Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Rabu, 18 Ogos 2010

Kuah Ayam Santapan Jiwa (Chicken Soup For The Soul) @ Tasauf Pasca Moderen

Nota 3: Carilah teman-teman yang baik, serulah fasik dari 'jauh'
Nabi bersabda, jika Allah s.w.t mahukan kebaikan ke atas diri seseorang, maka diberikannya seorang teman yang baik.
Orang tua kita pun berkata, "Bahawa ada tiga hal yang menyebabkan seseorang itu boleh dianggap sebagai sahabat kita."
Pertamanya, makan berjemaah, kedua tidur bersama dan ketika bermusafir sekali. Maka, hendaklah kepada mereka yang mahu melakukan kebaikan itu cuba bersahabat dengan orang-orang yang baik seperti di dalam tafsiran di atas itu, iaitu makan bersama mereka, tidur bersama mereka dan bermusafir bersama mereka.

Kalau ada keinginan bersahabat dengan mereka, maka ketahuilah olehmu bahawa sudah ada petanda bahawa Tuhan sudah mahu mencurahkan kebaikan ke atas dirimu.

Bersahabatlah dengan penjual minyak wangi, nescaya keharumannya akan melekat kepada dirimu, berkawan dengan penukul besi, akan terpercik apinya itu lalu terkoyak dan terbakar bajumu. 

Bolehkah bersahabat dengan si penjahat dengan niat menukar tabiatnya itu?

Sekarang, timbul permasalahan baharu. Bolehkah bersahabat dengan orang yang rosak akhlaknya dan sang penzalim dengan niat mahu tukar watak jahatnya kepada baik? Pada kami, hal itu tidak harus dilakukan.

Ini kerana, kalau kita sudah mencintai kebaikan, maka kita akan mencari orang baik. Kalau kita ingin menjadi jahat, maka nescaya kita akan memilih yang jahat sebagai teman kita. Kecintaan dan kecenderungan di sini, akan mula memainkan peranannya.

Apatah lagi Tuhan menyebut dalam Al-Quran, "wa la tarkanu ilalazina dholamu fatamassakumunnaar.."

Dan jangan kamu menyimpan kecenderungan kepada orang-orang yang zalim, kelak kamu akan disambar oleh api neraka. Ayat ini persis kata-kata hikmah tadi; berkawan dengan penukul besi, nescaya memakan diri.

Apa yang perlu dilaksanakan ialah berdakwahlah secara berterusan, teruskanlah dengan akhlak baik sehingga si penjahat, penzalim, si fasik dan orang yang berperwatakan jahat itu hatinya cenderung dan dilunakkan hati untuk mendekati kita. 

Maka, ketika kita telah dapat melihat dengan jelas bahawa si penzalim tadi mula ingin mendekati kita untuk mendapatkan nasihat dan pesan agama, maka haramlah olehmu menjauhinya lagi saat dia dibelnggu kebuntuan di dalam hidupnya. 

Bahawa, kenyataan 'jangan berkawan dan jangan bersahabat dengan orang jahat dan penzalim' tadi adalah bertujuan memelihara maruah kita juga, agar kita tidak tunduk kepada kemahuan dan kehendak penjahat.

Isunya di sini, siapakah yang mahu bersahabat dan berkenalan dengan siapa? Kalau kita baik, tiba-tiba kita teringin dan berhajat dan tertarik untuk bersahabat dengan orang yang jahat, maka jahatlah kita. 

Kalau kita jahat, tiba-tiba kita teringin dan berhajat dan tertarik mahu bersahabat dengan orang yang baik, maka baiklah peribadi kita. Maka, kata kunci di dalam kes ini adalah siapakah teringin dan berhajat dan tertarik untuk berkawan dan bersahabat dengan siapa.

Catatan ini tidak bermaksud untuk menyeru orang yang baik agar meminggirkan orang-orang yang jahat dan zalim perilakunya itu, lalu tidak menyeru mereka ke arah kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran.

Seperti sikap Tuhan, apabila orang-orang mula menjauhi-Nya, Dia akan 'lari' jauh-jauhnya, tapi saat kita mula insaf sedar, maka Tuhan pasti meluru lebih akrab lebih laju daripada kita yang berlari menujuNya saat kita mula insaf sedar itu. Demikianlah kaedahnya.

Tetapi, saat kita 'menjauhi' orang-orang zalim itu, sentiasalah menyebarkan kalamullah dan sabda nabi seperti biasa mudah-mudahan pada suatu hari dan pada suatu masa kelak si penzalim itu terdengar suara hati kita lalu dia pun tersentuh hatinya untuk bertaubat, lalu dia pun mula bertindak merapati kita untuk mendengar pesanan dan nasihat-nasihat agama yang berguna adanya.

###############

Nota 2: Pelajarilah bahasa Arab untuk fahami Al-Quran dan hadis
Terdapat beberapa tempat yang menunjukkan Al-Quran itu sangat akrab dengan bahasa Arab. Lazimnya, ia disebut - "Qur'aanan Arabiyyan..."
Diakhiri ayat itu dengan 'mudah-mudahan' kamu beroleh pengajaran dan petunjuk dan pedoman. Ini bermaksud, bahasa Arab adalah jalan untuk memahami Al-Qur'an (juga hadis).

Tapi, bahasa Arab hari ini dipelajari tidak dengan meletakkan niat dan matlamat supaya pelajar itu memahami dan berkenalan dengan maksud sebenar al-Quran dengan sebenar-benarnya.

Oleh itu, suatu teknik, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu disusun di peringkat sekolah supaya pelajar itu membaca al-Quran hingga mereka faham dan itulah yang akan meningkatkan maqam, martabat mereka.

###############

Nota 1: Melayu juga berpuasa sebelum Islam tiba
Kita biasa menemukan catatan ini dalam al-Qur'an."Wahai sekalian manusia, kamu diminta mengerjakan puasa seperti mana telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu akan bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Puasa menumbuhkan ketaqwaan jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, sesuai dan selaras dengan apa-apa yang telah ditinggalkan oleh baginda rasul.

Kata kunci di sini ialah puasa itu pernah dilaksanakan oleh kaum-kaum terdahulu sebelum kita. Maka, ayat ini seolah-olah memberikan kita kunci untuk mengenali kaum manakah yang pernah berpuasa sebelum kita.

Agama Hindu dah Buddha yang berkembang di Timur juga pernah mengamalkan puasa. Begitu jugalah agama Kristian dan Yahudi. Mengenai Kristian dan Yahudi hal ini tidak diperselisihkan kerana sudah tertulis di dalam Al-Quran. Tetapi, adakah Hindu dan Buddha juga warisan Tauhid kerana mereka juga berpuasa?

Sembahyang dan puasa masih diamalkan pada zaman purba
Kalau kita perhatikan halus-halus ada beberapa istilah kita yang terkait dengan amalan ritual itu masih kekal di dalam bahasa Melayu, Sanskrit. Antaranya, 'sembahyang' dan 'puasa'.

Kita tidak mengguna kalimat solat walaupun Islam sudah tiba di Tanah Melayu, sebaliknya kata 'sembahyang' yang kita gunakan. Kita juga tidak menggunakan kalimat 'saum' (Arab), sebaliknya kita menggunakan kalimat 'puasa' (Melayu, Sanskrit) dalam bualan seharian.

Kita tidak menggunakan kalimat Jannah (Arab) sebaliknya syurga (Melayu) dan kita tidak menggunakan Naar (Arab), sebaliknya menggunakan neraka (Melayu, Sanskrit).
Hanya istilah 'zakat' dan 'haji' yang Melayu masih kekalkan seperti mana yang tersebut di dalam Al-Quran itu. Tiada istilah dan ungkapan Melayu untuk menterjemahkan kalimat 'zakat' dan 'haji'.

Sekali gus, ini bermaksud, nenek moyang kita dahulu sudah pernah berpuasa sebelum ini. Konsep puasa telah pun wujud sebelum kedatangan Islam dan sebab itu mereka tentu sudah mengamalkannya kerana kefahaman mengenai konspe puasa ini sudah ada sejak sekian lama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan