Somewhere over the rainbow (Judy Garland)

Sabtu, 25 Disember 2010

Mimpi 3 Lelaki (Negara Mimpi)

Malam ke-3: Mahkamah Mc Donald (26 Disember, 2010)
Dihakimi Sang Pemimpi dengan kenyataan baharu: "Dulu Abim tu boleh menjadi KUASA KETIGA. Tapi, sekarang ini mereka lebih banyak dok bercakap isu-isu antarabangsa sahaja."




######################

Malam ke-2: SPKB (26 Disember, 2010)
Ditegur oleh kedua-dua hakim, juri sang pemimpi, bahawa jangan sebar dalam blog. Tuan hakim, juri yang budiman. Bahawa ini percubaan pertama. Nanti daku ubah balik format perbicaraan kat 'mahkamah' tu. Atau, kalau tak sesuai, kita bubar sahaja.

Bagaimanapun,sang pemimpi  cakap balik, "Bahawa fokus utama perbicaraan malam itu berkisarkan tentang bagaimana ingin mencipta Kuasa Ke-3."

Lalu dia melihat peranan Abim sekitar 70-an dahulu. "Tetapi, sekarang ini, isu-isu mereka dah banyak kepada isu antarabangsa."

Nampaknya aku tidak boleh menjawab bagi pihak Abim. Tapi, bolehlah aku menjawab 'perbicaraan' ini atas nama orang yang terlibat dengan Abim. Akan jadi masalah jika jawapan dalam perbicaraan ini dilihat aku sebagai orang Anwar Ibrahim. Wah! Semoga hal itu tidak berlaku lagi.

'MAHKAMAH' MC DONALD

Aku dah cakap dekat sang pemimpi kat 'mahkamah mc donald' tadi bahawa diri ini dah banyak dihakimi orang-orang sejak zaman aku berkuliah lagi.

Biarlah aku cakap terus-terang sahaja ya! Demi sesungguhnya, aku ini memang berdendam dengan kenangan yang lalu, apatah lagi apabila aku bertembung dengan tiap-tiap pertanyaan yang mirip dgn soalan yang lepas-lepas. Hatiku kerap menjerit, "Tak habis-habis orang tanya soalan macam ni?"

Daripada sudut ini, aku rasa Anwar pun berdendam dengan org2 mcm kita. Tapi, nantilah aku cerita jika tiba tepat pada masanya dan orang kita mesti diberitahu kepada Anwar berdendam dengan kita.

Dan, yang paling penting - bagaimanakah caranya Anwar melepaskan dendamnya kepada orang-orang semacam kita.

Sebenarnya, banyak persoalan yang kaum penulis majukan kepadaku ini tidak boleh kujawab dalam sehari dua. Ia memerlukan penilaian ke atas fakta, lisan sejarah. Dan, ada orang tertentu yang nak dijaga.

Sekarang, aku boleh faham, kenapakah Said Zahari berkata kepada A Samad Ismail, "Mad, kau cakap saja, dan biar aku yang tulis."

{Aku dengar ini, ketika aku dan KP Harakah menemu bual Pak Said Zahari di USJ}.

'Kesilapan' (dgn izin, ungkapan ini tentu sahaja tidak tepat) Pak Samad ialah beliau pendamkan semua ini dan akibat, kesannya org2 muda spt kita akhirnya membuat keputusan kerana tidak memperolehi fakta.

Sekali peristiwa, Arenawati dilaporkan pernah berkata - "Dalam kepala saya ini tidak banyak cerita yang boleh terkeluar."

Demikianlah mereka yang telah pergi meninggalkan kita dengan jasad dan kisah yang terus-menerus terpendam sehinggakan dengan sebab itu akan lahir anak muda yang buta sejarah politik kepartian dan lain2.

Memerhatikan ini semua dan mendengar cakap-cakap anak muda yang tidak berpaling kepada sejarah realiti sebenar ini, tanpa segan silu aku nyatakan di sini bahawa aku menyampah.

"Hangpa dah betul-betul semak sejarah dah ka bila hangpa dok cakap ni?" begitu hatiku menjerit sendirian melihat pertikaian tanpa fakta.

Bila aku nak mula bercakap, nak ajak mereka menyemak fakta, kulihat sikap panas baran anak muda yang ghairah nak bercakap inilah yg tlh mematahkan dahan lidahku untuk terus menyebarkan buah2 fakta.

MUSA - KHIDHIR dan 'EMPANGAN' WIKILEAKS

Aku pernah cakap juga pada Sang Pemimpi orang yang bertanya itu bagaikan Musa a.s dan orang yang menawarkan jawapan itu Nabi Khidhir a.s.

Selagi belum masanya maka jangan mencelah dan jangan 'menghakimi' tindakan orang yang sedang menyediakan dan menawarkan jawapan dan pengajaran. Sampai waktunya, kelak akan diberitahu.

Betapalah demokrasi itu bagaikan pisau yang tajam menikam pemikiran kita sendiri. Ia akan menikam aku sendiri. Anwar, Hj Hadi, Nik Aziz dan semuanya telah terkena tikaman itu. Kita semua tahu bahana itu.

