Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Rabu, 18 Ogos 2010

Surat Burhan kepada Tuhan

Surat kedua: Salahkah bercinta? Jenayahkah berkasih?
Berlimpahan syukur kepada-Mu Tuhan kerana masih setia mendengarkan keluhan hamba, memberi nafas buat kami untuk setia berada di bulan ini.


Hari ini, daku berjalan-jalan di Bazaar Ramadhan Jalan Raja Muda Musa, puasaku ini berguguran disambar oleh renungan mata-mata dara (dan juga mak dara)... Err..Ampunkan daku Tuhan. Tetapi, adakah cinta itu suatu dosa? Apakah berkasih itu suatu jenayah?

"Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan dengan MALU-MALU, ia berkata: 'Sesungguhnya bapaku memanggilmu agar ia memberi balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternakan) kami.'..." (Al-Qashash, 28:25) --- (Tafsir Al-Fansuri)

Tuhan, Kau telah memperihalkan sifat MALU-MALU seorang gadis terhadap Musa. Itu adalah cinta yang telah Kau rakam dalam kitab suci-Mu. Begitulah aku memahaminya.

Arakian, saat mereka yang telah menyambar pandanganku tadi tertunduk MALU-MALU ketika aku melawan pandangan, tapi pabila mak dara merenungku, daku pula tunduk MALU-MALU. Hamba tidak fikir perasaan ini adalah cinta. (Ahem!)

Tetapi ya Rabb... saat hamba meneliti firman-Mu yang satu ini...

"Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita) sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang KUAT, lagi berAMANAH." (Al-Qashash: 26) --- Tafsir al-Fansuri.

Ya Tuhan kami bertanya, adakah gadis yang memberi saranan kepada ayahnya; Nabi Syuaib a.s ini adalah orang yang sama menemui Musa dalam keadaan MALU-MALU oleh kerana mendalamnya rasa cinta kepada Musa?

Ya Tuhan, mungkinkah hati gadis yang MALU-MALU ini terpaut oleh dua perkara yang ada pada Musa itu? (1) KUAT (GAGAH); (2) AMANAH (JUJUR) --- Al-Qashash: 26.


Mungkinkah gadis ini juga sedang merancang secara tersirat agar Musa akan selalu berada dekat kepadanya? Jika benar telahan hamba ini, maka Engkau ya Rabb tidak pernah memisahkan cinta dalam pesan kalam-Mu.


Ya Rabb, atas nama PENGASIHMU, jangan diperhatikan dosa-dosa yang baru kukutip di Jalan Raja Alang dan jangan diperhatikan sangat pepahalaku yang baru sahaja berguguran disambar renungan mata dara-dara (dan juga mak dara).

Oleh itu, masukkan aku ke dalam rahmatMu dengan kasih sayangmu dan bukan dengan amalanku yang tidak seberapa ini. Haramkan hati membusuk dengan rasa bongkak dan angkuh kepada sesama manusia...

Dan, Burhan menamatkan munajatnya, "Tuhan, aku terlalu lama berjalan sendirian... pimpin tanganku menuju ke daerah pencerahan..."


################

Surat pertama: Kita berpuasa kerana apa?
Berlimpahan sembah kepada Tuhan sarwa sekalian alam, penghulu siang dan malam... (5:42 p.m, 8 Ramadhan)

Tuhan, tadi hamba pergi ke Kelana Jaya. Mengutip hadiah-hadiah yang patutnya hamba terima. Maka, ketika dalam perjalanan pergi dan balik, hamba membaca kalammu dalam LRT tadi, sedang orang memerhati. Tapi, hamba tidak peduli. Al-Quran itu kalamMu yang suci, yang sepatutnya ditekuninya dan dikaji pada bulan ini.

Tiba di surah al-Baqarah, ayat 185, hamba mendengar suara-Mu berbicara, "Bulan Ramadhan itu diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia dan penjelasan dari petunjuk itu dan juga sebagai pembeza. Maka, barangsiapa yang melihat hadirnya bulan itu maka hendaklah dia berpuasa..."

Maka, hari ini orang berpuasa atas nama kesihatan, menguatkan tubuh dan mengaut pahala. Mereka terlupa bahawa bulan ini adalah bulan menghormati kalam-Mu; Al-Quran yang diturunkan sebagai ketenangan dan pedoman dan petunjuk dan hidayah yang membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.

Tumbuhkanlah kesedaran dalam hati kami untuk melihat Al-Quran sebagai santapan jiwa dan campakkanlah kesedaran untuk melihat Al-Quran ini tidak cuma untuk orang-orang Islam malahan ia untuk orang-orang yang tidak beriman, selaras dengan kehadiran nabi sebagai 'rahmatan lil 'alamiin'.

Kirimkan kefahaman ke dalam jiwa Muslimin bahawa - kami berpuasa ini bukan semata-mata kerana amalan diri, tapi kami berpuasa kerana meraikan HADIRNYA AL-QURAN DI BULAN RAMADHAN itu. Amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan