
Bangsa Armenia di Baitulmaqdis beragama Kristian Ortodok, oleh itu boleh dikatakan mereka berkongsi kawasan dengan penganut Kristian Ortodok yang lain. Ketika kami membuat rakaman tempoh hari, kami dapati kawasan penempatan Armenian telah banyak dijual kepada penduduk Yahudi. Mereka dikatakan tidak selesa dengan perkembangan politik semasa.
Rakaman di kawasan mereka tidak menarik ketika itu disebabkan jumlah penduduknya yang berkurangan. Justeru saya tidak fokus pada kawasan mereka dalam siaran Jejak Rasul kali in.
Bangsa Armenian di Baitulmaqdis terkenal dengan hasil kerja seramik. Kawasan mereka akan meriah ketika sambutan Hari Ester.
Wallahua'lam. (Tamat isi surat Mohd Fasil Mohd Idris)
Dalam catatan hasil renungan, tenungan dan menungan peribadi, bangsa Armenia pernah menduduki kawasan Pulau Pinang. Ketika berlaku perang dunia pertama, ada program pemindahan bangsa Armenia secara besar-besaran.
Saya terjumpa surat seorang pegawai British di Selangor (kalau tidak salah) di Arkib Negara tentang program penghijrahan ini. Armenia juga 'ditindas' Turki dan sehingga sekarang mereka masih menaruh dendam terhadap kerajaan Turki berhubung hal itu.
Barangkali, penghiijrahan Armenia ke Palestin ada kaitan sedikit sebanyak dalam hal ini. Wallahu'alam...
#################
18 Ramadhan; sedang mencari kenalan Yahudi dekat bumi Kana'an. Rupa-rupanya, ada kertas nota yang terselit di Tembok Ratapan. Nota itu memuatkan doa dan harapan orang Yahudi seluruh dunia yang pernah berkunjungan dan berdoa di Tembok Ratapan itu.
Saya ingin mengetahui apakah doa dan harapan Yahudi di seluruh dunia yang termuat di dalam nota-nota kertas yang terselit di Tembok Ratapan itu.
"Memang Palestine tanah yang dijanjikan, tapi akhirnya mereka sendiri yang menolak kerana takut berperang.
"Dan, Nabi Musa tidap pernah sempat memasuki tanah Palestine itu. Baginda sempat berada di atas Gunung Nebo di Jordan," kata sarjana Palestine dalam Jejak Rasul tadi.
Saya pun teringat filem Ten Commandments. Menurut filem itu, (tentu saja diangkat dari Bible), Moses (Musa) sempat agihkan tanah-tanah kepada Israelites, Bani Israel.)
Tanah Melayu yang terjual
"Di Sogo tu dulu, bekas tapak tanah orang Melayu dulu tu," kata saya kepada keluarga. Ketika ini, kami sedang bersiap berbuka.
"Di Jalan Teluk Kumbar, Alor Setar dulu ada seorang lelaki keturunan Arab; Syeikh Tawwab namanya. Kulitnya merah putih. Barangkali kulit macam tu warna kulit nabi barangkali," kata abah lagi.
Tapak rumah Syeikh Tawwab, kata abah, berada di Jalan Langgar dan tak jauh dari Bulatan Telok Wanjah. Hari ini tapak rumahnya hilang ditelan pembangunan.
Saya menyeru anda supaya mencatat kenangan orang tua anda agar fakta tidak luput, dan ia boleh dimanfaatkan pada masa-masa depan. Yang membaca coretan ini wajib menulis dan sunat muakkad (menghampiri wajib) menulis semula pengalaman lalu dan ingatan orang tua anda.
Walaupun Islam tidak mewajibkan anda menulis, tetapi saya tetap MEWAJIBKAN!
'Mood': Baru lepas menonton Jejak Rasul petang ini bersama keluarga di hotel. Terasa la nikmatnya berbual-bual ketika bersahur dan sebelum berbuka.
###########
17 Ramadhan - menerima kunjungan orang tua dari Pendang. Kini menginap di Hotel City Villa. Baru tadi, abah pun membuka komputer ribanya.
"Dah 19 bab," kata abah ketika menunjukkan beberapa bahagian terakhir memoirnya itu. Aku dan adik menatap catatan abah, mengenai riwayat perjalanan hidupnya. Bab ke-19 memperihalkan tajuk bagaimana abah mendampingi ulamak.
"Kaktie, tolong buka fail kosong untuk bab 20," kata abah kepada adik perempuanku itu. "Abah tak reti nak buka."
Aku terpegun melihat susunan bab demi bab yang tercantum begitu rapi, cantik dan cermat dan tertib dan tersusun. Beberapa bulan lalu, aku membawa pulang catatan 'Universiti Kedua', karangan Kassim Ahmad, seorang bekas tahanan ISA.
Ahmad Lutfi Othman menyuruhku khatamkan memoir Kassim Ahmad itu, tapi aku dah gagal. Bila abah baca, sehari dah habis! Langsung dari situ tumbuh minatnya menulis memoir, autobiografinya sendiri.
"Abah nampak, cara Samad Ismail tulis tu macam cara abah susun bahagian mula," kata abah pada suatu hari saat meratah mukadimah catatan Memoir A Samad Ismail di Singapura.
Ya... memoir Pak Samad milik Ahmad Lutfi yang dipinjamkannya kepadaku, tapi sekali lagi... abah sudah pun berjaya mengkhatamnya lebih tangkas berbanding daku dalam suatu tempoh yang lebih singkat!
Betapa persaraannya sekarang ini membuatkan dirinya lebih banyak masa tercurah di dalam kegiatan-kegiatan ilmiahnya yang tersendiri. Abah dan mak tidak pernah jejak kaki ke universiti.
Tetapi, Ramadhan ini menjadi madrasah yang tegak berdiri sebagai saksi - bahawa anak alam yang bergelumang hidup dengan badai gelombang, adalah guru sakti yang bisa mengguncang paksi-paksi langit dan menggoyang sendi-sendi di bumi dengan berkat kesabaran mereka mendidik mengasuh kami, anaknya sendiri.
Dengan berkat Nuzul Al-Quran, perkenankan doa kami, "Kasihi mereka ini yang sudah memberi kami hidup dan memimpin dan menuntun kami jalan yang Engkau redhai."
Abah simpan kad pengenalan Ustaz Nikmat Dehrang
"Cuba tengok ni," kata abah sambil menunjukkan sesuatu kepadaku. Aku belek lagi. Rupa-rupanya, itu adalah salinan fotokopi kad pengenalan arwah Ustaz Nikmat Yusuf Dehrang, Kedah.
Pekerjaan abah sebagai pegawai Imigresen menyebabkan dia sudah banyak kenalan dengan politik pro Islam. Jadi, salinan fotokopi arwah Ustaz Nikmat mudir Dehrang itu masih ada lagi di dalam simpanannya.
"Abah ingat nak 'scan' dan masukkan dalam memoir tu," kata abah lagi. Aku rasa foto Ustaz Wan Salim dengan arwah Ustaz Nikmat dan arwah Ustaz Fadhil Noor masih ada dalam simpananku. Hari tu Ustaz Wan ada bagi masa aku interview dia untuk Siasah tidak lama dulu, tapi dah letak kat mana ya?
###########
16 Ramadhan - teringat suatu ketika dahulu, ada dua tiga orang nelayan Cina di Kuala Kedah, Kedah berpesan, "Ikan-ikan di market tu dah dicucuk... ambillah ikan terus dari kami. Lebih selamat, segar dan tak ada cucuk-cucuk..."
Saya dan rakan tidak faham. Cucuk apa? Tapi, hal itu tidak diendahkan. Mungkin juga nelayan-nelayan itu cuma mahu lariskan hasil jualan tangkapan ikan mereka. Begitu kami berfikir tanpa menaruh sebarang syak wa sangka dan zhan wa ragu-ragu.
Baru-baru ini, tersiar laporan berita TV9 menyatakan bahawa ikan-ikan yang dijual di pasar itu disuntik dengan formaldehid? Tambah laporan itu, bahan pengawet itu juga turut digunakan sebagai kaedah pengawet mayat. (Eww..!)
"Habis tu, kalau makan ikan yang dah dicucuk jadi macam mana taukeh?" seorang rakan bertanya, "Ada kesan sampingan ka?"
"Haiyaa... makan sikit-sikit tak pa la, kalau banyak, memang masalah laa..."
Khabarnya, sudah ada inisiatif di pihak sebuah universiti yang mahu mencipta satu alat untuk memeriksa kandungan formaldehid dalam ikan-ikan di pasar itu. Pesanan dari pihak kami, jagalah taraf kesihatan kita bersama...
#################
15 Ramadhan - berhasil mendapatkan kakasan perakam suara di Low Yatt kelmarin berharga RM159 lalu saya pun segeralah menuju ke RA (Raja Ahmad) Fine Arts dekat Jalan Ampang.
Rasanya, memanglah ada keperluan untuk semak semula keperluan mewujudkan Fakulti Seni Halus, Seni Lukis SPKB.
"Kami tubuhkan ANAK ALAM, kami buat rumah untuk pelukis. Jadi, jika ada rakan dari Indonesia datang, mereka boleh menginap di sini. Ada dapur... mereka boleh masak," kata Ibrahim Ghaffar.
Abang Pyanhabib Rahman berkata, "Kami dulu ada rumah kat tapak Aswara sekarang ini, tapi orang politik tak suka. Kami kata, kami cuma melukis sahaja..."
Hala saya balik, bersembang santai dengan pemilik gedung pameran lukisan itu; Raja Ahmad. Tiba pada klimaks bualan, dia bertanya, "Awak ke yang ada kes di USM tu?"
Kita pun 'berkhutbah' darihal pengalaman lampau, lalu dia terus mengungkit zaman2 beliau bergelar pelajar di luar negara. Kisah beliau bersama Ustaz Nakhaie, Saifuddin Nasution, Puad Zarkasyi sangat menarik perhatian.
Lalu, kita teringat kepada alat perakam suara yang baharu kita beli dari Low Yatt tadi, dan kita pun rakamlah dengan sungguh-sungguh minat.
Terima kasih kepada Nazmi Yaakub yang membawa diri ini mengenali dunia seni lukis dan kepada Saifullizan Yahaya yang memperkenalkan diri ini ke dunia teater. Jasa dan sumbangan sahabat-sahabat sukar dilupakan sepanjang hidupku!
#################
14 Ramadhan - 'mewajibkan' rakan-rakan FB menonton Jejak Rasul setiap hari waktu petang atau jika tidak sempat, maka hendaklah mereka 'mengqadhakan' amalan menonton JR; dinihari sekitar jam 1:30 pagi di TV3.
Adalah lebih 'afdal' (lebih baik) jikalau anda merakamkan JR dalam format apa sahaja untuk memudahkan kita berbincang dan bertukar-tukar fikiran berhubung penaklukan bumi Kana'an tersebut. Ya! Di sini saya tegaskan sekali lagi... Saudara wajib tonton!
Walau Islam tak mewajibkan anda menontonnya tapi saya mewajibkannya, atau saya mengsunat-muakkadkan hal penontonan serta perakaman dokumentari itu sbg bahan kajian dan renungan dan tenungan dan menungan kita bersama.
#################
13 Ramadhan - menukilkan daripada klip ke-11 video Mongol sebagai berikut:-
"Aku tahu apa yang harus dibuat dengan bangsa Mongol," kata Temudgin a.k.a Genghis Khan kepada isterinya ketika beliau dimajukan persoalan mengenai nasib bangsa Mongol yang hidup tanpa peraturan itu.
"Mereka hanya tahu membunuh dan mencuri," kata isterinya. Lalu, beliau ber'uzlah' di Gunung Suci bagi mendapatkan curahan 'wahyu', limpahan 'ilham' dari Tuhan Tengri.
Lalu, terhasillah 4 perundangan yang menjadi asas permulaan dan tonggak kekuatan Mongol terawal.
1. Jangan membunuh wanita-wanita dan anak-anak kecil
2. Jangan melupakan hutang-piutang kamu.
3. Lawan musuh-musuh sehingga ke akhirnya.
4. Dan, jangan mengkhianati Khan (ketua) kamu.
2. Jangan melupakan hutang-piutang kamu.
3. Lawan musuh-musuh sehingga ke akhirnya.
4. Dan, jangan mengkhianati Khan (ketua) kamu.
Kita perlukan Dasar Pandang Ke Utara (Mongolia) sebagai nilai tambah kepada Dasar Pandang Ke Timur (Jepun). Bahasa Mongolia digalakkan untuk dipelajari dan kamus Melayu - Mongol mesti disusun.
"'Sunnah' Mongolia adalah antara ramuan resipi yang perlu menjadi perhatian kita jika bangsa kita mahu memerintah dunia dan menaklukkan segala bangsa untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini..."
(H Fansuri, 1977 - 20??)
http://www.youtube.com/watch?v=e9crEY5uBOw&feature=related
################
12 Ramadhan - sedang meneliti perjuangan Temudgin a.k.a Genghis Khan, seorang pemuda yang sudah terbuang daripada puaknya, tetapi akhirnya berjaya bangkit lalu menyatukan semua puak Mongol, lalu membentuk empayar Mongolia sehingga berjaya merebut beberapa negara di dunia.
Suatu hal yang menarik kajian Sekolah Pemikiran Kg Baru (SPKB) adalah Temudgin telah bertapa dan ber'khalwat' dan ber'uzlah' di atas sebuah gunung dalam beberapa tempoh, sehingga beliau mendapat empat peraturan utama untuk menyatu bangsa Mongol.
Kisah Temudgin mendapat 4 peraturan daripada Tuhan Tengri ini mirip kisah Musa yang mendapatkan Ten Commandments dan lain-lain nabi yang mendapat peraturan untuk kembali menyatukan umatnya yang berpecah-belah.
Di dalam filem ini, kita akan dapat melihat peranan langsung Tengri yang juga adalah Tuhan bagi kaum Turki purba, kaum Altaic termasuklah MONGOLIA. Turki dan Mongol seolah-olah 'bersaudara' dalam hal ini kerana berkongsi kepercayaan terhadap Tuhan yang sama, iaitu Tengri.
sandaran rujukan:-
http://en.wikipedia.org/wiki/Tengri
http://en.wikipedia.org/wiki/Tengriism
http://ethnikoi.org/tengrianism.htm
http://www.islam-watch.org/HistoryOfJihad/Jihad-against-Turks.htm
http://en.wikipedia.org/wiki/Khan_Tengri
#################
11 Ramadhan - menganggap bahawa 'matahari kemajuan' sudah terbit dari arah Barat sebagai tanda tibalah akhir zaman seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
"Semalam saya bersama Prof Al-Attas. Dia ceritakan bahawa angka Roman panjang jika mereka mahu menulis angka panjang. Tapi kita mencipta titik menggantikan kosong, lalu dengan hal itu sahaja telah banyak menyelesaikan masalah," katanya.
Jadi asal-usulnya 'matahari kemajuan' dan ilmu pencerahan sudah pun lama tiba hadir dari belahan dunia Timur ketika Barat saat itu sedang tenggelam dalam lingkaran putaran ganas; 'Dark Ages'.
Kini, 'matahari kemajuan' telah timbul dari Barat. Timur pula yang bergantung banyak ilmu dari Barat hari ini. Wallahu'alam...
Faham ini tercetus apabila Prof Wan di dalam siri kuliah, 'talk' 'The Last Lecturer' petang tadi di rumahnya di Sg Merab.
#################
10 Ramadhan - menjawab pertanyaan Nazmi Yaakub lewat sms, 5:14:11 petang tadi, "Muhammad Lutfi Ishak kata kol 5 p.m, Ali Bukhari Amir kata kol 2 - 5 petang. Korang ni mazhab lain-lain ka?"
Menjawab pertanyaan itu, "Sedara, bahawa pertemuan bersama Prof Wan, di rumah beliau itu dijadualkan bermula pada 2 petang - 5 petang. Ada pun qaul ini lebih rajih kerana beliau sendiri beritahu aku pada sebelah malamnya sedangkan Lutfi dimaklum pada sebelah siangnya. Mungkin akan berubah kemudiannya tidaklah dapat dipastikan lagi."
Mengikut jalur disiplin ilmu Usul Fiqh susunan syarah Dr Wahbah Zuhaily (yang masih belum dijumpai itu), qaul jadid menasakhkan dan memadamkan dan membatalkan yg lama? Adapun mazhab ini berlainan jua kerana SPKB ahli zikir dan Al-Kelangi ahli fikir.
SPKB itu rahib dan ruhban dan rausyan zikir manakala adalah Al-Kelangi itulah pandita dan pendeta dan rausyan fikir. Al-Bangi aku tak pasti pula.
Nota kuliah: Termuat dalam catatan Kelana Sastera Tiga Bersaudara.
#################
9 Ramadhan - menerima panggilan telefon seorang 'adik angkat' yang diuji Allah lalu dia 'menangis' lantaran mantan kekasih lamanya kini sudah menjadi isteri orang baru-baru ini.
"Dia tahu saya sudah kahwin baru dia kahwin. Selama ini saya dah ditipu oleh rakan-rakannya yang kata dia sudah mati," katanya. "Jadi, sebab itu saya kahwin."
'Mood': Baru lepas tengok kisah puteri Islam Khaulah Al-Azwar (Jejak Rasul) yang lawan tentera Rom kerana ingin membebaskan abangnya Dhirar Al-Azwar yang ditawan Roman (mirip kisah Siti Zubaidah menyamar jadi tentera untuk bebaskan suaminya di China).
Juga, dipaparkan kisah Syafiyah yang memenggal kepala perisik Yahudi dalam Jejak Rasul tadi. Betapa gagah Muslimah dahulu membebaskan suami, abang dan membela Islam.
Teringat kisah anak kecil yang menangis kerana anak panahnya tidak menjatuhkan 2 ekor burung. Kisah itu diberitahu kepada raja kafir. Raja kafir itu berkata - Ini bukan masanya untuk memerangi Islam.
Kali kedua perisik kafir itu datang ke tempat yang sama, dia melihat seorang pemuda menangis kerana seorang wanita yang dicintainya. Khabar itu dihebahkan kepada raja Kafir. Lalu, raja itu berkata, "Inilah masanya untuk kita memerangi negara itu."
Ya Allah ya Tuhan kami, kuatkanlah dan teguhkanlah jiwa para pemuda di negara ini, dan jangan dilarikan rasa cinta kepada wanita berlebihan sehingga terlupa kepadaMu dan jauhilah HAMBA KHASNYA daripada terkena ujian fitnah yang sama.
Kirimkanlah kepada kami 10 pemuda yang kuat pemikirannya, kukuh ketaqwaan hati, dan teguh jiwa rohaninya. Dengan keberkatan amalan segala mukmin yang soleh di bulan Ramadhan ini hamba bertawasul, moga hamba diberikan pemuda-pemuda itu yang bermutu! Ameen ya rabbal 'alameen...
################
8 Ramadhan - bertadarus dari LRT Kg Baru ke Kelana Jaya, juga dari LRT Kelana Jaya ke Kg Baru. Kita pun terfikirlah secara sendirian, kalau-kalaulah ada sahabat di luar sana yang sudi kembangkan budaya bertadarus dalam LRT?
Mencadangkan rakan-rakan daftarkan Al-Quran terjemahan Abdullah Yusuf Ali di dalam Goodreads.com. Kita tetapkan matlamat kita untuk menjadikan diri kita sebagai AL-QURAN BERGERAK!
Kita menulis ini setelah tertarik dengan iklan di Tanah Arab yang menunjukkan kisah pemuda-pemuda di Timur Tengah yang asyik membaca al-Quran di dalam kereta.
Yang mahir dalam hal pembikinan video klip sila hubungi saya, sekian terima kasih.
####################
7 Ramadhan - Sudah terdengar bunyi mercun di Kg Baru. Baru tadi, ketika melihat Bazaar Jalan Raja Alan, belum ada lagi bunga api.
Tetapi, apabila kutinjau di Bazaar Ramadhan kat Jalan Raja Muda Musa, mercun sudah masuk!
Dari manakah semua ini muncul? Aku mesti buat catatan juga.
Mohamed di Gaza Palestin beritahu bahawa ibu beliau sudah bertemu kaum wanita yang datang dari Malaysia. Sepatutnya daku pergi juga ke Palestin, tapi mungkin masaku belum tiba. Dia beritahu nama ibunya tadi.
"Naema Almudallal..." katanya lewat chat di Gmail Chat tadi.
####################
6 Ramadhan - menonton Angin Rindu Sarajevo. Baru lihat Sharifah Sofea (Natasha) menyebutkan, "...universiti tempat menyuburkan pemikiran kritis."
Mereka terhukum di bawah Akta Displin Pelajar 9(1). Setahu saya, UIAM bebas dari Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) kerana mereka bernaung di bawah Akta Syarikat?
Mungkin saya silap pandang atau salah faham. Harap diperbetulkan. Pernahkah siswi Bosnia ini berdemonstrasi atau mengangkat wacana mengenai negara mereka dulu?
Saya bukan siswa UIAM. Saja mahu bertanya...
Kenapa dihukum sedangkan mereka cuma bangkitkan isu yang tiada kaitan dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Malaysia mendokong kuat penganiayaan dan menolak penindasan Serbia ke atas Bosnia?
Huh! Terpaksalah kita turun untuk selamatkan gegadis Bosnia kalau macam ni. (Ahem!)
Wah, ada sebut pasai Sudut Pidato pula... bagus-bagus-bagus...
####################
4 Ramadhan - saya teringat kepada suatu dialog Sylvester Stallone baru-baru ini dalam filem The Expendables - "Were 'missionaries',". Saya silap, rupa-rupanya kalimat yang betul - Mercenary'.
Apakah hakikat sebenarnya grup mercenary' ini? (http://en.wikipedia.org/wiki/Mercenaries)
Fikiran orang kita masih berkiblatkan Amerika. Misalnya ketika Stallone terima tugas itu dari Mr Church (Bruce Willis), Arnold Schwarzenegger datang. Satu panggung tepuk tangan meraikan jawapan Stallone apabila Bruce tanya, "Apa masalah Arnold ni sampai dia sanggup tolak tawaran ini?"
"He wants to be a president (of America)?" jawab Stallone. Padahal, Arnold sudah lebih berkelayakan berbanding Stallone untuk menerima tugasan tersebut.
Tapi, bagus jugaklah. Saya dapat belajar sesuatu daripada The Expendables. Saya tahu bahawa mereka ini mercenaries iaitu askar upahan untuk laksanakan suatu tugas penting. Mungkin pesara askar dan komando 'pencen' ini boleh dimanfaatkan lagi?
Agak menarik juga kalau kita dapat mengupah segolongan 'mercenaries' untuk buat tugasan berat seperti memasuki 'Bumi Kanaan' untuk menggempur Bani Yaakob.
'Mood': Sedang menonton John Q di TV2. Mungkinkah 'mercenaries' dapatlah juga digunakan untuk mengepung bangunan kementerian di Putrajaya? Atau, mungkinkah 'mercenaries' ini boleh dimanfaatkan untuk mengepung Suria KLCC?
Dan, bila kerajaan minta lepaskan tebusan seorang demi seorang, maka, mercenaries ini minta dimansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Auku dan ketika mereka minta agar tebusan Mongolia di Kinokuniya KLCC itu dilepaskan maka mercenaries pun mendesak agar NAJIB RAZAK datang membuat perhitungan!
Yes! Ini suatu cerita menarik untuk dikirim kepada Steven Spielberg di Beverly Hills, Hollywood untuk ditayangkan di seluruh dunia!
"Sick! Help!, Sick! Help!" kata John Q ketika berucap di depan khalayak umum. Kisah tamat-John Q pun dipenjarakan tapi masyarakat memandangnya sebagai lelaki yang terhormat kerana dia telah berjaya menukar sistem perubatan di Amerika.