Sehebat-hebat Pas ketika bersuara kebebasan akhbar, tapi tiba saat apabila bloggers Pas mula membangkitkan persoalan keras berhubung Kerajaan Perpaduan, tahukah apa yang pemimpin Pas lakukan?

Mereka mula membuat Konvensyen lalu menjemput blogger Pas, maka ditentukan segala peraturan, nasihat dan adab-adab menulis kepada bloggers Pas itu. Ya, adab-adab menulis ini hanya berlaku selepas ada isu Kerajaan Perpaduan itu. Sebelum ini... mana ada?

Demokrasi akan menyebabkan berlakunya ledakan soalan demi soalan dan al-Quran tidak pernah sunyi daripada menjawab pertuduhan dan dakwaan ke atas nabi-nabi oleh orang2 kafir.

Orang-orang Yahudi pernah memusuhi Jibril kerana malaikat itu selalu mengirim jawapan dan mendedahkan tembelang mereka.

Soalan-soalan tidak terjawab ini, di pihak aku akan juga menimbulkan semacam kegelisahan dan tekanan secara peribadi.

Aku bagai empangan Wikileaks yang kehujanan dgn ribut pertanyaan. Akan tiba waktunya, ia akan pecah jua akhirnya.

Betapalah Empangan Maarib itu sudah menghancurkan negara agung Saba', betapa empangan di Thailand itu telah menenggelamkan Kedah dan Perlis baru-baru ini, lalu Najib Razak dan Muhyiddin tidaklah berani meminta bayaran ganti rugi kepada Thailand sendiri, sebaliknya terus menyalahkan PR, Pas Kedah.

{Dan apa kurangnya cerdik pandai kita? Tidak akan ada siswa, guru di kuliah, mufti, ulamak yang berani menegur Najib Muhyiddin untuk hal2 yang semacam ini. Najib , Muhyiddin takut Thai dan kita yang cerdik ini takut kepada Najib, Muhyiddin dan Bukit Aman. Ini kitaran ketakutan.}

Dan, aku pun demikianlah juga. Sudah tepu dengan pertanyaan yang berat, sampai waktunya pecahlah jua empangan maklumat yang lama terkurung di dadaku ini. Ini cabaran yang mesti dihadapi oleh orang2 yang mahu berbual denganku.

Beri daku peluang bercakap. Bila aku puas maka surut kemarahan dan tidak pecah banyak sehingga lompang di sana-sini dalam blog dan FB.

Tadi, aku pun cakap kepada Sang Pemimpi, "Benda-benda FAQ (soalan politik, jemaah yg kerap ditanya) ini, mungkin aku terpaksalah buat buku juga agar, dengan harapan aku tidak keletihan lagi untuk menjawabnya..."

Dengan ma'af kawan-kawan sekalian... inilah aku seorang yang suka menjawab persoalan orang. Orang-orang akan selalu bertanya, tetapi tidak ramai yang bersedia mendengar jawapanku yang kerap berbeda pula dengan orang-ramai.

KUASA KETIGA DALAM BENTUK MACAM MANA?

Kuakhiri dengan pertanyaan juga - KUASA KETIGA dalam bentuk rupa paras yang bagaimanakah yang kalian maksudkan?

Sang Pemimpi berkata, bahawa dia mengambil contoh Abim. Cuba beri contoh dan perbandingan di mana-mana negara agar mudah aku jawab balik.

Kalau diambil contoh DJZ, Dong Jiao Zhong, aku melihat ada Kumpulan Prihatin dulu yang turut berjuang memansuhkan PPSMI.

Tetapi sekali lagi, mungkin Kumpulan Prihatin ini tidak cukup kuat untuk menjadi model KUASA KETIGA yang kalian mahukan itu.

Tadi, aku ingatkan kembali Sang Pemimpi tentang rancangan aku dulu yg nak kumpulkan wartawan dan penulis muda untuk membangunkan kritikan membina ke atas Pakatan Rakyat ini dan juga isu-isu lain.

Tapi, macam biasa, ada yang mengelak, ada yang .. malaslah nak ckp.

Dan aku bertanya Sang Pemimpi, "Adakah pertemuan menghimpunkan idea2 anak muda, penulis, wartawan daripada bermacam aliran ini boleh dianggap sebagai KUASA KETIGA dalam tafsiran kalian sendiri?"

Bagi satu contoh, Abim? Kumpulan Prihatin? Atau, suatu kuasa ketiga yang martabatnya sampai boleh bina klinik di kampung-kampung mcm yang kita sembang malam itu?

Ya, aku berhak bertanya juga untuk memahami apa-apa yang kalian faham mengenai KUASA KETIGA itu.

Dan, pertanyaan ini baru sekali aku ledakkan, ia dilepaskan daripada pemikiran dan pemikiran itu bukannya dosa mahu pun jenayah.

Ma'aflah kawan-kawan kalau2 ada yang terasa. Tapi segala soalan yg dimajukan dengan niat mahu selamatkan dunia ini, mestilah diperhalusi dengan sesungguh hati... dengan ma'af sekali lagi... Wassalam...