Mungkin negara ini perlukan sebuah revolusi ala mercenaries untuk tukar sistem, akta perundangan gila seperti Auku dan ISA dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu?
####################
3 Ramadhan - berkongsi pautan tentang penyair Usman Awang menurut pendapat Dato' Kamala. Saya jua melihat Al-Quran itu bagaikan KARYA AGUNG SASTERA ciptaan Tuhan.
Bahawa majlis peluncuran karya agung sastera Tuhan ini diturunkan dalam bulan Ramadhan, pada malam Lailatul Qadar ketika malaikat dan ruh (Jibril) turun ke dunia bagi meraikannya. (Rujuk Al-Baqarah: 185, surah Al-Qadr)
Maka, sebab itulah kita berpuasa demi menyambut kehadiran karya agung sastera Tuhan itu, iaitu Al-QURAN. (Nota dari Ringkasan Tafsir Al-Fansuri, Al-Quran Society, Jabatan Dakwah dan Ta'dib, Sekolah Pemikiran Kg Baru, SPKB)
http://www.facebook.com/note.php?note_id=420892698854&comments=
####################
3 Ramadhan - menganggap acara televisyen Syahadah kali ini memang 'cool'. Kali ini, ia mendedah fakta At-Tarikh Salasilah negeri Kedah dan Hikayat Merong Mahawangsa dan hal Syeikh Abdullah Al-Yamani.
"Ada tugu di Kemuncak GUNUNG JERAI, namanya PADANG TOK SYEIKH, sebagai mercu tanda bahawa Islam sudah sampai di negeri Kedah lebih awal daripada Melaka," kata Dato' Wan Shamsuddin.
Juga disebutkan mengenai sekolah pondok Langgar. Katanya, ia ada pengaruh bahasa Parsi. Mengenangkan hal ini, saya teringat pekan Langgar di Kedah, tempat kelahiran abah. Saya teringat juga Masjid Langgar di Kelantan.
Saya teringat Langgar di Samarinda adalah juga bermaksud masjid di sana. Langgar di sini bukan bermaksud 'accident', langgar dan lari yang terkait dengan kemalangan jalan raya. Langgar di sini terkait dengan pondok, madrasah, pesantren dan masjid.
Di sekitar Gunung Jerai, ada lagenda lain yang berlegar di sini, iaitu kononnya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani masih 'hidup' dan kedengaran suaranya menangis bermunajat.
Wallahu'alam...
####################
3 Ramadhan - sedang berjalan di Bazaar Jalan Raja Alang, Kg Baru tadi, seorang rakan lama ex-Harakah, kini bekerja di Astro Awani menarik tangan saya, rapat kepadanya.
"Hang boleh ulas sikit pasal harga ayam naik tak la ni?" tanya beliau.
"Ish, aku bukan tahu sangat harga ayam ni," kata saya kembali.
"Alah, sikit saja, bukan banyak pun, ada yang kata pemborong, ada yang kata pengguna yang bermasalah sebab gaduh sangat nak makan ayam menjelang musim perayaan," pujuk beliau lagi.
Lalu, saya pun cakap (lebih kurang), "Kita tidak boleh salahkan pengguna. Mereka ada hak nak makan apa yang mereka suka, tidak boleh nak salahkan mereka.
"Kerajaan kena cari jalan penyelesaian di pihak pemborong. Rata-rata penjual kata, harga ayam naik sebab pemborong dah putuskan harga sedemikian. Akar punca masalah ini di pihak pemborong."
(Sebenarnya, saya cakap gagap-gagap juga, tak pandai cakap, menulis bolehlah sikit-sikit.)
'Mood:' Sedang mengikuti Jejak Rasul dan Syahadah sekarang. Rasanya, kena faqih juga bab-bab ekonomi dan iktisad ini, kalau nak bentuk negara baharu!
####################
"Kalau kita mahu tubuhkan negara, antara hal yang penting selepas meluruskan BAHASA adalah meluruskan TENTERA dan membentuk ASKAR baharu," demikian kumulakan mukadimah santai bersama AMT (ahli mesyuarat tingkap, bukan ahli majlis tertinggi) di sini, malam ini.
Kami perhatikan corak 'perjuangan' The Expandables nampaknya seperti pasukan tentera, atau bekas komando 'pencen' yang tenaga mereka masih boleh digunakan dengan sedikit upah dan gaji dan 'geran tindakan'.
Sengaja aku memilih ungkapan 'geran tindakan' supaya ia memiliki persamaan sedikit dengan kalimat 'geran penyelidikan' yang biasanya ditawarkan di universiti.
KEKUATAN ROHANI TENTERA YANG KITA PERLUKAN
Don-Don dan 'ahli mesyuarat tingkap' SPKB kini sedang menelaah dan mengupas dan membedah 'The Wisdom of Al-Harits Al-Muhasibi. Saya berpendapat muatan isi mungkin sesuai sebagai satu bahan untuk mengukuhkan kekuatan jiwa askar kami.
Lagi pun, dalam Sulalatus Sulatin, ada disebutkan hal Sultan Melaka yang meminta agar Hikayat Muhammad Ali Hanafiah dibacakan kepada segala hulubalang Melayu, guna menaikkan semangat jihad mereka saat menentang kemaraan Portugis.
Idea awal ini wujud setelah tamat menonton The Expendables. Sedang mencari bekas-bekas tentera 'pencen' dan komando-komando yang boleh diajak berbual tentang aspek kekuatan negara-negara baharu muncul yang bakal dibentuk pada masa hadapan. Insya Allah, ameennn...
####################
kini berada di kopitiam rasa kawan di bandar baru bangi. Perbincangan sedang dilakukan, saya diminta oleh Hilman Idham untuk menyampaikan mukadimah mengenai Seni Untuk Seni dan Seni Untuk Masyarakat. Terketar saya...
Saya cakap jujur dengan mereka bahawa sebenarnya sayalah yang sedang mahu belajar dengan mereka. Alhamdulillah, nampaknya mereka sudah faham.
Aqil Fitri sedang bercakap mengenai Seni Untuk Masharakat yang menurutnya seperti satu usaha di pihak kerajaan untuk mengawal. Dia mengambil contoh tentang apa yang terjadi di Jerman.
"Sebelum Hitler, karyawan bebas berkarya, tapi selepas Hitler datang, buku-buku dibakar dan dia minta mereka berkarya demi parti Nazi.
"Jadi, Hitler sudah buat suatu 'kod etika' dalam berkarya. Ini bermaksud, faham seni untuk masyarakat ini juga adalah suatu bentuk penindasan politik ke atas karyawan," katanya.
Seorang rakan mencelah, seni untuk masyarakat itu perlu berjuang melawan penindasan.
"Cuba tengok, bila FRU masuk UKM hari tu, tak ada seorang pun yang bangkang melalui puisi," katanya. "Kesimpulannya, kita perlu marakkan seni untuk pembebasan!"
"Seni paling autentik..." kata Aqil. Aduhai, saya teringat iklan mee segera Indonesia yang 'autentik'. Sungguh indahnya malam ini, mengingatkan daku kepada zaman-zaman kuliah dahulu.
Mereka sangat-sangat trauma. Malah menjadi penyebab pelbagai masalah disiplin. Kita harus melihat dari pelbagai aspek - kurangnya Islam ketika Bosnia belum di perangi Serbia, perlu menyerap Islam dengan pantas bila dihantar ke negara Islam, dihantar ke nusantara yang sangat berbeza latar budaya, trauma perang bila melihat keluarga di bunuh dihadapan mata. Kesalahan bukan pada mereka, bukan pada institusi, bukan pada UIAM, bukan pada perang, tapi pada....??
BalasPadamya cik Norziati, mungkin pada kita semua, berjuta rakyat Muslimin di serata dunia.
BalasPadamsaya fikir, ada keperluan untuk cari kamus Melayu - Bosnia juga untuk memahami mereka.
Eh, kamus Bosnia - Melayu ada ker?
cik Norziati ada rakan-rakan Bosnia ker?