######################

Malam Pertama (24 Disember, 2010)



Angin malam ke dinihari yang dingin itu sekejap saja bertukar hangat. Sejak semalam, saat daku dihakimi oleh juri hakim sang pemimpin semalam di Bucu DBP dengan asakan pertanyaan bertalu-talu, tidaklah banyak pun soalan yang dapat kujawab.

Ini tidaklah adil, negara ini terbina sejak ribuan tahun dan sengketa pergolakan parti-parti ini berlarutan sejak puluhan tahun, maka wajarkah diri ini menawarkan formula hanya bermodalkan satu malam? Kita perlu 1001 Malam guna menjawab setiap pertanyaan anak-anak muda. Ya, seribu satu malam sekurang-kurangnya.

"Engkau tak bolehkah minta PAS ini perkukuhkan unit penyelidikan?" dakwa sang pemimpi. "Anwar sudah jadi liabiliti dan bebanan kepada PR..." 

"Hikmah boleh dihitung? Barakah boleh diangkat sebagai angka?" tanya rakan debatku lagi. Bualan itu yang asalnya berawal dengan dasar kebudayaan negara akhirnya wabaknya merebak kepada jajahan wilayah mauduk politik kepartian. 

"Kalau Melayu bersatu, dah lama tuntutan kita ini akan tercapai..." kata sang pemimpin. Di bucu ini, ia tidak sekadar medan gelanggang debat parlimen, malahan ia menjalankan peran sebagai mahkamah yang sedang menjatuhkan hukuman ke atas para pesalah, semisal aku, ya diri ini yang dosaku cuma banyak menyimpan anganan dan mimpi.

"Umno dalam BN terancam oleh MIC, MCA, Pas dalam PR terancam oleh PKR dan DAP..." kataku membela diri. "Antara Umno dan Pas, yang mana terancam lebih teruk dalam gabungan BN, PR ini?"

Dan diri ini, sebagai pihak terdakwa dan tertuduh kerana bersalah dan berdosa besar kerana 'gagal' mensoleh mewarakkan Pakatan Rakyat. Sudah lama aku terdakwa, tertuduh di kandang pesalah sejak di kedai Mafia.

Tentu sahaja aku gagal menjawab semua pertanyaan ini dalam 1 malam. Tetapi sedikit demi sedikit sebagai 'pesalah' dalam masyarakat edan, daku kan coba menjawab sebaik mungkin. Maka, inilah rumusan beberapa pandanganku... Rakan-rakanku, tidak hanya mereka berdua, bukanlah tidak bijak.

Aku dikelilingi orang-orang yang luas bacaan dan tajam pemikiran, hanya mereka tidak cukup kekuatan dan keberanian untuk bertanya soalan kepada Anwar Ibrahim, Mustafa Ali, Haji Abdul Hadi Awang, Najib dan Muhyiddin. Negara ini bukan memerlukan orang cerdik semata-mata, tapi berani menyoal dan suka berusaha keras untuk mencari sekali gus menawarkan jawapan dan mengusung formula terbaik kepada umat, rakyat. 

Sementara menunggu keberanian Angkatan Muda mengangkat lidah pertanyaan
Sementara menunggu angkatan muda ini berani menyoal Azmin, Anwar, Nik Aziz, Abdul Hadi Awang, Najib dan Muhyiddin, maka aku, saudagar mimpi, mimpiku membina negara-negara akan terpaksa memikul beban mencari jawapan terhadap setiap pertanyaan.

Rakan-rakanku selama ini, (tidak hanya mereka berdua) sudah banyak bertanya. Yang bertanya, mesti sedia mendengarkan jawapan. Menurut pengalamanku, ramai yang bertanya, tetapi tidak bersedia mendengar. Lalu, mereka menjadi marah-marah, lalu tidak berpuas hati pula mendengar jawapanku. (Kalau macam itu, lain kali jangan bertanya, pastikan anda benar-benar bersedia, iaitu boleh menahan sabar untuk memahami jawapan.)

Pepatah Mongolia ada menyatakan, "Lebih baik berdebat dengan sabar daripada damai berpura-pura."

Sebusuk-busuk pertanyaan bertalu-talu dan remeh-temeh daripada Bani Israel dalam kes pembunuhan hingga menyebabkan seekor lembu mesti disembelih (Al-Baqarah), Allah s.w.t menjawabnya tanpa jemu. Cepat atau lambat, Tuhan pasti menjawab. Dan, daku sebagai hamba-Nya sekadar menurut sunnatullah jua adanya...


"Angkatan Muda bersatu! Angkatlah pertanyaan dan deretkanlah persoalan dengan penuh berani, kalian tidak akan kehilangan apa-apa, melainkan kepuasan yang tidak terhingga kerana menjadi manusia yang bebas, merdeka lagi mandiri!" ---  {Pramoedya Fansuri Marx, 1977 - 20..}

(...akan bersambung ... to be continued... insya Allah Ta'ala...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan